Nur Suhaila selamat pulang ke tanah air malam tadi
NOOR AZURA SAHRIL
29 Mac 2012
Suhaila
Suhaila
SEPANG – Nur Suhaila Tukijan, 15, yang berjaya dibedah bagi merawat penyakit “Congenital Disorder” di Hospital Universiti Sharjah, Dubai selamat pulang ke tanah air, malam tadi.

Nur Suhaila yang ditemani ibunya, Hanita Mohd Tahir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, jam 11 malam dengan disambut oleh ahli keluarganya.

Sebaik tiba, Nur Suhaila dipeluk bapanya, Tukijan Abdul  dan dua adik-beradiknya yang setia menunggu dari jam 6 petang lagi.

Meskipun keletihan menunggu berjam-jam, rasa rindu terubat buat anak-anak Hanita, Nur Shahirah, 17 dan Mohd Akmal, 11, yang sangat merindui Nur Suhaila dan ibu mereka.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Nur Suhaila apabila penyakit yang dideritainya selama ini telah sembuh dan berpeluang menjalani kehidupan normal seperti manusia lain.

Kelihatan lebih sihat dan ceria, Nur Suhaila mengucapkan syukur dan rasa terharu yang tidak terhingga pada setiap pertolongan pelbagai pihak, sehingga merealisasikan impiannya kembali pulih seperti sedia kala.

Mengulas perkembangan kesihatan Nur Suhaila, Hanita berkata kesihatannya yang bertambah baik, membuatkan doktor membenarkan Nur Suhaila pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Sebaik dibedah 21 Mac lalu, tahap penyembuhan Nur Suhaila memberangsangkan. Dalam tempoh singkat, Nur Suhaila kembali pulih. Ini juga memeranjatkan doktor yang merawatnya," katanya.

Hanita berkata, hasil pemeriksaan susulan pada 26 Mac mendapati keadaan Nur Suhaila telah pulih dan dibenarkan pulang. Namun, perlu menjalani rawatan susulan setiap enam bulan sekali di hospital terbabit.
Katanya, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya dari awal mendapatkan dana membiayai rawatan pembedahan sehinggalah, Nur Suhaila selamat menjalani pembedahan dan pulang ke tanah air.
“Terima kasih kepada pihak hospital dan doktor yang merawatnya. Begitu juga dengan layanan rakyat Malaysia di Dubai iaitu pihak Malaysian-UAE yang banyak membantu mempermudahkan urusan di sana. Pertolongan dan bantuan yang dihulurkan amat-amat dihargai.
“Begitu juga dengan sumbangan orang ramai dan pihak lain, kerana sumbangan itulah yang merealisasikan impian Nur Suhaila untuk kembali sembuh,” katanya.
Menarik nafas lega, Hanita berkata, selepas ini Nur Suhaila tidak perlu lagi mengambil pil perancang dan kembali menjadi normal seperti wanita lain.
Tambahnya, kesihatan Nur Suhaila yang pulih sepenuhnya juga atas doa dan bantuan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, beliau juga menyatakan rasa terharunya atas pertolongan bagi mencukupkan dana bagi Nur Suhaila menjalani pembedahan di Dubai.
Kisah Nur Suhaila, dilaporkan oleh Sinar Harian pada 22 Februari lalu, di mana dia memerlukan RM60,000 bagi kos rawatan pembedahan.
Tabung Nur Suhaila dilancarkan Sinar Harian  mendapat perhatian rakyat Malaysia yang sememangnya tersentuh hati dan prihatin akan nasibnya.
Doa rakyat Malaysia juga akhirnya, pembedahan berjaya dan kesihatan Nur Suhaila bertambah baik.