Dua kali nyaris maut


YALA: Bekas pemimpin berpengaruh Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo), Ma So Ma Teh, 68, yang kini seorang kontraktor pernah dua kali cuba dibunuh menggunakan bom buatan sendiri semata-mata mahu melihat pemimpin itu mati.
Ini kerana beliau berpengaruh di wilayah Yala kerana pernah bersama mengangkat senjata menentang kerajaan serta mempunyai bilangan penyokong yang ramai.

Bagaimanapun, usianya masih panjang walaupun dalam satu kejadian pengeboman itu seorang pengawal keselamatannya maut. Berikutan itu, rumahnya kini dikawal ketat pengawal keselamatan lengkap bersenjata selain dipantau kamera litar tertutup (CCTV).

Kawasan rumahnya seluas 0.8 hektar yang menempatkan dua banglo itu turut dikelilingi tembok batu setinggi dua meter bagi mengelak pencerobohan.

“Dalam kejadian pertama, ketika solat Jumaat pada 2005, saya hampir terkena serpihan bom yang diletakkan dalam masjid. Malangnya, pengawal keselamatan saya yang menjadi mangsa.

“Sejak itu, saya mula beringat dan meningkatkan kawalan keselamatan selepas percaya ada pihak yang mahu melihat saya mati,” katanya yang hampir 35 tahun memimpin penduduk setempat di Kampung Telok Hala, Yala ketika ditemui.


Katanya, kejadian kedua berlaku pada Aidilfitri 2009 ketika dia bersama ahli keluarga lain mahu menziarahi kubur sanak-saudara di kampung berkenaan.

“Selepas menyiram air mawar, tiba-tiba berlaku letupan kuat bom buatan sendiri yang disembunyikan dalam kubur seorang kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum itu.

“Letupan itu begitu hampir mengenai saya, tetapi sekali lagi saya bernasib baik diberi kesempatan untuk hidup,” katanya.

Difahamkan, pihak yang bertanggungjawab melakukan kedua-dua letupan bagi membunuh pemimpin berkenaan sudah ditahan polis tahun lalu.

Ma So berkata, beliau secara peribadi melihat konflik yang berlaku akan berpanjangan tanpa sebarang penyelesaian kerana masing-masing masih enggan bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

Menurutnya, setakat ini, sudah banyak kejadian pengeboman dan tembak menembak berlaku sejak konflik bermula pada 2004, tetapi tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Beliau berkata, kebanyakan pemimpin mereka ini memang dikenalinya dan beliau tahu latar belakang mereka.

“Masih ada pemimpin mereka yang bersembunyi di Eropah dan tidak pulang ke Thailand,” katanya.

Katanya, di hati kecil dia masih menaruh harapan supaya keamanan yang dikecapi 10 tahun lalu kembali kepada asal kerana konflik yang berlaku kini tidak langsung memberi faedah kepada kehidupan harian penduduk.

“Pemberontakan bersenjata bukan jalan penyelesaian untuk menuntut sesuatu hak. Ada cara lain yang lebih praktikal tanpa perlu pertumpahan darah,” katanya.
sinarharian/sumber