Pendahuluan Keris


Budaya perkerisan adalah budaya yang sinonim dengan bangsa Melayu. Walaupun menjadi simbol terkenal orang Melayu, sehingga budayawan A.Aziz Deraman mengatakan "Melayu itu keris dan keris itu Melayu", akan tetapi ramai yang belum lagi mengenali tingginya budaya yang menjadi peninggalan agung leluhur kita ini. Lebih sedih lagi, ada yang cuba mempersoalkan pengggunaan keris oleh orang Melayu sebagai tanda untuk mencari gaduh dan sebagai perpecahan.

Oleh itu, kami berharap dapat memberi gambaran yang betul tentang budaya keris kerana seperti pepatah Melayu, "yang salah harus dibetulkan, yang ke sasar harus ditepatkan, yang kurang harus digenapkan".

Umum mengetahui keris adalah suatu khazanah budaya Melayu. pada keris terpancar makna dan pengajaran yang penting umat Melayu, satu peringatan dari nenek moyang tentang asal usul orang Melayu. Benda budaya ini menceritakan pensejarahan dan evolusi umat Melayu melalui pelbagai ricikan atau tanda-tanda yang terdapat pada keris. Untuk meyakinkan pandangan bahawa keris membawa petanda dan perlambangan, kami akan memberi maksud perlambangan ini satu per satu dan perkaitannya dengan budaya dan perilaku orang Melayu yang terbukti lestari sekian lama.

Keris Melayu bukanlah hanya satu senjata yang ampuh membawa maut yang digunakan untuk bertikam. Malah makna simbol-simbol yang tedapat dalam keris lebih tinggi nilainya untuk orang Melayu mengenang kembali tentang dirinya sendiri dan menjawab persoalan siapakah itu insan Melayu dan asal usul kepercayaannya. Dimuatkan juga sedikit aspek dan pandangan Islam tentang pensejarahan keris yang telah diterapkan ke dalam budaya.

Penulisan dari masa ke semasa di dalam blog ini diharap dapat menjawab pelbagai persolan kebudayaan tentang keris, terutamanya persoalan betapa pentingnya keris itu kepada orang Melayu sebagai azimat yang dapat memperkasakan jati diri dan kekuatan orang Melayu. Semuanya ini terkandung dalam apa yang tersirat pada keris itu sendiri.