Showing posts with label hiburan. Show all posts
Showing posts with label hiburan. Show all posts

Amy Mastura pilihan jenama antarabangsa


Amy Mastura pilihan jenama antarabangsa
Siapa tidak kenal dengan penyanyi dan aktres awet muda, Amy Mastura, yang masih punya aura meskipun usia sudah menjangkau 41 tahun.
Kurang muncul di kaca televisyen, mahupun di majalah atau akhbar, tidak bermakna selebriti bertubuh genit ini sudah bersara dari dunia seni. Sebaliknya, seiring dengan pengalamannya, ibu kepada dua cahaya mata ini semakin selektif memilih tawaran. 

Menurut Amy, pencapaiannya dalam industri hiburan sehingga kini sudah melebihi daripada yang difikirkannya dahulu.

“Sehingga sekarang, saya masih tidak percaya dengan apa yang saya lakukan kerana pada awal penglibatan dalam bidang nyanyian, saya hanya berhasrat mengeluarkan satu album sahaja.

“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan pencapaian yang saya lakukan sehingga ke hari ini dan saya mahu lakukan karier ini selagi terdaya,” katanya.

Heroin filem Puteri Impian ini juga menyatakan tidak pernah terfikir untuk berundur daripada industri seni. Bagi Amy tiada istilah bersara baginya. Jelasnya, selagi dia diterima peminat, selagi itulah dia akan berkhidmat dalam industri. 

“Walaupun sudah meningkat usia, saya tidak pernah terfikir untuk bersara. Bagi saya sebagai seorang artis, konsep bersara itu tidak sesuai kerana saya tidak terikat dengan mana-mana majikan dan bergerak sendiri,”ujarnya.

Amy berkata, walaupun kini dia tidak muncul dengan lagu dan album baru, namun dia sering menerima jemputan membuat persembahan di majlis-majlis korporat dan persendirian selain menerima beberapa tawaran lakonan.


Tuah awet muda

Usianya kini tidak sedikit pun mempengaruhi pesona yang dimilikinya malah wanita ini juga semakin laris menerima tawaran sebagai duta dan jurucakap produk.

Wajah comel yang dimiliki ternyata memberi kelebihan buatnya yang kini mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Selain menjadi duta beberapa produk seperti Takasima, Quaker Oats dan Lifebouy, ibu kepada Adrianna dan Adalia ini juga telah membuktikan auranya selepas disunting menjadi duta produk kecantikan antarabangsa, Kose. 

Setelah setahun bergelar duta produk itu, Amy yang selesa dan berpuas hati dengan produk tersebut bersetuju menyambung kontraknya untuk tahun kedua.

“Sepanjang tahun menggunakan produk rangkaian Infinity, saya berpuas hati dengan hasil yang ditunjukkan. Oleh itu, saya bersetuju untuk menyambung kontrak ini.

“Selagi tawaran menjadi duta bertepatan dengan jadual harian, saya tidak akan menolaknya,” kata Amy yang menyarankan kaum wanita memakai produk yang selamat dan bermutu tinggi seperti mana produk Kose keluaran Jepun itu. 


Tetap utamakan keluarga

Menyentuh mengenai kehidupan peribadinya, penyanyi yang terkenal dengan lagu, Sha Na Na, ini tidak teragak-agak berkongsi kebahagiaan rumah tangganya.
 
“Alhamdulillah, saya bahagia sekarang tambah-tambah lagi dengan anak-anak yang semakin membesar. Sebagai seorang ibu dan isteri, saya amat mengutamakan keluarga.
 
“Saya perlu mengatur jadual dengan bijak supaya dapat menguruskan keluarga dan kerjaya dengan sebaik mungkin. Oleh itu, saya hanya akan menerima tawaran yang bersesuaian dengan jadual supaya keluarga tidak terabai,” katanya.
 
Apabila diusik pertanyaan menambah cahaya mata, penyanyi berbintang Taurus ini berkata, dia dan suami tidak merancang untuk memiliki cahaya mata lagi.
 
“Saya sudah bahagia dengan apa yang ada lagipun usia dah meningkat tapi kalau sudah rezeki saya tidak menolaknya,” kata Amy yang terkenal dengan sikap ramahnya.

Amy Mastura pilihan jenama antarabangsa

Amy Mastura

@sinarharian.com.my

Berkahwin dengan VIP?

