Polemik pendekar
Ahli akademik kemuka hujah Hang Tuah wujud, insan pikul tanggungjawab besar bina empayar Melaka serta sebar syiar Islam
DAKWAAN tokoh akademik dan sejarawan Prof Emeritus Tan Sri
Dr Khoo Kay Kim yang membangkitkan persoalan mengenai kesahihan
kewujudan Hang Tuah menimbulkan polemik dan perdebatan hangat di
kalangan tokoh ilmiah, budaya dan masyarakat tempatan.Januari lalu, Dr
Khoo dilaporkan meragui kebenaran di sebalik kisah keperwiraan pahlawan
Melayu tersohor itu yang sinonim bersama empat sahabatnya, Hang Jebat,
Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Khoo
turut menyentuh soal hubungan jalinan diplomatik di antara Kesultanan
Melayu Melaka dan Dinasti Ming, China yang membawa kepada perkahwinan
Sultan Mansur Syah, Sultan yang memerintah Melaka dari 1456 hingga 1477
dengan Hang Li Po.
Puteri
kepada Maharaja Yongle, Maharaja ketiga dari Dinasti Ming yang
memerintah China bermula daripada 1402 hingga 1424 dikatakan pernah
dimasyhurkan sebagai isteri kelima Sultan Mansur Syah.
Perkahwinan
jurai keturunan wangsa Raja China dengan pembesar atau pemerintah
daripada negara asing adalah peristiwa penting yang pastinya akan
terakam dalam pustaka sejarah negara China.
Tegas
Khoo, adalah mustahil perkahwinan Hang Li Po dan Sultan Mansur Shah
tidak tercatat dalam sebarang rekod yang tersimpan di istana negara
China.
Logik di sebalik dakwaan
kewujudan Hang Tuah tambah diragui kerana sebarang bukti yang dikaitkan
mengenai kehidupannya hanya bersandarkan dalil, hujah serta cerita mulut
atau proses-verbal turun-temurun yang tidak konkrit dan nyata.
Adikarya
klasik agung seperti Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang dan Sulalatus
Salatin menukilkan keunggulan serta kehebatan Hang Tuah dengan gambaran
kesempurnaan yang muluk-muluk juga tidak mampu menyokong natijah
kewujudan Hang Tuah di bumi Melaka.
Maka,
pada 28 Februari lalu bertempat di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh,
Melaka, Kerajaan Melaka bersama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme
Malaysia (IKSEP), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Kolej Universiti
Islam Melaka (KUIM) menganjurkan Seminar Antarabangsa: Hang Tuah
Sebutir Lazuardi Di Persada Tamadun Bangsa sempena 750 tahun kewujudan
Melaka di peta dunia.
Hang
Tuah diangkat sebagai subjek seminar menjadi dasar pembicaraan tujuh
cendikiawan daripada universiti dalam dan luar negara membuat analisis
terhadap tajuk yang diketengahkan untuk diwacanakan secara tuntas dan
komprehensif.
Perasmian
seminar itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali
Mohd Rustam. Acara itu menerima penyertaan daripada 1,080 orang peserta
yang hadir dengan satu objektif, untuk menyelami watak serta
keperibadian manusia bernama Hang Tuah dan mengakui kebenaran serta
hakikat kewujudannya.
Ketokohan
Laksamana Hang Tuah di sebalik keagungan empayar agung dunia seperti
Melaka sebagai sebuah pusat maritim antarabangsa terbesar dan termasyhur
di alam Melayu pada abad ke-15 seharusnya menerima pengiktirafan yang
sewajarnya.
Mohd
Ali dalam ucapannya sebelum perasmian seminar menyorot kembali lembaran
sejarah kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan entreport yang aktif dan
kaya.
Tambah
Mohd Ali, gelaran laksamana yang dianugerahkan kepada Hang Tuah serta
status tertinggi dalam wilayah maritim Melaka adalah bukti martabat dan
kedudukannya di mata masyarakat dan komuniti pedagang ketika itu adalah
tinggi dan terhormat.
“Peranan
Hang Tuah amat besar terutama dalam menyebarkan agama Islam ke beberapa
negara seperti Majapahit, Pahang, Siak dan Kampar. Kesetiaannya
terhadap Sultan Melaka menyebabkan ada pihak yang cemburu sehingga
menimbulkan fitnah di kalangan orang besar Melaka.
“Kini
ada pihak yang sangsi kesahihan kewujudan Hang Tuah dengan menyatakan
ia adalah mitos. Namun begitu, kita meyakini kewujudan manusia Hang Tuah
dalam empayar Kerajaan Melayu Melaka berasaskan sumber utama iaitu
karya agung Sejarah Melayu. Sejarah Melayu adalah sumber pribumi yang
tepat untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah,” katanya.