Pengenalan Keris


Masyarakat di Kepulauan Melayu sememangnya mempunyai kebudayaannya yang tersendiri. Kebudayaan yang wujud diterjemahkan dengan penuh kesenian melalui tingkah laku, adat resam, tarian, pakaian hinggalah bidang persenjataan.

Masyarakat Melayu sebagai masyarakat bertamaddun sememangnya mempunyai identiti tersendiri khususnya dalam dunia persenjataan. Senjata yang terhasil digunakan untuk mempertahankan diri, menentang musuh dan juga digunakan untuk membantu kerja-kerja harian. Penghijrahan kelompok masyarakat Melayu dari satu kawasan ke kawasan yang lain sedikit sebanyak mempengaruhi corak dan reka bentuk yang ada pada senjata tradisional mereka. Perkembangan pelbagai budaya etnik menghasilkan sejumlah senjata yang pelbagai bentuk sama ada dari segi nama, bentuk dan ukiran yang unik.

Manisfestasi keunikan penciptaan senjata warisan yang pelbagai ini telah diterjemahkan dalam bentuk ukiran yang berseni dan halus ciptaannya. Ukiran ini merupakan hasil garapan ilmu dan kemahiran yang tinggi dan lahir daripada hati nurani pembuatnya. Selain pembuatan, penciptaan senjata-senjata ini juga memerlukan penjagaan rapi dan bertertib, penuh dengan tatasusila yang harus dipatuhi oleh pengamalnya.

Malangya, arus globalisasi masa kini sedikit sebanyak meminggirkan senjata warisan yang menjadi keagungan nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Kesan daripada perubahan masa dan keadaan, senjata warisan kini hanya sebagai simbol budaya dan hanya berfungsi sebagai barang perhiasan semata-mata. Diharapkan penulisan ini dapat menimbulkan kesedaran dan rasa kecintaan terhadap khazanah budaya bangsa dalam kalangan segenap lapisan masyarakat terutamanya generasi pewaris budaya Melayu.