Hassan bertemu pimpinan, mohon maaf

hassan ali
SHAH ALAM- Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali telah bertemu pemimpin tertinggi Pas dan memohon maaf serta menarik balik segala kenyataannya terhadap parti itu sebelum ini. 
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pertemuan Hassan bersama pimpinan itu perlu dicontohi. 
"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.
"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf. Jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya. Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Hassan," katanya dipetik Harakahdaily. 
Pertemuan itu berlangsung di JKR 10, Kota Bharu Kelantan semalam di mana Hassan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bertemu pemimpin tertinggi iaitu Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.
Selain itu, Nik Aziz berkata, pertemuan yang dianjurkan Pas Pusat ini katanya, "jika PAS Pusat tak atur pun, saya akan panggil dia.
"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini.
Saya berharap Pas Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya. Ahli-ahli Pas boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadangnya.

@sinarharian.com.my