Farina
Atmosfera industri seni bagaikan tidak henti-henti dari di datangi angin gosip-gosip liar yang bertebaran di sana-sini.

Terbaru, nama bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Farina hangat diperkatakan setelah beberapa spekulasi liar mengatakan wanita berusia 30 tahun ini bakal berkahwin tidak lama lagi.

Namun, yang menjadi topik hangatnya apabila lelaki yang bakal dikahwininya ini bergelar VIP dan sudah berumah tangga.

Tidak lari dari media mahu pun peminat, Farina atau nama sebenarnya, Zafarina Jamhari yang ketika ini berada di Kuching, Sarawak atas urusan kerja tidak menafikan mengenali VIP tersebut, namun menafikan sekerasnya dakwaan bahawa dia bakal mengakhiri status ibu tunggal yang dipegangnya.

“Saya agak terkejut dengan khabar angin ini kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Saya akui berkawan dengan seorang VIP, tetapi tidaklah sampai tahap untuk berkahwin seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.

“Buat masa ini saya tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan berita perkahwinan yang tersebar itu adalah fitnah,” jelasnya.


Enggan ulas gosip bercuti bersama

Menyentuh tentang percutian ke Pulau Langkawi bersama VIP terbabit seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak, Farina bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Buat masa ini saya tidak mahu komen. Insya-Allah setelah pulang dari Sarawak, saya akan beri kenyataan untuk menjawab semua pertanyaan,” katanya.

Tambah Farina, walaupun kurang menonjol di televisyen dan akhbar, dia masih lagi aktif dalam bidang nyanyian dengan tawaran membuat persembahan di majlis korporat.

Katanya, dia kini dalam perancangan mengeluarkan dua single terbaru.
@sinarharian.com.my

Isteri Jimmy tuntut hadanah

Isteri Jimmy tuntut hadanah
SHAH ALAM - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, menetapkan 30 April depan sebagai tarikh bicara kes tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) pasangan kontroversi, Jimmy Shanley Norjahan Salleh dan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.

Hakim Mawardi Che Man, menetapkan tarikh berkenaan selepas Jimmy, selaku defendan, menyerahkan afidavit jawapan terhadap tuntutan hadanah yang difailkan isterinya itu.

Bagaimanapun, Mawardi memerintahkan pihak Jimmy, yang diwakili peguam Mohd Noor Aizan Md Idrus, me­ngemukakan keterangan bagi menyokong dakwaan berkenaan isu kelayakan Nursuhaila yang dipertikainya.

“Isu penjagaan anak ini sebenarnya mudah dari segi undang-undang Islam dan hukum syarak. Selagi anak itu bawah umur, hak penjagaan memang di bawah ibunya.

“Namun, memandangkan defendan menimbulkan isu kelayakan si ibu dalam afidavit balasan, maka arahkan defendan memasukkan keterangan serta bukti untuk menyokong jawapannya itu.

“Sekiranya plaintif (Nursuhaila) mahu menjawab keterangan itu, saya benarkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh akan datang dan jika tidak ada jawapan kita terus tetapkan tarikh untuk hujahan,” katanya.

Mohd Noor Aizan ketika ditemui di luar mahkamah mengesahkan tuntutan hadanah itu difailkan Nursuhaila terhadap Jimmy pada 18 Oktober 2011.

Nursuhaila dilihat berada di premis mahkamah berkenaan, tetapi tidak masuk dalam kamar ketika kes itu disebut. Hanya peguamnya, Sa’adiah Din, yang hadir mewakilinya dalam prosiding.
@sinarharian.com.my

Melia: 'Itu bukan saya'

Melia Aimellia
BARU saja berkecimpung dalam dunia lakonan, bintang Karipap-Karipap Cinta, Melia Aimellia, kini sudah terpalit beberapa cerita negatif.

Jika sebelum ini, gadis bertubuh genit ini pernah didakwa hamil dan menggugurkan kandungan, kini namanya kembali panas apabila video bogel dikatakan miliknya, tersebar di beberapa portal hiburan.

Tidak mendiamkan diri, Melia menafikan bahawa gadis dalam video itu dirinya.

"Saya rasa ia super impose yang dilakukan pihak tertentu untuk menjatuhkan saya.

