Berkahwin dengan VIP?

Farina
Atmosfera industri seni bagaikan tidak henti-henti dari di datangi angin gosip-gosip liar yang bertebaran di sana-sini.

Terbaru, nama bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Farina hangat diperkatakan setelah beberapa spekulasi liar mengatakan wanita berusia 30 tahun ini bakal berkahwin tidak lama lagi.

Namun, yang menjadi topik hangatnya apabila lelaki yang bakal dikahwininya ini bergelar VIP dan sudah berumah tangga.

Tidak lari dari media mahu pun peminat, Farina atau nama sebenarnya, Zafarina Jamhari yang ketika ini berada di Kuching, Sarawak atas urusan kerja tidak menafikan mengenali VIP tersebut, namun menafikan sekerasnya dakwaan bahawa dia bakal mengakhiri status ibu tunggal yang dipegangnya.

“Saya agak terkejut dengan khabar angin ini kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Saya akui berkawan dengan seorang VIP, tetapi tidaklah sampai tahap untuk berkahwin seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.

“Buat masa ini saya tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan berita perkahwinan yang tersebar itu adalah fitnah,” jelasnya.


Enggan ulas gosip bercuti bersama

Menyentuh tentang percutian ke Pulau Langkawi bersama VIP terbabit seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak, Farina bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Buat masa ini saya tidak mahu komen. Insya-Allah setelah pulang dari Sarawak, saya akan beri kenyataan untuk menjawab semua pertanyaan,” katanya.

Tambah Farina, walaupun kurang menonjol di televisyen dan akhbar, dia masih lagi aktif dalam bidang nyanyian dengan tawaran membuat persembahan di majlis korporat.

Katanya, dia kini dalam perancangan mengeluarkan dua single terbaru.
@sinarharian.com.my