Showing posts with label sukan. Show all posts
Showing posts with label sukan. Show all posts

Liga Juara: Arsenal bangkit tapi gagal sekat AC Milan

Arsenal vs AC Milan
SEBAGAIMANA dijanjikan, Arsenal cuba bangkit dan menjaringkan tiga gol tetapi gagal menghalang kemaraan AC Milan ke peringkat suku akhir Liga Juara-juara.
Dalam perlawanan yang berlangsung di tempat sendiri awal pagi tadi (waktu Malaysia), Arsenal menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun AC Milan yang telah pun mengumpulkan empat gol pada pusingan pertama berjaya melangkah ke depan dengn agregat 4-3.
Gol Arsenal dijaringkan seawal minit ketujuh oleh Laurent Koscielny dan disusuli jaringan Tomas Rosicky pada minit ke-26.
Robin van Persie menjaringkan gol ketiga dua minit sebelum separuh masa pertama berakhir.
AC Milan hanya memerlukan satu jaringan untuk melangkah ke pusingan seterusnya manakala Gunners memerlukan enam gol jika mahu mengatasi lawannya.
Dalam satu lagi perlawanan, Benfica mengatasi Zenit St Petersburg 2-0.
JANGAN LUPA SINGGAH KEDAI KAMI DI DATARAN PAHLAWAN! BANYAK PILIHAN UNTUK ANDA SEISI KELUARGA!
@sinarharian.com.my

Rasuah: Pemain tidak terlibat turut terkena tempias

FAM
IPOH - Penglibatan pemain dalam skandal rasuah bola sepak bukan sahaja merosakkan keseluruhan liga sebaliknya ia turut mencemarkan nama pemain yang "bersih" daripada gejala itu.

Pengurus Pasukan Piala Presiden Perak Isham Shaharuddin berkata tindakan tidak bermoral segelintir pemain itu turut memberi kesan buruk kepada pemain yang tidak terlibat.

"Rasuah merupakan titik hitam dalam sukan ini dan sebagai bekas pemain saya menasihatkan semua pemain muda supaya menjauhi perbuatan itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Rabu lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penggantungan 11 pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan musim lepas daripada sebarang aktiviti bola sepak tempatan antara setahun dan lima tahun kerana terlibat dengan skandal rasuah.

Penggantungan itu berkuat kuasa 30 Nov lepas.
  
Mengimbas kembali skandal rasuah yang melibatkan pasukan Perak pada tahun  1994, Isham yang juga bekas pemain bola sepak negeri itu berkata seluruh pasukan terpaksa berhadapan orang ramai yang hampa dengan pemain yang terlibat dengan gejala rasuah itu.

"Kami yang tidak terlibat dengan perbuatan itu sebelum ini juga terkena tempiasnya. Kereta saya sendiri dicalar peminat, bukan itu sahaja cermin turut dipecahkan," katanya.

Beliau berkata walaupun bukan semua pemain dalam pasukan itu terlibat dalam skandal rasuah, seluruh pasukan turut dihantui rasa tidak senang hati.

"Ia memberikan kesan tidak baik kepada minda pemain. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya.

Isham berkata sekiranya pemain benar-benar inginkan kemewahan, mereka perlulah berusaha dengan gigih, memantapkan permainan serta menjadi pemain terbaik negara seperti Safee Sali. - Bernama

KFR nafi Apex perampas


KHAIRUL-FAHMI
KOTA BHARU- Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn Bhd menolak dakwaan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex perampas tunangan anak lelaki seorang usahawan terkenal di sini.

Pengarah Urusannya, Mohd Irwan Azni Mohd Azmi berkata, tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar sama sekali kerana Apek tidak mempunyai sebarang hubungan dengan gadis terbabit iaitu Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau lebih dikenali sebagai Leuniey.

Menurutnya, tuduhan tersebut adalah salah faham dan Apex tidak ada kaitan dengan isu putus tunang antara Leuniey dan pasangannya, malah Leuniey tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan pemain itu.

“Saya lihat tuduhan ini dibuat kerana ada pihak yang tidak senang dengan kejayaan yang dicapai oleh Apek selama ini,” katanya dipetik dari portal detikperubahan.com di sini, semalam.

Mohd Irwan Azni, yang juga kontraktor rumah Apex merupakan bapa saudara kepada Leuniey, mengakui hubungan rapatnya dengan penjaga gawang terbaik Asia itu. Namun menafikan anak saudaranya itu menjalin hubungan cinta dengannya.

Mengulas kontroversi itu, Mohd Irwan Azni berkata, ia bermula apabila beliau membawa Apex ke rumah Leuniey untuk mengambil anaknya, Disember lalu.

“Saya hantar anak ke rumah abang ipar, dan sewaktu mengambilnya saya bawa Apex bersama, anak-anak buah saya gembira dan mereka mengambil peluang bergambar dengan Apex, sebelum gambar berkenaan dimuat turun dalam Facebook yang seterusnya
mencetuskan pelbagai kontroversi sehingga hari ini,” katanya.