"Saya akui agak terkilan kerana ada pihak suka melihat saya jatuh dalam industri ini dengan melemparkan pelbagai cerita buruk, walaupun saya bukanlah sepopular pelakon lain," katanya kepada Zass.

Melia atau nama penuhnya, Noor Melia Aimiellia Zaidi, turut menjelaskan persoalan mengenai persamaan cincin dalam gambar screenshot video yang tersebar di portal hiburan itu.

"Saya pernah memakai cincin hitam yang diberi bekas teman lelaki. Tetapi cincin itu saya buang selepas siri jelajah Festival Filem Malaysia (FFM24) yang lalu, atas sebab kami sudah berpisah.

"Saya juga ada menghubungi portal hiburan itu dan mereka sendiri tidak dapat memastikan bila video itu diambil kerana tidak mengetahui sumber yang menyebarkan video tersebut.

"Jadi sepatutnya, orang lain tidak boleh menilai hanya kerana cincin itu. Lagipun wajah wanita dalam screenshot itu jauh berbeza dari saya. Saya tidak kisah mengenai hati dan perasaan saya, tetapi kesianlah pada keluarga yang turut mendapat tempias," katanya.


Ambil tindakan tegas

Ditanya adakah dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan ini, Melia tidak menolak jika isu ini menjejaskan maruah dan kerjayanya dalam bidang seni.

"Orang kata, kalau melenting, maknanya betul. Diam juga maknanya betul. Tapi buat masa ini, kalau ada yang tanya saya akan beri penjelasan.

"Tetapi jika tuduhan ini melampau sangat, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas. Berani kerana benar, takut kerana salah," katanya.

Dalam pada itu, Melia juga sempat mengulas mengenai dakwaan hamil dan menggugurkan kandungan sebelum ini kerana risau menjejaskan maruahnya. Jelas Melia, spekulasi itu tersebar apabila ada seorang dari produksi drama lakonannya menegur bentuk badannya yang kelihatan berisi ketika itu.

"Mungkin ada pihak yang dengar dan mengambil serius mengenai perkara itu. Tetapi sejujurnya saya tidak pernah hamil. Cuma badan berisi kerana terlebih makan," katanya.

Walaupun diduga pelbagai cerita negatif, Melia berkata, dia tidak berhasrat berundur dari bidang yang sudah diceburi sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia percaya rezeki yang diberikan ALLAH SWT dan tidak sesekali berputus asa dengan mudahnya kerana kontroversi seperti itu.
@sinarharian.com.my

Luahan Ika Nabila - dikatakan pengkid & kaki mabok!

Ika Nabila
Lahir menerusi program Akademi Fantasia musim keenam (AF6), nama Ika Nabila mungkin tidak segah rakan seangkatannya seperti Stacy, Nubhan, atau Saida. Namun Ika merupakan antara produk AF6 yang masih bertahan dalam industri seni sehingga kini.
Namun dalam meniti perjalanan sebagai anak seni, nama Ika tidak terlepas daripada kontroversi yang sedikit sebanyak mencalarkan namanya. Lebih membuatkan Ika kesal, orang sekeliling seolah-olah hanya ingin tahu kisah kontroversi berbanding karier seninya.
 
Dikait dengan 'pengkid', berpakaian seksi, kaki sosial dan terbaru dikatakan meminum arak, Ika mengakui terpaksa menelan satu persatu tohmahan orang luar hanya kerana beberapa keping gambar yang tersebar.
 
"Bila saya tahu orang kaitkan saya bercinta dengan 'pengkid' bernama Adlin, saya hanya ketawa. Hakikatnya, dia adalah pengurus saya yang dipanggil 'kak long' dan dia bersama saya sejak saya keluar AF lagi.
 
"Saya dengan kak long memang rapat dan dia sentiasa menemani saya ke mana sahaja. Malah, apabila berita itu keluar di akhbar mingguan tersebut, ayah saya sendiri yang memaklumkan kepada saya mengenai berita tersebut," katanya.

 
Bukan 'kaki minum'
 
Mengulas mengenai fotonya yang memegang minuman yang dipercayai arak, Ika mengakui tersilap sehingga membuatkan ramai pihak keliru. Jelasnya, air dalam gelas tersebut bukanlah arak sebaliknya, jus sparkling. Ika berkata, dia tidak pernah minum arak apatah lagi mabuk di depan khalayak seperti yang digambarkan pada foto itu.
 
