Khazanah Peradaban Dan Intelektual Melayu

Khazanah Peradaban Dan Intelektual Melayu



Khazanah Peradaban Dan Intelektual Melayu

Alam Melayu yang merangkumi sebahagian besar rantau Asia tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, SelatanThailand, Selatan Filipina dan Wilayah Champa, Kemboja. Yang dikenali juga alam nusantara. Masyarakat gugusan ini majoritinya berkongsi satu rumpun Melayu iaitu satu agama dan bahasa. Justeru Bahasa Melayu merupakan bahasa besar dunia dimana bilangan penutur ke-4 terbesar di dunia dengan penuturnya melebihi 300 juta orang.

Sebelum lahirnya konsep negara bangsa seperti hari ini umat Melayu saling merantau dari suatu tempat dan berulang-alik sekitar gugusan alam nusantara. Justeru bukti arkeologi membuktikan bangsa Melayu adalah berasal dari rantau ini jua.

Dalam konteks pegangan Islam umat Melayu berkongsi semangat ukhuwwah dengan akidah sama iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah, Mazhab as-Syafei dan mengikuti manhaj Tasawuf Imam al-Ghazali atau mengikuti mana-mana tariqat sufi yang muktabar.

Menyingkap peradaban dan tamadun Melayu sememangnya bangsa Melayu suatu bangsa bertamadun dan bahasa Melayu merupakan bahasa global. Umat Melayu sememangnya mempunyai daya intelek yang tinggi dimana budaya ilmu bangsa Melayu dahulu telah menghasilkan lebih 10,000 naskah manuskrip Melayu yang kini banyak tersimpan di luar Negara. Ini membuktikan budaya menulis dan merekod adalah menjadi budaya orang Melayu dahulu dan daya pemikiran yang cintakan ilmu dalam pelbagai bidang.

Alam Melayu telah melahirkan sistem pemerintahan yang tersendiri dengan wujudnya lebih 70 kerajaan pemerintahan di alam Melayu yang mempunyai system pentadbirannya yang sistematik dan undang-undangnya tersendiri. Dimana urus tadbir yang baik oleh pemerintah yang berpaksi kepada istana dan kesultanan Melayu.

Keilmuan bangsa Melayu dapat diketahui dimana manuskrip Melayu dalam bidang seperti agama, perubatan, sastera, pemerintahan, undang-undang, sains, falak, teknologi, pertukangan, perdagangan, pelayaran, ekonomi, sejarah dan sebagainya. Yang kini tersimpan di lebih 57 negara dan di 151 buah perpustakaaan Negara asing. Iaitu penjajah dan barat khususnya mengumpul dan membawa balik ke negara mereka. Iaitu bagi membuat kajian dan penyelidikan terhadap ilmu, maklumat dan pemikiran bangsa Melayu.

Bangsa yang bertamadun sememangnya mencintai ilmu sebagaimana umat Melayu dahulu sukakan ilmu dari banyaknya manuskrip Melayu. Bangsa yang bertamadun ialah bangsa yang berilmu .Bahkan di alam Melayu wujudnya pelabuhan sebagai pusat perdagangan dan perkapalan yang menjadi tumpuan masyarakat asing dan antarabangsa. Alam Melayu menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan tersohor suatu ketika dahulu. Dimana bahasa Melayu mencapai kegemilangan sebagai bahasa perhubungan dan urusan disamping bahasa ilmu.

Istana dan sultan memainkan peranan utama kearah mendokong budaya ilmu dan urus tadbir yang baik. Dokongan pemerintah dan sokongan rakyat begitu penting kepada kemakmuran dan kemananan serta kemajuan masyarakat.

Melayu Islam Beraja merupakan tradisi yang berakar umbi di alam Melayu yang memacu kearah peradaban dan wujudnya tamadun Melayu Islam. Tradisi maritim mewujudkan pusat perdagangan dan pelabuhan serta mewujudkan sistem pelayaran. Umpamanya sejarah mencatat Panglima Awang Selamat sebagai orang pertama yang mengelilingi dunia dan bukannya orang barat.

Alam Melayu semangnya berada di kedudukan strategik dan mempunyai hasil bumi yang banyak. Justeru ianya menarik minat orang ramai dan dalam masa sama menaruh minat orang barat untuk datang bersama agenda kepentingan mereka.

Kehebatan dan keintelektualan bangsa Melayu dikaji oleh barat sehinggalah mereka berusaha dan berjaya menjajah tanah Melayu iaitu pihak Belanda, Portugis, Sepanyol, Jepun dan British. Penjajah melalui penaklukan dan penjajahan telah mengubah minda orang Melayu kearah berfikiran negatif, kerdil dengan bangsa sendiri. Selama lebih 400 tahun dijajah akhirnya mereka berjaya mengubah minda orang Melayu yang suatu ketika dahulu hebat dan berjiwa besar. Sehingga kini masih kedapatan ramai orang Melayu terjajah mindanya yang merasa kerdil dan samar terhadap keupayaan bangsa dan bahasa sendiri.