Menurutnya, ketika gambar itu diambil Leuniey tidak ada di rumah kerana keluar mengandam pengantin, dan kami hanya berjumpa dengan dia di pagar rumah ketika hendak pulang.

Mohd Irwan Azni berkata, kontroversi berkenaan semakin panas apabila abang iparnya, Nazri, yang juga ayah Leuniey, dipanggil ke rumah Apex untuk membincangkan urusan perniagaan kerana Nazri ditugaskan untuk membuat logo syarikat baru Apex.

“Kunjungan Nazri itu disalahertikan pihak yang tidak bertanggungjawab yang tidak tahu hujung pangkalnya,” katanya yang terus menegaskan, soal hubungan Apex dengan Leuniey tidak timbul kerana mereka berdua tidak pernah bercakap atau keluar bersama.

Beliau berkata, tuduhan ini dibuat oleh mereka yang iri hati dengan kejayaan Apex selama ini, dan harap isu berkenaan akan menjatuhkan pemain bola sepak berkenaan.

“Bila dia tubuh syarikat pun macam-macam fitnah dilemparkan. Bagaimanapun saya berharap agar pihak yang tidak bertanggungjawab melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah itu segera menghentikannya sebelum sebarang tindakan diambil bagi menangani masalah ini,”
katanya yang mengakui keakrabannya bukan sahaja dengan Apex tetapi juga ahli keluarga ikon sukan negara itu.

Menurutnya, beliau kesal dengan berita ini kerana keluarga abang iparnya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Apex dan hanya berhubung disebabkan urusan kerja.

Sementara itu, Apex yang berada di Bahrain untuk aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional Manama, melalui khidmat pesanan ringkas yang dikirimkan menyatakan isu berkenaan tidak sedikit pun menggugat semangat dan keyakinan beliau untuk menghadapi perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, bapa Apex, Che Mat Hussin 60, kesal dengan tindakan penyebar fitnah dalam satu laman twitter yang mengatakan anaknya merupakan punca utama Leuniey putus tunang.

“Saya terkejut apabila membaca laporan dalam sebuah akhbar tempatan yang mengatakan anak saya punca utama gadis itu putus tunang.

“Berita ini memang memberi tekanan bukan sahaja kepada dia sendiri malah saya dan keluarga turut merasainya,” katanya.

Che Mat berkata, dia berasa pelik dengan berita seumpama itu yang sering kali menjadi bualan dan topik hangat apabila anaknya ingin beraksi pada perlawanan penting.

“Dia perlu konsentrasi untuk fokus dalam perlawanan dan tidak boleh diganggu dengan cerita seumpama ini kerana ia akan menggugat prestasinya.

“Saya kenal dengan anak saya dan tahu tingkah lakunya lagipun dia seorang yang mendengar kata dan yakin dia tidak terlibat dalam situasi ini,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, dia yakin ada pihak yang ingin menjatuhkan karier anaknya yang mula mencipta nama dalam arena bola sepak tanah air.

“Apa yang saya harapkan agar dia (Apex) selamat berada di Bahrain bagi menentang pasukan terbabit untuk sesi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia.

“Risau juga dengan keadaannya di sana namun saya doakan agar dia bermain dengan baik dan semoga penyokong akan sentiasa memberikan sokongan padu untuknya serta pasukan Malaysia dalam perlawanan itu,” katanya semalam.
@sinarharian.com.my

Pengurus Safee: Kenyataan PSSI satu fitnah

safee sali
TIDAK sampai 48 jam Safee Sali sah menyambung kontrak bernilai RM2 juta bersama Pelita Jaya, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dilaporkan mengeluarkan amaran kemungkinan masa depan Safee dengan skuad Harimau Malaya bakal terjejas.

Ia berikutan Liga Super Indonesia (ISL), kini berdepan dengan pengharaman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Menurut laporan disiarkan portal berita Indonesia, Republika.co.id, PSSI bukan mahu mencampuri urusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi memberi peringatan bahawa status Safee bersama pasukan kebangsaan dalam bahaya berikutan bermain dalam liga haram.

PSSI juga mendakwa Fifa sebelum ini, meminta senarai nama pemain yang beraksi di ISL daripada pihaknya dan Safee berada dalam senarai berkenaan.

Namun begitu, pengurus Safee, Zakaria Rahim ketika dihubungi Sinar Harian semalam pantas menafikan laporan berkenaan dan menganggapnya sebagai fitnah bertujuan menjatuhkan karier bekas peledak utama Selangor itu.

“Laporan itu ternyata palsu kerana Safee masih boleh bermain mewakili negara dan beliau akan kembali ke Malaysia pada 22 Februari ini untuk persiapan perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi di Australia.

“Fifa hanya haramkan PSSI dan bukannya ISL. Sekalipun perkara itu benar berlaku, kelab telah memberi jaminan Safee boleh dipindahkan ke kelab lain yang dimiliki mereka,” katanya yang terkilan dengan laporan tidak berasas itu.