"Sebenarnya air dalam gelas tersebut adalah jus sparkling. Saya tak tahu macam mana gambar itu boleh tersebar kerana ia hanya dipaparkan dalam gambar profil mesej Blackberry (BBM) saya.
 
"Malah, saya bersama Mimi Haris (penyanyi) ketika itu di sebuah pusat karaoke. Saya percaya ini perbuatan­ khianat individu yang tidak berpuas hati dengan saya.
 
"Bagaimanapun, saya mengakui silap kerana meletakkan gambar itu di profil BBM saya, sekali gus menyebabkan ada pihak salah faham,” jelasnya.
 
Masih aktif menyanyi

 
Menyentuh mengenai karier nyanyiannya yang dilihat semakin suram, Ika berkata, dia masih aktif memenuhi undangan pentas. Namun tidak mempunyai single terbaru.
 
"Kalau ikutkan, saya banyak mengi­kuti program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan tahun lalu saya kerap terbang ke Sarawak, bagi memenuhi undangan pentas.

@sinarharian.com.my

Diva pop Whitney dikebumi


Whitney Houston
NEW JERSEY - Mendiang diva pop Whitney Houston dikebumikan di tempat kelahirannya di bandar raya Newark, semalam.

Pengebumian yang diadakan secara tertutup itu diiringi dengan persembahan koir.

Keranda Houston kemudiannya dibawa keluar dari gereja pada jam 3.41 petang (4.41 pagi ini waktu Malaysia).

Beberapa orang rakan artis turut kelihatan pada upacara pengebumian, antaranya Rickey Minor dan Kevin Costner.

Penyanyi itu ditemui tidak sedarkan diri dalam tab mandi di bilik hotelnya di Los Angeles,11 Februari lalu.

Mendiang berusia 48 tahun.

Berita kematian penyanyi itu mengejutkan banyak pihak, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung punca kematiannya, yang dikaitkan dengan ketagihan dadah dan alkohol.
@sinarharian.com.my

Dadah: Ujian air kencing Saiful Apek, 3 rakan positif

Saiful Apek
PETALING JAYA - Seorang anggota polis hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa ujian saringan awal air kencing pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya yang lain didapati positif dadah.
Sarjan M.Sanggar, 48, berkata beliau menjalankan ujian air kencing terhadap Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, Noremy Mohamad, 28, selepas selesai melakukan
satu operasi serbuan di sebuah rumah di Bandar Sunway dekat sini.
"Hasil keputusan ujian air kencing itu didapati kesemua tertuduh positif dadah," kata saksi kedua pendakwaan ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.
Sanggar yang bertugas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berkata beliau kemudiannya menyerahkan sampel air kencing kesemua tertuduh kepada Pegawai Penyiasat Insp Rozlia Razali
untuk tindakan seterusnya.
Pada 1 November lalu, Saiful Apek dan tiga rakannya termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka.
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000.
Terdahulu Pegawai Risikan Cif Insp Mohd Shaifuddin Zulkifli, 31, yang bertindak sebagai ketua dalam operasi serbuan pada jam 10 malam bertarikh 12 Jun 2010 itu turut memaklumkan bahawa hasil serbuan di dalam rumah itu pasukannya
telah menemui ganja.
Mohd Shaifuddin berkata beliau telah mengarahkan Sanggar dan Rozlia untuk menjalankan ujian air kencing terhadap kesemua tertuduh.
"Saya menerima sampel ujian air kencing mereka daripada Rozlia pada jam lebih kurang 11.15 malam dan pada jam 12.05 minit pagi hari berikutnya (13 Jun 2010) saya menyerahkan botol spesimen air kencing mereka kepada pegawai penyiasat kes narkotik iaitu Insp Syed Mohd Rohayat Syed Ramlee.
Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Zambri Idrus dan Mohd Fadli Hashim.
Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid bersambung 27 Mac ini. - Bernama

Neelofa kongsi rezeki bersama anak-anak yatim


NEELOFA bersama anak-anak yatim
Secantik namanya, begitu juga cantiknya budi pekerti dimiliki selebriti yang kian meningkat , Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali dengan nama Neelofa.

