MUZIUM YANG di-PERTUA NEGERI
Muzium Yang di-Pertua Negeri (dahulu dikenali Seri Melaka) merupakan bekas kediaman rasmi dan pejabat Gabenor Belanda di Melaka pada kurun ke-17. Fungsi bangunan ini teruskan pada zaman pemerintahan Inggeris hinggalah selepas kemerdekaan. Pada September 1996, kediaman rasmi dan pejabat Tuan Yang Terutama berpindah dari Bukit St. Paul ke Istana Melaka di Bukit Beruang, Melaka.
Fungsi Institusi Tuan Yang Terutama (TYT) sebagai Pemerintah Tertinggi Negeri dipamerkan bagi mengimbas kembali kewujudan institusi ini. Muzium Tuan Yang Terutama mempamerkan tentang Sejarah Ringkas Institusi Kesultanan, Pembentukan Penubuhan Gabenor Negeri-Negeri hinggalah kepada Peranan dan Institusi Yang di-Pertua Negeri. Secara umum peranan Ketua Menteri Melaka turut diselitkan kerana peranan mereka tidak kurang pentingnya dalam menerajui kerajaan negeri.
Tumpuan utama yang akan diberikan ialah tentang Gabenor/ Yang di-Pertua Negeri selepas merdeka yang telah berkhidmat di Melaka iaitu bermula dari Tun Leong Yew Koh (Gabenor Pertama) Tun Haji Abdul Malek bin Haji Yusuf (Gabenor Kedua), Tun Haji Abdul Aziz bin Abdul Majid (Gabenor Ketiga), Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan (Gabenor Keempat) dan Tun Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin (Kelima) dengan menampilkan berbagai koleksi peribadi milik Yang di-Pertua Negeri.
Pameran di muzium ini mengekalkan sebahagian daripada kegunaan ruang asal bangunan. Selain dari itu, ia juga mengetengahkan tentang sumbangan Yang di-Pertua Negeri terhadap pembangunan negeri seperti perindustrian, pertanian, pelancongan, pentadbiran, keagamaan dan sebagainya yang berkembang dari masa ke masa sambil dibantu oleh setiap Ketua Menteri di bawah pimpinannya dalam membangunkan negeri Melaka.
Antara objektifnya adalah:-
  • Untuk mengimbas kembali segala jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam menjana pembangunan negeri dan pertumbuhan ekonomi negeri Melaka.
  • Menyalurkan maklumat kepada generasi akan datang tentang Institusi Yang di-Pertua Negeri.
  • Untuk menjadikan muzium sebagai tempat kajian dan penyebaran maklumat kepada pelajar mengenai Yang di-Pertua Negeri.