Zakaria berkata, ia memberi kesan kepada banyak pihak yang gusar dengan status Safee kerana apa yang dikecapi oleh pemain kebangsaan itu sewajarnya dijadikan contoh kepada pemain negara lain untuk meluaskan karier bola sepak ke tahap yang lebih baik.
@sinarharian.com.my

Presiden FAM: Jika rasuah, baik jangan main

sultan pahang
KUANTAN - "Kalau nak rasuah, tak payahlah bermain bola sepak," itulah peringatan yang diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah kepada semua pemain berikutan skandal rasuah dilihat menggugat semula kancah Liga Malaysia musim ini.

Baginda bertitah kegiatan tidak bermoral itu tidak boleh diterima dalam dunia bola sepak dan ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan gaji pemain bola sepak di Malaysia bukanlah rendah.

"Perkara (rasuah) ini tidak sepatutnya berlaku. Pemain-pemain ini diberi gaji oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing dengan sangat lumayan.

"Jadi saya tidak faham kenapa kita masih mahu libatkan diri dengan penyakit rasuah ini lagi," katanya Sultan Pahang itu kepada pemberita selepas melancarkan gerak kerja pembinaan tiga buah jambatan di Sungai Lembing, dekat sini, hari ini.

Sultan Ahmad Shah turut menyokong kenyataan Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya mana-mana pasukan yang memiliki pemain atau pegawai yang terlibat dengan rasuah dan mengatur perlawanan digugurkan terus daripada sebarang pertandingan kelolaan FAM.

Sokongan baginda itu termasuklah kepada pendekatan 3E yang diperkenalkan FAM dalam menangani gejala itu iaitu education (pendidikan), engagement (kerjasama pihak berkuasa) dan enforcement (penguatkuasaan) seperti yang diumumkan Tengku Abdullah, Selasa lepas.

Titah baginda, semua langkah itu adalah bagi memastikan mutu bola sepak negara terus dihormati oleh semua pihak dan disanjung tinggi para peminatnya.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa sesiapa saja yang terlibat dengan rasuah baik yang bermain di peringkat kebangsaan mahu pun negeri, saya akan ambil tindakan.

"Berdosa makan rasuah ini di dunia dan akhirat, anda pemain yang diberikan gaji lumayan tapi kenapa mahu ambil rasuah lagi, janganlah hampakan rakyat yang mahu tengok mutu bola sepak kita tinggi," titah baginda. - Bernama

Chong Wei hilang?

daren latihan badminton piala thomas
HARI pertama latihan pusat skuad Piala Thomas negara ke perlawanan kelayakan, dimulakan tanpa kelibat pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei ketika sesi latihan pagi semalam, di Stadium Juara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, ketiadaan juara Terbuka Malaysia itu nampaknya tidak merisaukan Jurulatihnya, Tey Siu Bock mahu pun Ketua Jurulatih Perseorangan negara, Rashid Sidek.

Siu Bock berkata, Chong Wei dikatakan tidak sihat dan memohon untuk tidak mengikuti latihan sebelah pagi bersama pemain lain, tetapi akan hadir pada sesi latihan di gimnasium, sebelah petang.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan dan ketiadaan Chong Wei ketika latihan juga tidak memberi kesan kepada latihan pemain lain.

“Lebih baik Chong Wei diberi rehat daripada dipaksa mengikuti latihan. Bagaimanapun, dia akan mengikuti latihan di gimnasium petang ini (semalam), seperti biasa,” katanya.

Katanya, sebagai pemain, Chong Wei bebas melakukan apa sahaja dan tiada halangan untuknya menghadiri mana-mana majlis memandangkan perayaan Tahun Baru Cina masih berjalan. Tetapi pada masa sama, berharap Chong Wei lebih bijak mengatur aktivitinya agar tidak menjejaskan sesi latihan.

Sementara itu, pada sesi latihan pusat semalam, fokus latihan lebih tertumpu kepada pemain pelapis, Daren Liew.

Menurut Ketua Jurulatih Perseorangan negara, Rashid Sidek, meskipun menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang baik sepanjang latihan, Daren perlu belajar untuk mengatasi masalah gugup ketika perlawanan.

“Main berpasukan ini lain, kalau permainan tidak berapa bagus pun jadi bagus, sebab kita tidak perlu bersungguh-sungguh, kita hanya beri 70 peratus sahaja ketika perlawanan.

“Paling penting mereka (Daren dan Mohd Arif Abdul Latiff) dapat belajar sesuatu daripada dua pemain senior, Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim,” katanya yang masih belum pasti mengenai sesi latihan pusat fasa kedua yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada 6 hingga 10 Februari depan.

Pada masa sama, Rashid turut berharap pemain pelapis itu benar-benar bersedia dari segi mental, selain meningkatkan keyakinan ketika di gelanggang.

Selain Chong Wei, Hafiz, Daren dan Arif, turut berada dalam skuad kali ini beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Goh VShem-Lim Khim Wah dan Hoon Thien How-Teo Kok Siang.

