Individu letak mercun dalam tandas bukan pakar bom
30 Mac 2012
KUALA LUMPUR - Individu yang meletakkan mercun pada penutup mangkuk
tandas di Stesen LRT Sri Rampai pada Rabu lepas yang mengakibatkan
seorang lelaki cedera, bukannya pakar membuat bom, kata polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata,
anggota-anggota forensik polis mengenal pasti bahan api yang digunakan
hanyalah sejenis mercun.
"Ia bukan dilakukan oleh mereka yang pakar membuat bahan api... ia
hanyalah sejenis mercun, bukan bom kerana tiada sumbu, bateri atau
mempunyai jangka masa untuk diletupkan.
"Kita telah mendapatkan rakaman CCTV yang merakam suspek yang masuk ke
dalam tandas itu sebelum mangsa. Kita akan teliti untuk mengesannya,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ku berkata perbuatan individu itu juga tidak menyasarkan pihak tertentu.
"Mungkin suspek telah menyalakan mercun berkenaan terlebih dahulu di belakang penutup tandas itu sebelum keluar," katanya.
Dalam kejadian 1.15 petang itu, Muhammad Sakereen Basri, 22, cedera di
bahagian belakang dan paha kirinya apabila penutup mangkuk tandas, yang
sedang digunakannya, meletup dan pecah dipercayai akibat mercun. –
Bernama