Amy Mastura pilihan jenama antarabangsa


Amy Mastura pilihan jenama antarabangsa
Siapa tidak kenal dengan penyanyi dan aktres awet muda, Amy Mastura, yang masih punya aura meskipun usia sudah menjangkau 41 tahun.
Kurang muncul di kaca televisyen, mahupun di majalah atau akhbar, tidak bermakna selebriti bertubuh genit ini sudah bersara dari dunia seni. Sebaliknya, seiring dengan pengalamannya, ibu kepada dua cahaya mata ini semakin selektif memilih tawaran. 

Menurut Amy, pencapaiannya dalam industri hiburan sehingga kini sudah melebihi daripada yang difikirkannya dahulu.

“Sehingga sekarang, saya masih tidak percaya dengan apa yang saya lakukan kerana pada awal penglibatan dalam bidang nyanyian, saya hanya berhasrat mengeluarkan satu album sahaja.

“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan pencapaian yang saya lakukan sehingga ke hari ini dan saya mahu lakukan karier ini selagi terdaya,” katanya.

Heroin filem Puteri Impian ini juga menyatakan tidak pernah terfikir untuk berundur daripada industri seni. Bagi Amy tiada istilah bersara baginya. Jelasnya, selagi dia diterima peminat, selagi itulah dia akan berkhidmat dalam industri. 

“Walaupun sudah meningkat usia, saya tidak pernah terfikir untuk bersara. Bagi saya sebagai seorang artis, konsep bersara itu tidak sesuai kerana saya tidak terikat dengan mana-mana majikan dan bergerak sendiri,”ujarnya.

Amy berkata, walaupun kini dia tidak muncul dengan lagu dan album baru, namun dia sering menerima jemputan membuat persembahan di majlis-majlis korporat dan persendirian selain menerima beberapa tawaran lakonan.


Tuah awet muda

Usianya kini tidak sedikit pun mempengaruhi pesona yang dimilikinya malah wanita ini juga semakin laris menerima tawaran sebagai duta dan jurucakap produk.

Wajah comel yang dimiliki ternyata memberi kelebihan buatnya yang kini mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Selain menjadi duta beberapa produk seperti Takasima, Quaker Oats dan Lifebouy, ibu kepada Adrianna dan Adalia ini juga telah membuktikan auranya selepas disunting menjadi duta produk kecantikan antarabangsa, Kose. 

Setelah setahun bergelar duta produk itu, Amy yang selesa dan berpuas hati dengan produk tersebut bersetuju menyambung kontraknya untuk tahun kedua.

“Sepanjang tahun menggunakan produk rangkaian Infinity, saya berpuas hati dengan hasil yang ditunjukkan. Oleh itu, saya bersetuju untuk menyambung kontrak ini.

“Selagi tawaran menjadi duta bertepatan dengan jadual harian, saya tidak akan menolaknya,” kata Amy yang menyarankan kaum wanita memakai produk yang selamat dan bermutu tinggi seperti mana produk Kose keluaran Jepun itu. 


Tetap utamakan keluarga

Menyentuh mengenai kehidupan peribadinya, penyanyi yang terkenal dengan lagu, Sha Na Na, ini tidak teragak-agak berkongsi kebahagiaan rumah tangganya.
 
“Alhamdulillah, saya bahagia sekarang tambah-tambah lagi dengan anak-anak yang semakin membesar. Sebagai seorang ibu dan isteri, saya amat mengutamakan keluarga.
 
“Saya perlu mengatur jadual dengan bijak supaya dapat menguruskan keluarga dan kerjaya dengan sebaik mungkin. Oleh itu, saya hanya akan menerima tawaran yang bersesuaian dengan jadual supaya keluarga tidak terabai,” katanya.
 
Apabila diusik pertanyaan menambah cahaya mata, penyanyi berbintang Taurus ini berkata, dia dan suami tidak merancang untuk memiliki cahaya mata lagi.
 
“Saya sudah bahagia dengan apa yang ada lagipun usia dah meningkat tapi kalau sudah rezeki saya tidak menolaknya,” kata Amy yang terkenal dengan sikap ramahnya.

Amy Mastura pilihan jenama antarabangsa

Amy Mastura

@sinarharian.com.my