Skuad negara yang turut diundi bersama pasukan Korea Selatan dan Hong Kong bakal berlepas ke Macau bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Thomas Zon Asia mulai 13 hingga 19 Februari di Macau.

Nicol mara ke suku akhir kejohanan Cleveland

Nicol David
KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David mara ke suku akhir kejohanan Cleveland Racquet Classic 2012 di Ohio, Amerika Syarikat pada hari Ahad.

Beliau mengalahkan Joelle King dari New Zealand 11-4, 11-9, 9-11, 8-11 dan 11-7 dalam masa 63 minit di pusingan pertama kejohanan.

Nicol seterusnya akan bertemu Annie Au dari Hong Kong.

Beliau kalah kepada pemain England, Laura Massaro di peringkat akhir kejohanan tahun lalu.

Sementara itu pemain nombor dua negara, Low Wee Wern kalah kepada Massaro 4-11, 6-11, 11-9 dan 5-11 dalam masa 53 minit. - Bernama

Mampukah Selangor?




TEKA-TEKI sama ada Selangor mampu mengakhiri ‘badi’ empat kekalahan berturut-turut kepada T-Team bakal terjawab di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam ini.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu tewas kepada pasukan berstatus kelab tersebut pada dua perlawanan Liga Super dan peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia tahun lalu.
Situasi juara 32 kali Piala Malaysia itu yang dilihat masih ‘belum panas’, seakan-akan belum menemui rentak di bawah jurulatih baharu, Irfan Bakti.
Apa yang membimbangkan penyokong Selangor kini adalah jentera serangan yang masih belum mempamerkan taring sebenar.
Kelemahan itu menyaksikan Selangor tewas tipis 0-1 kepada Felda United sebelum seri tanpa jaringan menentang Sarawak pada 21 Januari lalu.
Begitupun, Irfan masih belum mahu mengalah kerana baginya peluang mereka masih ada kerana perjalanan liga masih jauh.
Selangor kini menghuni tangga kelapan liga selepas mengharungi empat perlawanan setakat ini.
Apa yang menjadi keutamaan Irfan yang terkenal dengan corak permainan pantas adalah misi untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi menentang T-Team malam ini.
Atas kertas, jentera tengah Selangor memang dilihat mantap yang dikemudi Safiq Rahim dan jika mereka mampu menguasai bahagian tengah, badi ke atas T-Team itu mungkin akan berakhir.
Mengulas lebih lanjut, Irfan yang tiba di Kuala Terengganu petang semalam berkata, beliau tidak mahu rekod lampau menghantui barisan pemainnya, sebaliknya mereka perlu fokus untuk menghadapi perlawanan yang dilabel sebagai ‘gelora Pantai Timur’ itu.
Jelasnya, rekod itu dapat diubah sekiranya barisan pemainnya mempunyai semangat dan kekuatan dari segi mental jika berhasrat untuk mencapai kemenangan pada malam ini.

Mana hilangnya Apek?

KERJA KERAS...pemain skuad Olimpik berlatih di Wisma FAM, semalam.
KERJA KERAS...pemain skuad Olimpik berlatih di Wisma FAM, semalam.
KHAIRUL FAHMI...hilang.
KHAIRUL FAHMI...hilang.
KETIADAAN penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat pada sesi latihan pusat skuad Olimpik negara semalam membingungkan jurulatih, Ong Kim Swee.
Tanpa sebarang alasan, kelibat kapten negara itu tidak kelihatan bersama 24 pemain lain yang dipanggil bagi persiapan menentang Bahrain dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik London di Manama 5 Februari depan.
Kim Swee yang terkejut dengan ketiadaan Khairul Fahmi bagaimanapun enggan berbicara mengenai tindakan yang akan diambil kerana mahu memberi peluang kepada pemain itu dan pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi penjelasan.

“Khairul Fahmi tidak melaporkan diri dan saya tidak tahu kenapa dia tidak hadir. Dia dan Kafa tidak memaklumkan apa-apa kepada saya setakat ini.

“Saya pelik adakah pihak persatuan tidak tahu mengenai perkara ini sedangkan surat mengenai latihan pusat sudah dihantar pada 18 Januari lalu.

“Saya akan tunggu penjelasan mereka esok (hari ini) sebelum memikirkan mengenai tindakan yang perlu diambil,” katanya yang ditemui pemberita selepas tamat sesi latihan semalam.



@sinarharian.com.my

Rasuah bola: Tengku Abdullah akan bincang dengan polis

Tengku Abdullah
KUANTAN - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian memerangi gejala rasuah bola sepak dan mengatur perlawanan di negara ini.

Menurut Tengku Mahkota Pahang, isu rasuah dalam kalangan pemain bola sepak akan diberi keutamaan kerana jika ia dibiarkan menular, kredibiliti sukan itu dan imej pasukan bola sepak negara akan terjejas.

