Tiga ahli Geng Lastik dicekup/http://www.hmetro.com


IPOH: Satu sindiket curi kereta mewah digelar Geng Lastik mempunyai taktik unik melarikan kereta milik mangsa apabila menggunakan lastik dan beberapa biji guli sebagai modal memudahkan kegiatan jenayah.
Berbekalkan ‘senjata’ itu, sindiket dianggotai tiga individu termasuk seorang pakar kunci kenderaan terlebih dulu akan ‘mencuba nasib’ dengan melastik ke arah tingkap cermin kediaman mangsa bagi memastikan kewujudan penghuni rumah. Selepas mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni, suspek kemudian akan memecah masuk rumah mangsa sebelum melarikan kereta mewah dengan menggunakan kunci pendua. Bagaimanapun, kumpulan samun yang dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lalu itu akhirnya tumpas selepas polis memberkas ketiga-tiga suspek berusia antara 30 dan 40 tahun ketika mereka bersembunyi di hotel murah di Taman Ipoh di sini, kira-kira jam 1.10 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata hasil siasatan ke atas suspek akhirnya membawa kepada penemuan semula dua kereta curi model BMW 1 Series dan Honda Accord bernilai hampir RM320,000 yang turut digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan samun dan pecah rumah di negeri itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua kereta itu dilaporkan hilang oleh pemiliknya awal bulan ini di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan Batu Gajah.