Sejarah harus dikaji dan dibongkar bagi mengambil iktibar dan pengajaran. Kehebatan dan rahsia kehebatan orang Melalayu harus diterokai dan kembali dimartabatkan bagi membina peradaban baru. Berpegang kepada akar bangsa dan nusa sendiri merupakan acuan penting bagi menjadi umat dan negara yang maju.

Pengasas PENGKAJI (Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik dan Moden Ulama Melayu) almarhum Ustaz Wan Mohd Saghir Abdullah seorang tokoh pengkaji karya ulama nusantara bagi mamartabatkan kehebatan keilmuan ulama dan bangsa sendiri. Hasilnya beliau menerbitkan karya-krya kajiannya bagi tatapan masyarakat melalui penerbitan khazanah al-Fhataniyyah. Penulis dimaklumkan bahawa kajiannnya telah menarik minat pihak kedutaaan Amerika Syarikat untuk membeli hasil kajiannya bagi kajian mereka seterusnya. Demikian bangsa maju sememangnya sukakan ilmu dan mempraktiikkan budaya mengkaji dan meyelidik apa sahaja. Bagi mereka khazanah Melayu penting sebagai sukmber maklumat dan ilmu dan mempunyai khazanah mutiara yang sangat bernilai.

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas melalui kajianya mengesahkan antara manuskrip tertua Melayu ialah ‘Aqaid al-nasafi’ . Beliau juga mengesahkan bahawa Islam masuk ke tanah Melayu melalui tanah arab dan peranan utama golongan sufi dan tariqat sebagai pendakwah yang berhikmah dan berjaya.

Di zaman kesultanan Melaka pernah mencapai zaman kegemilangannya sebagai pusat perdagangan dan pelabuhan utama dunia. Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan dan perantara saudagar asing bagu urusan di Melaka. Sistem pentadbiran yang cekap dimana wujudnya jawatan bendahara, bendahari, laksamanna dan temenggong yang mentabir urus dengan baik dan menjaga kemananan serta menyelia kemudahan.

Istana juga memainkan peranan sebagai pusat keilmuan dan halaqah pengajian khususnya pengajian agama. Sultan Mansur Syah,Sultan Muzafar Syah berguru dengan ulama sufi Syeikh Abdul Aziz yang berasal dari Mekah.
Konsep pemerintah mendapat nasihat dan bimbingan daripada ulama yang arif merupakan suatu pemerintahan yang baik.

Bangsa Melayu sememangnya sudah mempunyai kemajuan dalam bidang keilmuan sains, teknologi, perubatan, astronomi, matematik, lebur logam, pertukangan dan persenjataan. Bahkan orang Melayu telah mencipta senjata ,meriam dan peluru senapang sebelum datangnya penjajah Eropah lagi.

Antara tempat tersimpannya Manuskrip Melayu iaitu di Perpustakaan Negara, Perpustakaan Universiti Malaya, Perpustakaan DBP, Pejabat PENGKAJI, Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu, Jogjakarta, Indonesia. Dan di 151 buah perpustakaan di 28 buah Negara. Antaranya di Afrika, Australia, Austria, Belgium, Brunei, Checkoslavakia, Denmark, Perancis, German, Hungary, India, Indonesia, Ireland, Itali, Malaysia, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Rusia, Singapura, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vatican.

Kesimpulan

Alam Melayu adalah alam yang sudah bertamadun suatu ketika dahulu dan bangsa Melayu sememangnya hebat dari segi ilmu dan peradaban, kukuh pegangan agama dan akidah serta ukhuwah. Tamadun Melayu Islam adalah berpaksikan kepada akar tradisi iaitu Melayu Islam Beraja sebagai hakikat leluhur. Jati diri Melayu adalah penting dalam mendepani arus cabaran semasa. Rantau ini berpegang kuat kepada agama yang berpaksikan ahli Sunnah wal Jamaah, mazhab as-Syafei dan bertasawuf serta mengikuti mana-mana tariqat sufi yang muktabar . Bangsa Melayu menghasilkan karya intelek yang merupakan gedung maklumat bagi tatapan dan kajian anak bangsa sendiri bagi kehidupan semasa. Sejarah penting sebagai panduan dan iktibar dalam kehidupan . Alam Melayu sememangnya berada pada kedudukan strategik . Dalam membina kembali ketamadunan Melayu adalah penting potensi terhadapa bangsa dan bahasa sendiri dan inilah acuan umat rantau ini. Kehebatan bangsa Melayu perlu diuar-uarkan agar timbul rasa kagum dan hebat terhadap bangsa sendiri yang boleh maju dan berdaya saing. Ini bagi membangkit potensi akal pemikiran nusa bangsa menuju ketamadunan dan negara maju.
sumber alam ilmi blogspot




Rujukan:

Hashim Musa ‘Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia’ Penerbit UM, Cet. Ke-5 2005.
Ding Choo Ming ‘Manuskrip Melayu Sumber Maklumat Peribumi Melayu’ UKM, 2008.
Mohd Koharuddin M.Balwi ‘Peradaban Melayu’ Penerbit UTM, 2005.
A.Aziz Deraman et. ‘Tamadun Islam di Malaysia’ DBP, 2000.