Tembakan perompak tersasar

Tembakan perompak tersasar
AMRAN ALI
7 April 2012
Unit Forensik melakukan siasatan di premis terbabit.
BATU BERENDAM – Seorang pemilik sebuah restoran di Taman Merdeka, di sini, bertindak berani mengejar penjenayah yang merompak kedainya kelmarin, walaupun dia sendiri nyaris ditembak.
Terselamat daripada tembakan pertama, mangsa, J Suthagar, 25, nekad mengejar suspek yang cuba melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Inspira.

Di persimpangan lampu isyarat Gangsa-Lebuh SPA, kira-kira empat kilometer dari kedai mangsa, perompak terbabit sekali lagi menembak Suthagar namun tersasar.
 
Menceritakan semula detik cemas itu, Suthagar berkata, ketiga-tiga perompak berkenaan dalam lingkungan 30-an hingga 40-an memasuki kedainya kira-kira jam 1 petang.

“Mereka menyamar sebagai pelanggan dengan memesan minuman dan makanan.

“Kira-kira sejam selepas itu, saya ke dapur kedai untuk melihat dua pekerja, tiba-tiba tiga lelaki ini turut mengekori saya dan meragut rantai saya bernilai hampir RM10,000,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada penjenayah terbabit melepaskan satu das tembakan ketika dia cuba melawan namun tidak mengena.

Suthagar berkata, selepas meragut rantainya, seorang suspek berlari ke arah kaunter dan melarikan pula beg yang mengandungi wang kutipan hasil jualan berjumlah kira-kira RM2,000.

“Saya kemudian membaling botol ke arah kereta yang mereka gunakan untuk melarikan diri.

“Dengan bantuan salah seorang pekerja, saya menaiki kereta Perodua Viva dan mengejar mereka sehingga di lampu isyarat persimpangan Gangsa,” katanya.

Menurutnya, ketika berhenti di lampu isyarat berkenaan, seorang suspek keluar dari kereta dan melepaskan satu lagi das tembakan.

“Namun, sekali lagi saya bernasib baik apabila tembakannya tersasar, sebelum akhirnya mereka berjaya melarikan diri setelah melanggar bahagian belakang beberapa kereta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan R Gunarajan berkata, siasatan polis tidak menemui sebarang kelonsong dan peluru di tempat kejadian.

“Kita percaya suspek mungkin menggunakan peluru kapur dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.