"Setakat ini saya tidak akan buat apa-apa kenyataan sehingga berjumpa dengan PDRM. Usaha membanteras gejala rasuah ini kita akan tingkatkan, sebab kita tak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga...sebab seorang dua, rosak nama sukan bola sepak negara.

"Walaupun susah kita nak atasi tapi kita akan lakukan demi memajukan sukan ini ke tahap lebih tinggi," katanya kepada pemberita di Sungai Isap di sini hari ini selepas melawat keluarga dua beradik yang mati lemas ketika mandi di Pantai Sepat di sini Ahad lepas.

Tengku Abdullah turut kesal sekiranya isu itu melanda pemain-pemain muda yang telah diberikan peringatan serta tahu implikasi daripada perbuatan rasuah terhadap diri mereka serta kepada sukan bola sepak negara.
  
"Kita berharap polis dapat beri pandangan (dan) sekiranya undang-undang yang ketat perlu dilaksanakan, kita akan buat," katanya.

Menurut baginda, gaji bukan faktor yang menyebabkan gejala itu berlaku kerana imbuhan yang diterima pemain adalah setimpal dengan prestasi mereka.

Tengku Abdullah mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini yang menjelaskan isu rasuah dalam bola sepak bukan tanggungjawab utama FAM dan menuntut kerjasama PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membanteras jenayah itu.

Tengku Abdullah mahu pengurusan bola sepak di setiap negeri atau kelab bola sepak di negara ini mempunyai kuasa melantik, menukar atau memecat pemain import yang tidak menyerlah pada bila-bila masa bagi memastikan prestasi pasukan mereka tidak terjejas.

"Mesti ada kata sepakat antara pasukan dan pemain import...jika (pemain) tidak menyerlah, tidak berdisiplin dan tidak mahu menukar corak permainan, (pengurusan) jangan buang duit dan tunggu setahun baru bertindak.

"Lebih baik kita laburkan wang untuk bantu pemain-pemain muda kita bagi memantapkan lagi mutu suka bola sepak negara," katanya. - Bernama 

Kelantan belum mencapai tahap sebenar



SEBAHAGIAN daripada pemain Kelantan kelihatan hampa dan sedih selepas pasukan mereka tewas 1-2 kepada N. Sembilan pada aksi Piala Sumbangsih 2012 kelmarin.


KELANTAN gagal mempertahankan Piala Sumbangsih yang dimenangi mereka musim lalu selepas ditundukkan Negeri Sembilan 1-2 dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.
Dua gol bintang import skuad Hobin Jang Hobin, Jean Emmanuel Effa Owona meranapkan impian anak-anak buah Peter James Butler untuk membuka tirai saingan musim 2012 Liga Super yang bermula esok dengan bergaya.
Biarpun mendahului melalui jaringan penggempur prolifik mereka, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke 19, ia masih gagal untuk meniup semangat pemain-pemain Kelantan untuk terus bertahan dari asakan bertali arus jentera hadapan Negeri Sembilan yang diketuai oleh Owona.
Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, mereka terpaksa akur dengan kehebatan anak-anak buah Mohd. Azrai Khor Abdullah yang jelas menguasai babak kedua permainan melalui serangan pantas yang berbahaya.
Menurutnya, kebangkitan yang dipamerkan Negeri Sembilan selepas ketinggalan satu jaringan begitu menakjubkan sehingga 'melemaskan' barisan pertahanan Kelantan yang turut kehilangan Azizi Mat Rose yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
"Inilah bola sepak, ketika anda yakin untuk menang tetapi sebaliknya berlaku. Kelantan adalah sebuah pasukan yang baik dan bermain dengan baik tetapi kita tewas kepada pasukan yang bermain lebih baik daripada kita.
"Mereka memiliki pemain import yang bagus dan dengan aksi yang dipamerkan, beliau (Owona) mampu membangkitkan semangat rakan-rakan lain serta mencorakkan permainan pasukan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, secara keseluruhan prestasi yang ditunjukkan oleh Kelantan belum mencapai tahap sebenar dan sentiasa masih ada ruang untuk diperbaiki terutama dalam mengharungi jadual perlawanan yang begitu panjang dan padat musim ini.
Katanya, dua bintang import yang dimiliki Kelantan, Mohammad Ghaddar dan Denny Antwi nyata belum berada di tahap sebenar dan mereka perlu bekerja lebih keras untuk mempamerkan aksi yang setimpal.
"Sebagai seorang pemain import sudah tentu mereka perlu memiliki 'Faktor X' yang membezakan antara mereka dan pemain-pemain tempatan dari semua segi. Mereka perlu menjadi kunci kejayaan pasukan seperti apa yang dilakukan Owona.
"Bagaimanpun, masih terlalu awal untuk kita mengukur kemampuan pemain-pemain import kita. Mereka akan diberikan peluang untuk memperbaiki persembahan dan kita yakin pemain-pemain Kelantan akan bangkit dari kekecewaan ini," ujarnya.
Jelasnya, kekalahan yang dialami cukup memeritkan namum, para pemain perlu lupakan segera episod duka tersebut kerana perjalanan mereka akan bermula Selasa ini dengan tugas mempertahankan kejuaraan Liga Super musim lalu perlu dipikul.

