PABILA memperkatakan mengenai sejarah Melayu, keris iaitu sejenis senjata pendek yang digunakan sejak lebih 600 tahun dulu pasti tidak dapat dipisahkan daripada warisan galur bangsa.
Senjata ini memang unik di dunia Melayu dan boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan Thailand; Mindanao, Filipina serta Brunei. 
Menurut Wikipedia, nama yang digunakan untuk keris berbeza mengikut daerah, misalnya sundang di Mindanao, kedutan di Bali, kujang di Jawa Barat dan kareh di Sumatera. 

Perkataan keris dikatakan berasal daripada bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.

Keris digunakan untuk mempertahankan diri, misalnya sewaktu bersilat dan sebagai alat kebesaran diraja. Senjata ini juga adalah lambang kedaulatan orang Melayu dan keris paling masyhur adalah keris Taming Sari iaitu senjata Hang Tuah, pahlawan Melayu terkenal.

Senjata itu dikatakan berasal dari Kepulauan Jawa dan sudah digunakan antara abad kesembilan dan ke-14. Ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mata, hulu dan sarung. 

Keris sering dikaitkan dengan kuasa mistik oleh orang Melayu pada zaman dulu. Antara lain, wujud kepercayaan bahawa keris mempunyai semangatnya yang tersendiri. 

Keris menurut amalan Melayu tradisional perlu dijaga dengan cara diasapkan pada masa-masa tertentu, malam Jumaat misalnya. 

Ada juga amalan memerah asam limau pada keris sebagai cara untuk menjaga logam keris dan juga menambah bisanya. 

Secara umumnya, ada sembilan kategori keris iaitu keris Semenanjung, Bugis, Jawa, Sumatera, Madura, Patani, Bali, Sajen dan Picit. 

Bagaimanapun, sejarah warisan bangsa itu semakin hari semakin pudar ditelan zaman kerana tidak ramai anak muda mempunyai kepakaran membuat keris. 

Menyedari hakikat itu, Zulkifli Wahab, 38, mula berkecimpung dalam bidang itu sejak hampir 12 tahun dulu berbekalkan minat dalam bidang kesenian. 

Zulkifli sedar, mewarisi kebolehan membuat keris bukan satu seni yang ada pada setiap orang, justeru kebolehan itu seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi memulihara dan memartabatkan kesenian bangsa. 

Menurutnya, dia berminat dalam bidang pembuatan keris dan barang purba seperti keris, pisau dan barang purba. 

“Saya berminat membuat keris kerana ia satu seni yang sukar dipelajari dan jarang orang Melayu kita berminat menceburinya dalam pembuatan keris ini,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor. 

Zulkifli berkata, sejak menceburkan diri dalam pembuatan kraf purba, dia mendapati kraf seni berkenaan adalah satu warisan yang ditinggalkan oleh orang seni terdahulu untuk diwarisi. 

“Jika dilihat pada keris ini, wujud pelbagai ukiran yang dibuat, semuanya adalah sejarah terdahulu yang diukir pada keris ini seolah-olah mempunyai mesej tertentu,” katanya yang menjual sebilah keris antara RM1,000 hingga RM5,500 manakala parang antara RM800 hingga RM1,500. 

Dia yang dikenali sebagai Zul Purba berkata, pelbagai jenis keris dan pisau dihasilkannya sepanjang terbabit dalam pembuatan senjata berkenaan. 
“Setelah 12 tahun berkecimpung dalam bidang pembuatan besi, saya berjaya menyiapkan lebih 1,000 keris hasil tangan seni saya. 

Ada pelbagai bentuk keris yang saya hasilkan, dijual dengan harga berpatutan. Sekarang, tempahan daripada peminat keris sungguh menggalakkan,” katanya yang cacat akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu. 

Zulkifli berkata, keris bukan saja sebagai lambang kemegahan, tetapi juga sebagai warisan bernilai tinggi yang digunakan sebagai senjata pada zaman dulu kala. 

“Dulu, perwira kita hanya menggunakan keris untuk berperang, mereka diiktiraf perwira kerana ketangkasan bermain keris. 

“Keris antara warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita,” katanya yang juga pemilik Zul Kraf Purba Warisan Seni Warisan Halus Tradisional. 

Zulkifli berkata, dia kini boleh membuat pelbagai bentuk keris selain menerima tempahan untuk ukiran pada senjata purba. 

“Ketika mula-mula menceburi bidang ini, saya agak kekok kerana memerlukan komitmen tinggi dan ketelitian untuk menghasilkan sebilah keris,” kata bapa kepada tiga anak itu. 

Zulkifli berkata, membuat keris memakan masa lama iaitu sehingga tiga minggu untuk sebilah keris kerana memerlukan cantuman daripada tujuh sehingga lapan besi. 

Selain itu, katanya, pembuatan keris bergantung kepada permintaan pelanggan yang inginkan saiz dan bentuk hulu yang diinginkan. 

“Pelbagai hulu keris saya boleh buat, antaranya hulu Jawa Deman yang reka bentuknya berasal dari Indonesia, Kake Pusaka dari Terengganu, Gajah Mina dan lain-lain, semua bentuk hulu ini direka mempunyai maksud dan sejarah tersendiri,” katanya yang turut dikenali sebagai Zul Pandai Besi. 

Keris yang sering mendapat tempahan adalah keris Malela, Anak Alang, Pandai Sarah, Pandai Mamat, Pukal dan juga Bugis. Tempoh masa membuat keris bergantung juga kepada bentuk keris. 

“Membuat keris sungguh sukar kerana mengahwinkan besi mengambil masa, manakala membentuk keris dengan alur dan lot juga sangat rumit. 

“Kadangkala cecah sampai satu bulan memandangkan keris ditempah adalah panjang dan mempunyai reka bentuk lain,” katanya. 

Di samping membuat keris bersama sarung, Zulkifli arif dalam membuat pisau seperti pisau daging, pisau lapah dan pisau sembelih. 

Baginya, ilmu dimiliki itu dikongsi dengan sesiapa saja yang berminat mempelajari cara membuat keris kerana ia adalah warisan kepada generasi akan datang. 

“Kepada sesiapa yang berminat belajar membuat pisau, hulu keris, datanglah ke tempat saya. Tiada bayaran dikenakan, cuma memerlukan minat dan sanggup belajar saja. 

“Inilah warisan yang panglima kita tinggal dulu sebagai senjata dan lambang kekuatan anak Melayu kita,” 

              Kami peniaga keris dimelaka jua menerima  tempahan keris dan membaiki keris.menempah pedang dan menempah  pisau dan peralatan senjata melayu.
http://cardovacreative.blogspot.com/