Nasihat kepada bakal pengantin


MUHAMAD MAT YAKIM
11 Mei 2012
Sekarang bukan lagi zaman putera raja menyamar orang miskin bawa bunjut berisi rempah ratus yang sudah digaul menjelajah serata pelosok negeri untuk cari bakal isteri. Jika ada yang masih buat buat begitu, alamatnya sampai mati tidak akan jumpa gadis yang dihajati.
Bukanlah saya nak menghina anak gadis sekarang tetapi kenyataan tetap kenyataan. Saya sendiri pun kalau sampai masa untuk pilih menantu, sekali-kali tidak akan terima orang yang datang bawa bunjut digalas dengan ranting kayu. Sebelum sempat bertanya dia anak raja mana, awal-awal lagi saya akan telefon polis ataupun hospital gila.

Jadi saya tidak tergamak hendak menyalahkan seorang rakan sepejabat - anak dara - yang menjawab, “I kalau boleh nak masuk cuci kaki saja ...” ketika menjawab soalan saya, “kahwin nanti, you suka bakal hubby siapkan rumah fully-furnished ataupun lepas kahwin, baru sama-sama pergi cari (perabot)?”
Saya perlu terima hakikat bahawa zaman sekarang, tidak ada lagi anak dara yang sanggup mengasingkan rempah ratus yang sudah sebati digaul semata-mata untuk membuktikan ketulusan hati supaya untung-untung yang menguji itu anak raja yang mampu memberikannya kemewahan dalam sekelip mata.
Akan tetapi, jauh di sudut hati, saya tetap menganggap gadis itu rugi. Dia mengimpikan sesuatu yang hanya akan merugikannya untuk jangka masa panjang. Dia berhajat kepada apa yang hanya akan melepaskannya daripada satu peluang. Itu yang saya fikirkan!

Ini kerana bagi saya setiap pasangan sekurang-kurangnya perlu menempuh satu proses yang paling istimewa dalam hidup, membina kehidupan bersama yang bermula daripada sifar, kemudian mendaki satu persatu tangga pengalaman. Itulah bagi saya kenangan yang paling berharga dalam kehidupan berumah tangga!

Kali pertama mencari rumah sewa untuk memasuki gerbang hidup berdua, kemudian mengisinya dengan perabot yang paling asas, sudah tentu adalah memori paling indah bagi sesiapa juga yang baru menempuh alam rumah tangga. Sudah nampak ruginya jika terlepas pengalaman itu, bukan?

Saya sendiri yang tahun ini sudah masuk tahun ke-17 usia perkahwinan, masih tidak jemu-jemu untuk mengenang setiap detik itu dan terasa ia seperti baru semalam sahaja berlalu.
Itulah kenangan abadi. Cukup manis jika mengenanginya bersama isteri sambil menghadap cawan kopi, disulam luahan cinta yang tidak bertepi.

Mengenang semula saat bersama membina asas kehidupan berumah tangga dalam keadaan segala-galanya sifar, bukan hanya cerita mengenai mencari kata sepakat berkaitan warna dan konsep set bilik tidur, kabinet dapur atau ruang tamu. Ia sebenarnya jauh lebih bermakna daripada itu!

Itulah juga tikanya suami dan isteri memantapkan dan mengukuhkan asas-asas persefahaman dan perkongsian hidup berumah tangga lahir dan batin.
Dan dalam usia sekarang, setelah hampir dua dekad hidup bersama, kadang kala masih perlu juga untuk kita kembali semula ke tempat di mana ianya bermula. Malah elok juga jika diceritakan kepada anak-anak, “di sinilah mak dengan ayah mula-mula beli perabot” atau “di sinilah, mak dan ayah tunggu bas ke pasar ...”

Walaupun pada waktu itu yang dibeli di pasar mungkin hanya dua ekor ikan kembung dan secekak kangkung, namun pengalaman itu membawa makna yang cukup besar bagi kami. Inilah juga yang diharap dapat menyuntik rasa insaf dalam jiwa anak-anak, yang sedar-sedar sahaja, ayah mereka sudah punya kereta sendiri!

Masih terbayang tatkala melalui Pasar Datuk Keramat akan kelibat saya bersama isteri berjalan-jalan di pasar itu sambil menjinjing bakul yang kami guna 16 tahun lalu. Begitu juga ketika lalu di depan sebuah kedai perabot di Pekan Setapak di mana kami beli set ruang tamu yang pertama pada harga offer.

Sesungguhnya, kenangan itu mampu menitiskan air mata betapa kita perlu bersyukur dengan nikmat yang diberikan tuhan. Kita memang akan melalui banyak perubahan untuk memajukan hidup tetapi kenangan yang dilalui secara mendaki, bermula dalam keadaan kita tidak punya apa-apa, kemudian bersama membina apa yang kita ada hari ini, sesungguhnya sangat bererti dan akan membawa nilai dan makna yang terlalu berharga di kemudian hari.