Akhirnya Chong Wei 'benam' Lin Dan

CHONG WEI (kiri) menewaskan Lin Dan pada final Kejohanan Badminton Terbuka Korea semalam.



AKHIRNYA, badi dan mimpi buruk jaguh perseorangan negara apabila bertemu Lin Dan lenyap di gelanggang Korea.
Semalam, takhta juara pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea kembali ke genggaman pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei setelah mengalahkan seteru utamanya, Lin Dan.
Dengan keputusan 12-21, 21-18, 21-14, Chong Wei dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan jaguh dari China itu pada final acara perseorangan lelaki.
Kejayaan pemain berusia 29 tahun di Gimnasium Olimpik Seoul, Korea itu menyaksikan dia membawa pulang ganjaran bernilai AS$75,000 (RM235,875).
Lin Dan yang menang selesa 12-21 di set pertama tidak kekal lama apabila Chong Wei menemui rentak untuk 'mendiamkan' jagoan dari China itu dengan mengheretnya ke perlawanan ke set penentuan yang mengambil masa satu jam 16 minit.
Nyata, reaksi positif yang ditunjukkan dan semangat untuk membalas dendam yang membara, memberi impak ke atas kejayaannya untuk menumbangkan Lin Dan.
Sejak awal lagi, bahang pertembungan antara dua musuh tradisi ini amat terasa dalam keduanya mencari kemenangan dengan menjelangnya Sukan Olimpik Julai nanti.
Justeru, dengan gelaran juara pada awal tahun 2012, ia dilihat bukan saja membangkitkan semangat juara dunia itu dalam pemburuan pingat emasnya di Sukan Olimpik 2012 malah sebagai peringatan kepada jaguh-jaguh China lain termasuk Chen Long.
Malah, rekod perlawanan yang konsisten memperlihatkan Chong Wei masih mempunyai sentuhan berbisa untuk membenam pemain-pemain dari China yang selama ini sering menjadi halangan kepadanya.
Ini termasuklah skrip ulangan yang ditempuhi Chong Wei tahun lalu apabila terpaksa bertarung hebat untuk menewaskan bintang dari China, Du Pengyu dalam aksi separuh akhir kelmarin.
Sementara itu, Lin Dan, juara dunia empat kali yang menewaskan Chong Wei dalam empat daripada lima pertemuan sepanjang 2011, terlebih dahulu menunjukkan jalan keluar kepada pemain Jepun, Sho Sasaki dalam perlawanan separuh akhir kelmarin.
Dalam pada itu, bagi kategori beregu lelaki pula, pemain tuan rumah, Jae Sung Jung-Yong Dae Lee tumpas kepada pemain China, Chai Yun dan Fu Haifeng dengan keputusan 18-21 21-17 21-19.
Bagi perseorangan wanita, peserta China, Wang Shixiang mudah menumpaskan rakan senegara, Jiang Yanjioa 21-12 21-17.
Peserta China terus gah apabila meraih kejuaraan dalam kategori beregu wanita dengan kejayaan Tian Qing-ZhaoYunlei 21-18 21-13 ke atas Jung Eun Ha-Ming Jung Kim dari Korea.

Pesanan Kim Swee



KIM SWEE (kanan) sentiasa mengingatkan para pemainnya agar memelihara disiplin di dalam dan di luar padang.


LUMRAH dalam kehidupan, si anak pastinya dirotan si bapa jika terlalu nakal dan sering membuat kesilapan.
Ia semata-mata mahu memastikan anak itu tidak hanyut dengan 'helah dunia' supaya berubah dan menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.
Pendek kata, yang baik dijadikan pedoman, manakala yang buruk pula dijadi- kan sempadan.
Demikian juga ceritanya dengan pengendali skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee yang jelas mahukan anak-anak buahnya mengekalkan disiplin tidak kira di dalam mahupun di luar padang.
Memiliki 'naluri' seorang bapa, sudah tentu Kim Swee mahu mana-mana pemain yang terlibat dengan sebarang kontroversi serta kurang berdisiplin sebelum ini supaya kembali 'membuka buku baharu' pada 2012.
"Saya percaya, kunci utama kejayaan pemain tidak kira apa jenis sukan pastinya terjamin jika mereka kekal berdisiplin serta sentiasa berusaha bersungguh-sungguh secara berterusan.
"Justeru, pemain harus sedar tanggungjawab masing-masing bagi mengharumkan nama negara kerana perjalanan kita masih panjang, tambahan pula bukan mudah kita mahu dimaafkan orang ramai jika pernah melakukan kesilapan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Semalam, seramai 29 pelatih Harimau Muda kembali berkumpul menjalani latihan seperti biasa di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil setelah sekian lama 'beristi- rehat' sebaik tamat siri ujian persahabatan di bumi Australia pada pertengahan Disember lepas.
Selain pemain lama seperti Mahali Jasuli, Izzaq Farris Ramlan, Mohamad Fadhli Mohd. Shas,Wan Zack Haikal Wan Nor, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, beberapa muka baharu juga mendapat kepercayaan Kim Swee kali ini bagi memberikan cabaran dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) bulan depan termasuklah V. Kavichielvan, Mohd. Azizan Nordin, Nur Areef Kamaruddin dan Mohd. Firdaus Muhammad.
"Malah, saya menasihatkan pemain supaya menjaga kekuatan mental masing-masing serta tidak mudah tunduk dengan tekanan dalam mana-mana perlawanan antarabangsa.
"Ia ekoran mana-mana pasukan terutamanya dari Asia Tenggara kini sudah tentu bersemangat untuk mengalahkan kita selepas meraih pingat emas temasya Sukan SEA baru-baru ini," kata Kim Swee.
Apa pun, cabaran Kim Swee itu pastinya harus 'dijawab' dengan penuh 'kejantanan' oleh anak-anak buahnya supaya kekal berdisiplin jika mahu cemerlang dalam Liga S nanti, selain mengekalkan fokus kepada sasaran jangka masa panjang termasuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar (2013) dan juga Sukan Asia di Korea Selatan pada 2014.
Jika gagal memelihara disiplin, maut mengundang.

