AJL 26. Lagu mana layak bergelar Juara?

 Lagu mana layak bergelar Juara?
Debaran malam kemuncak Anugerah Juara Lagu kali ke-26 (AJL26) makin dirasai. Hanya tinggal empat hari lagi untuk menyaksikan lagu manakah yang bakal membawa pulang trofi Juara.

Jika diselak diari anugerah berprestij itu tahun lalu, timbul sedikit kontroversi apabila ada pihak yang mempertikaikan kejuaraan Ana Raffali menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku.

Apatah lagi, kenyataan yang bercanggah daripada juri menyebabkan isu itu hangat diperkatakan buat seketika.

Bagaimanapun, belum pun berlangsung malam kemuncaknya, pemilihan 12 lagu ke final AJL26, menimbulkan persoalan dan spekulasi apabila ada pihak yang mendakwa, kesemua lagu yang dipilih berdasarkan populariti lagu itu semata-mata.

Melihat lagu yang layak ke final AJL26 seperti lagu; Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna), Sedetik Lebih (Jaclyn Victor), Awan Nano (Hafiz), Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Beribu Sesalan (Tiga Suara), Kekanda Adinda (Atilia & Monoloque), Sungai Lui (Aizat), Kisah Hati (Alyah) dan Gadis Semasa (Yuna) kesemuanya merupakan lagu yang pernah mendapat tempat di carta-carta lagu.

Undian yang dijalankan oleh Zass mengenai lagu manakah yang layak bergelar juara, menunjukkan lagu Beribu Sesalan mendapat undian tertinggi, diikuti Sedetik Lebih. Malah dari segi undian pemilihan lagu berdasarkan kualiti dan populariti, ramai yang mengatakan lagu yang bakal bergelar juara dipilih berdasarkan kualiti dan bukannya populariti.

Bagaimanapun, benarkah dakwaan lagu popular lebih berkemungkinan menang? Ikuti penerbit AJL26, selebriti dan peminat mengenai lagu manakah yang bakal bergelar juara.


Bukan sekadar popular: Azhar

Pada 2 Disember lalu, iaitu selepas pengumuman 12 buah lagu diketahui, Ketua Juri Separuh Akhir Muzik Muzik 26, Azhar Borhan memberi penjelasan mengenai lagu yang terpilih dan sekali gus menepis dakwaan bahawa pemilihan lagu-lagu tersebut adalah berdasarkan populariti.

“Saya sendiri secara peribadinya tidak pernah mendengar separuh daripada lagu terpilih sebelum ini, maka susah hendak dapat gambaran lagu mana yang popular.

“Malah, kesemua juri yang terlibat tidak pernah mengadakan perbincangan sesama sendiri dan kami membuat penilaian berdasarkan kekuatan lagu itu sendiri bukan populariti,” katanya.

Menjawab pertikaian mengenai kriteria yang melayakkan Cinta Muka Buku ke AJL26, Azhar berkata, kekuatan lagu itu terletak pada melodi dan liriknya yang ringkas dan catchy.

“Mungkin bagi orang lain, lagu ini sangat ringkas tetapi itulah kekuatan sebenarnya. Selain itu, kesemua juri juga bersepakat bahawa Cinta Muka Buku berjaya menonjolkan sesuatu yang ‘segar’,” katanya.

Selain Azhar, juri lain yang terlibat adalah Profesor Madya Dr Lim Swee Tim, Azlan Abu Hassan, Yassin dan Hazami.


Sistem penjurian berbeza: Huda

Sementara itu, Pengarah dan juga Penerbit Anugerah Juara Lagu ke-26, Nurhul Huda Khalid menjelaskan, bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit mengenai AJL pada tahun ini, pihak TV3 membuat perancangan rapi dengan mengetatkan sistem penjurian yang ada untuk majlis tersebut.

Huda berkata, sistem penjurian untuk acara gemilang itu pada kali ini berbeza dengan AJL tahun-tahun sebelumnya.

“Pada kali ini, kami lebih menitikberatkan sistem penjurian dengan menampilkan lebih 20 barisan juri yang kesemuanya arif di dalam bidang muzik.

“Bagaimanapun, kesemua juri ini tidak akan didedahkan kerana bimbang adanya isu berbangkit. Namun, mereka ini terdiri dalam kalangan penggiat muzik tempatan,” katanya kepada Zass, semalam.

Menurut Huda, sistem penjurian untuk AJL26 akan dibahagikan kepada dua peringkat; pra-produksi dan juga pada malam persembahan.

“Lebih daripada 10 juri akan dikhaskan untuk mengadili pada peringkat awal iaitu dengan menilai dari segi komposisi lagu dan keseluruhan lagu.

“Manakala, juri selebihnya akan mengadili dari segi persembahan dan vokal peserta pada malam kemuncak AJL26,” katanya yang berharap tiada kontroversi mengenai hal penjurian pada kali ini.

Menurutnya, perubahan yang dilakukan oleh pihak pengurusan TV3 ini diharap dapat memuaskan hati semua pihak terhadap keputusan yang bakal diumumkan nanti memandangkan sistem penjurian lagu telah diperinci.

Dalam pada itu, Huda turut berkongsi cerita mengenai tema yang dipilih untuk AJL kali ini iaitu air.

 Katanya, penampilan tiga nama besar, Raja Pop Jamal Abdillah, Raja Rock Awie dan Ratu Jazz Datuk Sheila Majid untuk persembahan pembuka tirai juga akan menampilkan tema air dalam setiap persembahan mereka.

Selain itu, segmen interlud turut menampilkan barisan muka-muka baru dalam industri muzik termasuk Black, Azlan The Typewriter dan Hazama.

Mengulas mengenai lagu yang bakal dipilih sebagai juara, Huda mengatakan perkara itu begitu subjektif apabila membuat perbandingan antara populariti dan juga kualiti sesebuah lagu tersebut.