lelaki tinggal pasangan lepas ‘kantoi’ mencuri/http://www.hmetro.com.my


PETALING JAYA: Seorang lelaki tergamak meninggalkan pasangannya sendirian untuk diberkas polis selepas mereka ‘kantoi’ ketika mencuri barangan kosmetik di sebuah farmasi di pusat beli-belah di Bandar Utama di sini, kelmarin.
Perbuatan pasangan terbabit mengambil pelbagai barangan kosmetik di farmasi berkenaan tanpa membayarnya disedari pekerja premis itu lalu memaklumkannya kepada pengurusnya jam 5.45 petang.

“Pasangan itu meninggalkan farmasi tanpa membeli barangan, tetapi pekerja berkenaan mendapati barangan dalam raga tiada lalu mengesyaki dicuri pasangan terbabit,” katanya.
Pengurus farmasi itu dan pekerjanya mencari pasangan terbabit di sekitar pusat beli-belah itu dan menemui suspek wanita lalu menahannya, manakala suspek lelaki melarikan diri.

Wanita itu dibawa ke ke bilik pengurusan pusat beli-belah itu dan disoal.

Pemeriksaan dalam beg wanita itu menemui sekotak kosmetik berjenama bernilai RM109.90 serta beberapa seluar jeans yang masih bertanda harga.

Sumber berkata, wanita terbabit menafikan dia mencuri dan memberi alasan barangan itu milik adiknya sebelum pengurus berkenaan meminta wanita itu menghubungi pasangannya datang ke bilik pengurusan untuk menyelesaikan masalah itu. “Namun, selepas sejam menunggu, lelaki terbabit tidak muncul menyebabkan pengurus farmasi itu menghubungi polis dan menyerahkan wanita terbabit kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed yang mengesahkan menerima laporan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.