Biarpun begitu sibuk dengan aktiviti mempromosikan filem sulung lakonannya, Azura di samping jadual padat sebagai pengacara Nona, namun si cantik ini masih sempat lagi mencuri masa untuk melakukan kerja amal.

Boleh dikatakan rezekinya ketika ini cukup murah dengan dihujani pelbagai tawaran lakonan, juga perniagaan kasutnya, tetapi anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini tidak lokek untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat.

Aktres baru sahaja menyambut hari lahir pada 10 Februari lalu, mengambil kesempatan membawa 30 anak yatim didatangkan khas dari Rumah Al-Faiz, Gombak bagi menonton wayang filem Azura di MBO, Space U8, Bukit Jelutong, baru-baru ini.

Telah lama menyimpan hasrat untuk membawa mereka menonton wayang, Neelofa yang juga pelakon utama filem tersebut, bersyukur dapat merealisasikannya pada malam Rabu lalu.

Neelofa berkata, hubungannya dengan kanak-kanak di Rumah Al Faiz, Gombak, sudah lama terjalin. Katanya, dia pernah menjadi pengacara untuk majlis-majlis amal, termasuk majlis berbuka puasa pada tahun lalu.

“Sebenarnya, kami sudah lama berkenalan dan saya anggap mereka ini sebagai adik-adik saya. Malah mereka pun memanggil saya dengan panggilan Kak Lofa.

“Kami kenal kebetulan semasa saya menjadi pengacara di majlis amal melibatkan Rumah Al-Faiz, Gombak. Jadi sudah lama saya menyimpan hasrat membawa mereka menonton filem pertama saya. Alhamdulillah, ia berjaya juga dilaksanakan,” katanya yang tampil kasual pada malam tersebut.

Mempunyai sembilan adik-beradik dan anak buah yang ramai, membuatkan pelakon ini tidak ‘kekok’ melayan karenah anak-anak yatim dengan mesra. Bukan saja berinteraksi, malah juga bergurau senda, sekali gus memperlihatkan sisi murni, Neelofa.

Mengulas mengenai program tayangan amal tersebut, Neelofa memberitahu tidak menganggap aktiviti itu sebagai program wajibnya setiap kali filem barunya keluar.

“Terlalu banyak program yang ada dalam perancangan. Tetapi saya tidak mahu program ini dianggap sebagai perkara wajib.

“Sekiranya ada peluang lagi saya akan luangkan masa untuk melakukan kerja amal seperti ini cuma tidak tahu bila,” katanya yang menganggap perkara itu sebagai program peribadinya.

Neelofa turut memberitahu, program tersebut juga bukan merupakan sebahagian daripada aktiviti mempromosikan filem barunya itu.


Sambut hari jadi dua hari awal

Tidak hanya meraikan anak yatim, Neelofa turut diberikan kejutan ketika awal tayangan filemnya itu dengan tontonan gambar-gambarnya ketika kecil sehinggalah kemenangannya sebagai Juara Dewi Remaja 2010/2011.

Tidak terhenti setakat itu, selebriti ini bertambah terkejut apabila kira-kira 30 ahli keluarganya, turut hadir membawa kek, sempena menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-23.

Biarpun hari lahirnya diraikan dua hari lebih awal, namun Neelofa kelihatan begitu terharu dengan ingatan daripada keluarganya yang sanggup meluangkan masa datang ke Kuala Lumpur.

“Tak sangka keluarga sanggup datang ke majlis ini untuk meraikan hari lahir saya memandangkan sudah lama kami tidak berjumpa.

“Apa pun saya begitu berterima kasih dengan usaha mereka yang sanggup menguruskan majlis ini. Saya tahu ini tentu idea kakak saya (Nabila) dan pihak pengurusan saya,” katanya yang diberikan kek berwarna biru lembut sesuai dengan namanya yang membawa maksud cahaya bunga biru.
Dalam pada itu, pihak MBO yang turut menaja lokasi tayangan amal tersebut turut memberikan bunga sebagai hadiah hari lahir kepada Neelofa.

Beberapa penonton bertuah pada malam tersebut turut diberikan kad keahlian MBO yang mengandungi baucer RM100 untuk menonton wayang di panggung tersebut.

Selain dihadiri dengan anak-anak yatim dan kaum keluarga, sesi tayangan amal tersebut turut dihadiri oleh 30 pembaca majalah hiburan No 1 negara, Media Hiburan.


