Dendam mafia


MELAKA: Angkara dendam, sindiket penyeludupan kini bertindak ala mafia apabila cuba membunuh seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri dengan menembak mangsa dari jarak dekat di rumahnya di Sungai Air Hitam, Tanjung, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Rosli Aziz, 52, yang baru keluar rumah untuk ke tempat kerja cedera parah terkena dua das tembakan di bahu dan tangan kirinya. 

Kumpulan lelaki yang menyerang mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket penyeludupan dan dipercayai membalas dendam terhadap pegawai itu yang giat melakukan operasi mencegah penyeludupan terutama di kawasan selatan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, ketika kejadian mangsa berada di pintu rumahnya apabila empat lelaki sedang menunggu di pintu pagar yang terletak pada jarak 15 meter.

Katanya, mereka dipercayai cuba membunuh pegawai itu apabila seorang daripadanya melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan dua das mengenai bahu dan tangan kirinya.

@hmetro.com.my