'Kontrak tiga tahun, lama sangatlah'



SAFEE menganggap kontrak lanjutan untuk selama tiga tahun lagi bersama Pelita Jaya sebagai terlalu lama.


TEKA-TEKI berhubung ‘jodoh’ penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali bersama kelabnya, Pelita Jaya FC bakal diketahui dalam masa terdekat.
Selepas kontraknya bakal tamat pada 31 Januari ini, pihak pengurusan Pelita Jaya sebelum ini pernah mengemukakan kontrak lanjutan selama tiga tahun yang begitupun tidak dipersetujui pemain kelahiran Kajang, Selangor itu dengan alasan ‘terlalu lama’.
Hari ini, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim (gambar kecil) bakal ‘terbang’ ke Indonesia bagi mengadakan perbincangan lanjut bersama Pelita Jaya berhubung masa depan Safee.
Menurut beliau, Pelita Jaya sebelum ini pernah melahirkan hasrat untuk mengikat Safee sekurang-kurangnya selama tiga musim lagi.
“Tiga tahun lama sangatlah, Safee khuatir ia tidak membantu meningkatkan corak permainannya jika kekal di kelab yang sama untuk tempoh yang agak lama.
“Jika diikutkan, Safee hanya mahu kontrak lanjutan selama setahun sahaja, jadi saya akan berlepas ke sana pukul 1 petang esok (hari ini) dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) bagi mengadakan perbincangan lanjut dengan Pelita Jaya,” katanya kepada Kosmo!
Menurut Zakaria, perbincangan itu dijangka berlarutan selama beberapa hari sebelum mendapat kata putus berhubung masa depan Safee.
“Mereka (Pelita Jaya) mahu tiga tahun, Safee pula hanya mahu setahun.
“Jadi kita tengok dahulu macam mana, harap perkembangannya positif dan sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu akan saya maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Masa depan Safee bersama Pelita Jaya sebelum ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pemerhati bola sepak lantaran Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dikhabarkan bakal diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) gara-gara masalah berbangkit yang membabitkan saingan Liga Super Indonesia (ISL) dan Liga Premier Indonesia (IPL).
Disebabkan itu, Safee dilaporkan bakal berhijrah ke Liga Belgium atau Liga Australia bagi menyelamatkan kariernya yang dikhabarkan tidak dapat beraksi bersama skuad kebangsaan jika benar PSSI diharamkan.
Kontroversi itu begitupun berakhir apabila PSSI sah diambil alih oleh Komiti Penyelamat Sepak Bola Indonesia baru-baru ini yang akan segera menyelesaikan sebarang perkara berbangkit sebelum 20 Februari depan.

Pahang juara Piala Emas Raja-Raja



PEMAIN Pahang meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala Emas Raja-Raja setelah menumpaskan Melaka 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Temerloh, malam kelmarin.


PAHANG muncul juara Piala Emas Raja-Raja edisi 2011 setelah menewaskan Melaka 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh malam kelmarin.
Sokongan padu lebih 5,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium tersebut ternyata telah membakar semangat juang skuad Tok Gajah itu yang dilihat garang sejak daripada awal permainan.
Kemenangan tersebut mengulangi kejayaan mereka menjulang piala berkenaan pada 1980 selepas menewaskan Perak 4-2.
Pada aksi penuh mendebarkan itu, Pahang hampir mendahului pasukan pelawat pada minit keenam menerusi sepakan kencang Mohd. Shaiful Amri dari luar kotak penalti.
Bagaimanapun, tindakan pantas penjaga gol Melaka berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Serangan balas yang diatur anak didik Mahmud Hassan itu membuahkan hasil untuk Melaka membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi rembatan Zailan Mohammad dari luar kotak penalti.
Namun, semangat kental yang ditunjukkan skuad Tok Gajah berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-35 selepas Abd Malik Mat Ariff dikasari di depan kotak penalti.
Pada separuh masa kedua, anak didik Kamaruddin Shawkatali tidak memberi peluang kepada Melaka mencipta gol apabila larian pantas Mohd. Fauzi Rozlan dari tengah padang berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang pelawat pada minit ke-76.
Semangat tinggi yang disajikan pemain Pahang membawa kepada jaringan ketiga hasil tandukan Abd. Malik Mat Ariff pada minit ke-78 berpunca daripada sepakan percuma Mohd. Hafiz Kamal.
Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus mengesah Pahang untuk menjulang gelaran.
Hadiah disampaikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Kes Safee! FAM sedia bantu






“PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berusaha membuat rayuan kepada badan induk bola sepak dunia (FIFA) untuk Safee Sali sekiranya kejohanan Liga Super Indonesia (ISL) sudah sah diharamkan.”
Demikian respons Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (gambar kecil) ketika diminta mengulas mengenai nasib yang bakal menimpa penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali sekiranya ISL diharamkan.
Safee kini beraksi dengan kelab Indonesia, Pelita Jaya dan pemain kelahiran Kajang, Selangor itu mungkin tidak boleh mewakili skuad negara sekiranya ISL diharamkan.
Katanya, meskipun FAM tidak terlibat dalam perundingan Safee bersama pengurusnya, Zakaria Rahim dengan bekas kelabnya, Selangor dan Pelita Jaya, FAM tetap akan membantu Safee daripada terjebak dengan status haram ISL.
Menurutnya lagi, kehilangan peledak berbisa Asia Tenggara itu pasti dirasai oleh skuad negara selepas kesemua pemain yang beraksi di ISL akan dikenakan pembekuan status perpindahan.
“Sudah tentu FAM akan membantu Safee meskipun rundingan perpindahan ke Pelita Jaya dari Selangor hanya melibatkan Safee bersama pengurusnya (Zakaria) sahaja.
“Kehilangan Safee yang tidak dapat mewakili negara sekiranya dia mendapat status haram sememangnya sukar untuk diterima oleh peminat-peminat bola sepak tempatan.
“Skuad kebangsaan masih menagih khidmat Safee. Oleh itu, FAM mungkin akan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi menangani masalah ini mengikut undang-undang FIFA,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Azzuddin memberitahu kesahihan berita mengenai pengharaman ISL belum lagi terjawab memandangkan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada FIFA setakat ini.
Jelasnya, beliau berharap peminat-peminat bola sepak tempatan bersabar dan tidak bertindak secara melulu untuk membuat sebarang spekulasi selagi surat pengharaman ISL oleh FIFA belum disahkan.
“Saya tidak mengetahui hal itu terjadi (ISL diharamkan oleh FIFA). Saya akan pastikan maklumat tersebut benar terlebih dahulu sebelum mengemukakan rayuan kepada FIFA.
“Saya berharap penyokong tempatan tidak mudah terpedaya dengan khabar angin atau membuat sebarang spekulasi mengenai hal ini selagi isu ini belum disahkan oleh pihak FIFA,” katanya.
Sementara itu, Safee ketika dihubungi Kosmo! enggan mengulas lanjut berhubung isu pengharaman ISL. Bekas penyerang Selangor itu akan menjelaskan situasi tersebut pada sidang media minggu depan.
“Saya akan menjawab segala pertanyaan pada sidang akhbar Isnin depan,” katanya.
Safee sebelum ini berkata, sekiranya kelab Pelita Jaya yang diwakilinya terlibat dengan penggantungan FIFA, beliau akan cuba mencari peluang bermain di negara lain dan dalam masa yang sama mahu bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia.
Semalam, portal berita akhbar Republika Indonesia melaporkan, surat pengharaman ISL oleh FIFA itu ditujukan kepada Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Djohar Arifin Husin yang menyatakan ISL adalah liga yang tidak diakui oleh badan dunia itu.
Menurut kandungan surat tersebut, FIFA menerusi surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agungnya, Jarome Valcke dan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay menetapkan status haram kepada semua pemain, pegawai dan pengadil yang terlibat dengan ISL.
“Pemain yang bermain di ISL juga akan dikenakan pembekuan status perpindahan. Ini bermakna pemain tidak boleh bermain dalam liga atau kejohanan di negara yang merupakan anggota FIFA.
“Pemain seperti Safee juga terancam, tidak boleh bermain di luar ISL,” menurut portal tersebut.
FIFA bagaimanapun memberikan tarikh akhir 20 Mac tahun depan kepada Indonesia untuk menyelesaikan segala polemik yang berkaitan dengan arena bola sepak di republik itu atau berdepan dengan tindakan penggantungan atau pengharaman.
ISL merupakan kejohanan kelab-kelab bola sepak profesional di Indonesia tetapi tidak bernaung di bawah PSSI.