Terima kritikan

Mengulas mengenai kritikan diterima menerusi lakonannya dalam filem Azura, Neelofa menganggap perkara itu sebagai semangat untuk dirinya melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Bagi orang yang membesar dengan filem Azura, mungkin ada yang tidak boleh terima pembaharuan dalam filem ini. Ada antara mereka yang membandingkan lakonan saya dengan pelakon lama.

“Tetapi bagi generasi muda, kebanyakan maklum balas yang saya terima baik kerana mereka suka dengan pengolahan cerita yang menggunakan latar masa zaman sekarang,” katanya yang telah menonton filem tersebut lebih daripada tiga kali.

Bagaimanapun, Neelofa berharap peminat dapat menerima lakonannya sebagai pelakon baru.

Tambahan pula, katanya, filem tersebut adalah lakonan pertamanya dan dia ditawarkan berlakon filem itu sebelum memenangi Dewi Remaja lagi.

“Saya harap peminat faham saya memulakan karier dengan filem ini. Jadi, jika diikutkan banyak perkara telah saya pelajari melalui pengalaman berlakon.

“Apa yang saya boleh katakan, peminat nilailah lakonan saya untuk filem yang akan datang juga dan pastinya terdapat perubahan dan peningkatan untuk itu,” katanya.

Neelofa turut mengakui kelemahan dan kelebihan yang ada pada dirinya selepas berlakon untuk empat filem lain.

Tidak memilih sebarang watak yang diberikan, Neelofa menganggap tawaran yang diterima sebagai satu cabaran baru buatnya.

“Saya tak kisah mengenai watak yang ditawarkan. Tetapi saya akan melihat jalan cerita, pengarah dan pelakon lain yang terlibat dalam produksi itu,” katanya.


Tumpu perniagaan

Tidak sekadar berbakat dalam bidang seni, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan Pemasaran ini turut berbakat dalam bidang perniagaan.

Memilih kasut sebagai produk perniagaannya, Neelofa optimis dengan setiap rekaan dihasilkan di bawah jenamanya sendiri.

“Tahun ini saya akan mengeluarkan lebih banyak rekaan kasut terkini dan saya kini sedang dalam proses melakukan penjenamaan semula kasut saya di bawah jenama Neelofa.

“Kebanyakan rekaan sudah dihantar ke kilang dan kini saya menunggu masa untuk memasarkan kasut tersebut, sekali gus merasmikan perniagaan saya,” katanya yang mendapat idea perniagaan kasut semasa menyertai pertandingan Dewi Remaja 2010/2011.
@sinarharian.com.my

Kematian Osama bin Laden dipermainkan

Kematian Osama bin Laden dipermainkan




Kematian Osama bin Laden dipermainkan
SALT LAKE CITY - Kematian pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden telah dipermainkan sebuah syarikat penerbitan tidak bertanggungjawab di Utah selepas mereka menerbitkan filem zombi (mayat berjalan) menggunakan watak beliau.

Filem berjudul Osambie: The Axis of Evil Dead itu memaparkan pertempuran antara Unit Angkatan Khas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dengan kumpulan militan zombi di kawasan gurun diketuai oleh Osama yang kononnya bangkit dari kematiannya.

Pengarah eksekutif, Kynan Griffin berkata, skrip tersebut telah dihasilkan sebelum Osama dibunuh pada Mei lalu.

Ia turut menggunakan tagline 'Bin Laden Will Die Again' (Osama akan mati sekali lagi) yang dianggap biadab dan dilihat bakal mencetuskan kemarahan orang Islam.
Sementara itu, sebuah lagi filem kontroversi arahan Kathryn Bigelow yang berkisar mengenai operasi memburu Osama juga akan diterbitkan walaupun menerima kritikan banyak pihak kerana ia secara terang mendedahkan misi rahsia Agensi Penyiasatan Pusat (CIA).
@sinarharian.com.my

Ratu muzik pop Whitney Houston meninggal dunia

Whitney-Houston
LOS ANGELES –  Whitney Houston, yang mencipta nama sebagai ratu muzik pop selain diselubungi pelbagai kontroversi termasuk isu dadah dan masalah rumah tangga, meninggal dunia semalam, demikian menurut laporan media. Mendiang berusia 48 tahun.
Jurucakapnya, Kristen Foster mengesahkan Houston telah meninggal dunia semalam.

