'Saya didik cucu sama seperti didik anak'
Rosmah Idayu Abu Samah
31 Mac 2012
midi
KELAHIRAN seorang bayi sering dikaitkan sebagai penyeri buat pasangan suami isteri. Mana tidaknya, cahaya mata yang sememangnya amat dinanti-nantikan mampu menjadi penawar dan mengeratkan lagi kasih sayang antara suami dan isteri.
Namun begitu, bagi insan yang bergelar nenek pula, keterujaan menimang cucu turut dirasakan kerana kehadiran cucu juga mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Bagi Rohani Mohamad, saat pertama kali menimang cucu kira-kira lapan tahun lalu masih segar dalam ingatannya. Mana tidaknya, seluruh keluarga teruja menerima kehadiran cucu sulung.
“Tidak dinafikan perasaan teruja itu memang ada dalam diri makcik sekeluarga tatkala menimang cucu sulung. Makcik sering mendengar cerita kawan-kawan mengenai keterujaan mereka menimang cucu. Jadi,sudah pasti makcik juga tidak terkecuali,” ujar Rohani lanjut kepada wartawan majalah MIDI terbitan Kumpulan Media Karangkraf.
Rohani kini memiliki empat orang cucu berusia antara dua bulan hingga lapan tahun. Pada usia 51 tahun, Rohani gembira kerana kehidupannya dikelilingi gelak tawa anak dan cucu dan mereka membesar di hadapan matanya.
Rohani mengambil tanggungjawab mengasuh sendiri dua daripada empat orang cucunya apabila anak menantu keluar bekerja. Manakala dua orang lagi cucu Rohani sudah bersekolah.
Apabila ditanya mengenai cara pendidikan yang diterapkan untuk cucu-cucu tersayang, Rohani mengakui agak tegas dalam soal pendidikan terhadap cucu-cucunya.
Malah, dia menerapkan cara pendidikan yang sama diamalkan ketika mendidik anak-anaknya dahulu. Bagi  Rohani, tiada kompromi dalam soal pendidikan kanak-kanak.
“Makcik pasti ramai beranggapan seorang nenek akan berubah apabila mereka mengasuh cucu. Pada pandangan makcik, ia merupakan hak dan cara masing-masing dan tidak boleh diukur kerana ia amat subjektif  untuk dinilai.
Tetapi bagi diri mak cik, cara didikan yang diberikan tidak banyak beza dengan apa yang mak cik praktik semasa anak-anak masih kecil. Jika mereka membuat kesalahan atau nakal, mak cik tetap akan memarahi mereka dan menegur kesalahan yang dilakukan,” sambung Rohani lagi.

Sambut hari jadi bersama
Sebagai suri rumah tangga sepenuh masa, Rohani sudah terbiasa mempunyai kanak-kanak di rumah memandangkan dia mengambil upah mengasuh anak-anak ketika menetap di kem polis di Cheras.
“Ketika menetap di Kem PGA, makcik mengambil upah mengasuh kanak-kanak di rumah. Selain memperoleh pendapatan sampingan, kanak-kanak ini juga menjadi teman ketika suami keluar bertugas. Jadi, sejak dahulu lagi ma cik sudah biasa dikelilingi oleh kanak-kanak. Apabila sudah ada cucu sendiri, segalanya tidak menjadi masalah buat mak cik,” ujar Rohani sambil melayan dua daripada empat orang cucunya.
Bagi keluarga besar ini, saat paling dinanti-nantikan adalah apabila seluruh keluarga dapat berkumpul dan meraikan hari istimewa bersama-sama. Mereka sekeluarga tidak pernah lupa  meraikan hari lahir cucu-cucu kerana ia merupakan saat yang paling dinanti-nantikan oleh kanak-kanak.
“Kebiasaannya kami akan mengadakan majlis secara kecil-kecilan bersama anggota keluarga untuk meraikan hari lahir cucu. Mereka amat teruja diraikan. Acara memotong kek paling mereka nanti-nantikan. Jadi, tidak salah jika kami mengadakan majlis tersebut demi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” ujar Rohani yang gemar memasak sendiri juadah untuk dinikmati oleh mereka sekeluarga.