Apa itu Keris?







Awal bicara dengan BISMILLAH...

Keris ialah sejenis "senjata" yang hanya terdapat di Nusantara, kepunyaan bangsa rumpun Melayu yang tersebar dari selatan Filipina, Tanah Melayu dan Kepulauan Indonesia.

Perkataan keris itu sendiri menggambarkan sejenis benda budaya yang mempunyai keunikan yang tidak terdapat pada budaya lain.

Menurut Kamus Dewan, keris ialah sejenis senjata bermata dua yang tajam bilahnya, lurus atau berkelok-kelok. Ini adalah definisi yang mudah bagi keris kerana terdapat banyak senjata daripada kebudayaan yang lain yang bermata dua, lurus dan berkelok-kelok.

Apa yang membuatkan keris itu unik ialah pada kaedah pembuatannya dan juga komponen yang terdapat pada keris yang membezakannya daripada senjata lain.

Dari segi penamaan itu sendiri, sejarah lisan dari negeri Kelantan memberikan perkataan keris itu membawa maksud "Keramat, Rahsia, Yang, Satu", daripada huruf jawi Kaf, Ra, Ya, Sin.

"Keramat" yang dimaksudkan di sini ialah kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hambanya yang suci dan keramat tersebut membawa kepada kebaikan. Oleh itu, "Keramat" pada keris ialah kemuliaan yang diberi kepada keris oleh bangsa Melayu.

Di dalam keris terdapat "rahsia". Rahsia ini akan dibicarakan dalam bab/ post selanjutnya.

"Yang Satu" di sini membawa erti, tersimpannya pada keris itu apa yang boleh mendekatkan kita kepada "Yang Satu", iaitu keilmuan tentang Tuhan Yang Maha Esa.

Justeru, pada psiki orang Melayu, terdapat sesuatu kemuliaan bersangkut yang terdapat pada keris.

Anggapan bahawa keris itu merupakan satu senjata sekadar untuk membunuh mungkin tersasar. Keris lebih merupakan satu kelengkapan orang Melayu yang menjadi "azimat" kepadanya. Orang Jawa mengatakan bahawa keris ialah "tosan aji" atau "senjata yang mempunyai kuasa ajaib".

Amat malang jika sesuatu yang kita anggap sebagai "azimat" atau yang mempunyai kuasa ajaib itu hanya layak  digunakan untuk membunuh. Lebih baik seseorang itu menggunakan sebilah parang atau buluh runcing (yang lebih mudah didapati) daripada menggunakan sebilah keris yang mempunyai nilai seni yang tinggi.

Pada sebilah keris yang tinggi mutunya, tersimpannya pengetahuan dan teknologi orang Melayu. Keris menjadi ikon orang Melayu kerana kebanyakan daripada binaan orang seperti istana-istana Melayu silam, kapal-kapal besar atau jong melayu telah lama pupus atau hancur ditelan zaman atau dimusnahkan oleh penjajah.

Akan tetapi pada sebilah keris tersematnya bukti bahawa orang Melayu pandai mencampur, menempa dan membentuk besi, sehingga memberikan corak atau pamor pada bilah keris. Pada sebilah keris juga terdapat bukti kesenian cara menggunakan kayu, yang dilestarikan dalam bentuk ukiran pada hulu dan sarung keris, dan juga penggunaan pertukangan halus untuk menghasilkan perhiasan pada keris yang menggunakan logam emas, perak dan suasa.

"Keris menjadi batang tubuh
Boleh berwakil boleh disuruh
Boleh mengganti boleh berjanji
Boleh berupa boleh menyerupa
Boleh sekejap sekejap atau sementara
Boleh berlambat atau berlama"

-Dr Tenas Effendy-