Jabatan Polis Beverly Hills telah memberikan respons kepada panggilan telefon kecemasan yang diterima dari Beverly Hills Hotel semalam, kata seorang pegawai polis.
Bagaimanapun punca sebenar kematian belum diketahui buat masa sekarang.
Penyanyi pop legenda dan pelakon itu, yang pernah menguasai dunia muzik Amerika Syarikat pada 1980-an dan 1990-an, ditemui mati di hotel tersebut.
“Pada jam 3.55 petang (semalam, waktu tempatan), Whitney Houston diisytihar meninggal dunia di sebuah hotel di Beverly Hills,” kata pegawai polis Lt Mark Rosen.
Katanya, tiada tanda yang jelas berlakunya sebarang kejadian jenayah di bilik digunakan artis itu.
"Kes sedang disiasat oleh polis Beverly Hills,” kataya.
Houston mula menceburkan diri dalam bidang lakonan pada 1992 menerusi filem The Bodyguarddan seterusnya membintangi dua filem lagi iaitu Waiting To Exhale (1995) dan The Preacher’s Wife(1996).
"Pemenang anugerah Grammy sebanyak enam kali, Whitney Houston, salah seorang penyanyi hebat di dunia, yang telah meninggalkan nama dalam dunia muzik sejak tiga dekad lalu," kata Neil Portnow, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif The Recording Academy dalam satu kenyataan.
AKAN MENYUSUL
@sinarharian.com.my

Aziz Sattar terima BR1M


aziz satar
KUALA LUMPUR - “Pendapatan saya tidak menentu, kadang-kadang ada tawaran, tetapi ada juga tiga hingga empat bulan tiada tawaran berlakon. Kerana itu saya cuba mohon Bantuan Rakyat 1Malaysia ini, dan Alhamdulillah dapat”.

Demikian menurut pelakon dan pelawak veteran Datuk Aziz Sattar, antara penerima BR1M, di kawasan Parlimen Titiwangsa yang disampaikan Pemangku Ketua Umno, Datuk Johari Abdul Ghani.

Bercerita lanjut, Aziz berkata, dia gembira dengan kunjungan pemimpin setempat itu yang melapangkan masa menyampaikan sendiri baucar bantuan tersebut kepadanya.

Beliau berterima kasih kepada Umno Bahagian Titiwangsa yang yang prihatin kepada golongan warga emas sepertinya.

“Kehidupan saya sekarang ini seperti biasa, kalau ada tawaran berlakon, adalah pendapatan. Bila dapat lebih, perlu pandai-pandai uruskan untuk tampung perbelanjaan ketika tiada tawaran,” katanya ketika penyerahan baucar BR1M oleh Umno Bahagian Titiwangsa, di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Ampang Hilir, di sini kelmarin.

Aziz berkata, dia berhasrat bekerjasama dengan Umno Bahagian Titiwangsa menganjurkan program motivasi mengenang mereka yang berjasa kepada negara ini.

Katanya, rakyat perlu didedahkan sumbangan pemimpin sebelum ini sehingga sekarang.

Sementara itu, difahamkan jumlah penerima BR1M di Parlimen Titiwangsa setakat ini seramai 4,975 orang, manakala seramai 4,790 lagi dijangka menerimanya hari ini dalam satu majlis yang akan berlangsung di Pejabat Umno Bahagian Titiwangsa.
@sinarharian.com.my

Ana Raffali Kini Berhijab

Ana
Penyanyi yang bakal ke jinjang perkahwinan pada 25 Februari ini, Ana Raffali, mengambil keberkatan Maulidur Rasul untuk mengenakan hijab serentak kehadiran hari besar junjungan Nabi Muhammad SAW.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Tolong Ingatkan Aku' ini menegaskan keputusan diambil bukan atas desakan sesiapa namun  keinginan itu lahir atas kesedaran diri sendiri.

Ana juga menjelaskan tiada sebarang keraguan yang bermain dalam fikiran untuk bertudung malah bersyukur keinginan itu mendapat sokongan ramai terutama daripada keluarganya.

Tanpa berselindung Ana juga menjelaskan dirinya semakin tenang walaupun kini sibuk menguruskan majlis perkahwinannya yang berbaki dua minggu sahaja lagi.



@mediahiburan.karangkraf.com