Henti persoal kewujudan Hang Tuah’


Oleh Amirullah Andi Nur

2012/04/26

AYER KEROH: Pertikaian mengenai kewujudan Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu pada zaman dulu kini tidak berbangkit lagi kerana ia terbukti benar sehingga mendapat pengiktirafan pelbagai pihak termasuk di peringkat antarabangsa sejak sekian lama.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berharap tidak ada lagi pihak cuba menjadikan tokoh terkenal itu sebagai isu, sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.
“Perbincangan kewujudan Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu sudah selesai dan ditutup. Ia sudah banyak kali dibincang dan diperjelaskan termasuk oleh tokoh sejarah Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim.
“Kerajaan negeri juga memberi sokongan keputusan ini. Hang Tuah memang wujud, jika tidak ada, takkan nama Hang Tuah boleh ada pada banyak tempat di seluruh dunia, malah kalau tidak ada, orang juga takkan menulis mengenainya.

“Dalam buku Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) iaitu satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka, ada juga menyatakan mengenai Hang Tuah. Makam Hang Tuah dan sahabatnya juga wujud di Melaka,” katanya mengulas perkembangan isu pertikaian kewujudan Hang Tuah yang berbangkit sebelum ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keris Taming Sari Warisan Kesultanan Melayu Melaka sempena Melaka 750 Tahun di Seri Negeri di sini, semalam.

Program sehari itu disertai 300 peserta dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).
Sementara itu, Mohd Ali berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha menyelidik, menerbit dan mendokumentasikan perkara berkaitan sejarah negeri ini.