ISTANA KESULTANAN MELAKA
 
Istana Kesultanan Melaka (replika Istana Kesultanan Melayu Melaka) terletak di kaki Bukit St. Paul. Replika istana ini dibina semula berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan senibina istana Melayu di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1456 hingga 1477.
Antara objektifnya adalah:
  • Untuk mempamerkan kepada umum suasana di Istana Kesultanan Melayu Melaka dan ruang-ruang tertentu seperti Balairong Seri, Balai Beradu serta ciri-ciri Adat Istiadat Raja-Raja Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
  • Untuk menunjukkan keagungan institusi beraja sebagai warisan sejarah budaya Bangsa Melayu yang pernah menerajui Negeri Melaka suatu ketika dahulu di samping mengimbas kembali sejarah pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat dan pengajaran dari peristiwa tersebut.
Replika istana ini dibina pada tahun 1984 dan dijadikan sebagai Muzium Budaya apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 17 Julai 1986. Kini dinamakan Istana Kesultanan Melayu Melaka. Keseluruhan bangunan ini diperbuat daripada kayu keras manakala atapnya dari kepingan kayu belian. Pembinaannya bercirikan seni pertukangan Rumah Melayu Melaka di mana sendi bangunan diperkuatkan dengan pasak sahaja.
Secara keseluruhannya muzium ini memperlihatkan fungsi dan peranan istana ketika itu dengan memaparkan Balairong Seri, Bilik Beradu Diraja dan balai-balai yang melambangkan ketamadunan masyarakat Melayu.