Cabaran dakwah, tarbiah zaman IT

Cabaran dakwah, tarbiah zaman IT
Dakwah Rasulullah SAW tidak sekadar kata-kata yang bersifat ajakan, nasihat, seruan dan peringatan terhadap sesuatu tetapi kepada kesabaran, kelembutan bicara, kesesuaian orang yang didakwahi, ketegasan menyatakan prinsip dan pedoman, kejelasan menyatakan yang makruf dan mungkar.

Bagaimanapun, sifat zaman kini berubah dan faktor ruangnya lebih dinamik. Dakwah di dunia Melayu adalah amat unik. Keupayaan pendakwah mendekati raja dan pengusaha berupaya mengembalikan mereka kepada fitnah.

Tetapi suasana masyarakat pada awal abad 21 sedang mengalami perubahan yang amat pesat dalam semua lapangan. Ketika itu, proses pembaratan yang berlaku diperkukuhkan lagi dengan strategi globalisasi yang menyebabkan corak komunikasi dan telekomunikasi berubah, sistem maklumat dan keilmuan menjadi sejagat dan rangkaian internet menjadi semakin dekat dengan masyarakat Malaysia khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pengerusi Dakwah Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Prof Datuk Dr Sidek Baba berkata, keadaan sebegini menyebabkan lahirnya kecenderungan baru dalam kalangan warga Malaysia untuk maju dan membangun.

“Golongan pendakwah berdepan cabaran baru yang lebih sengit apabila sesetengah masyarakat tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti berlaku pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an.

“Sebahagian generasi muda mudah terpikat dengan pengaruh budaya dan gaya hidup Barat menerusi pengaruh media elektronik dan cetak yang memancarkan gaya hidup bebas,” katanya pada Seminar Selamatkan Akidah baru-baru ini.


Pendekatan bijak

Sidek berkata, menjadi perkara penting bagi pendakwah abad ini mencari kebijaksanaan dalam mengambil pendekatan memilih kaedah yang terbaik dalam realiti yang pantas berubah.

“Pendekatan bottom-up harus diperkasa dengan memberikan strategi alternatif terhadap isu Islam.

“Ilmuwan Islam sama ada yang lahir dalam orientasi al-Azhar, Jordan, Madinah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau yang pernah belajar di Barat dan Timur seharusnya mencari jalan terbaik bagaimana cabaran keilmuan menjadi faktor utama yang bakal menentukan arah aliran perubahan dan pembangunan masa depan,” jelasnya.

Tambahnya, melakukan dakwah dan tarbiyyah mestilah dengan ilmu dan pendekatan yang diolah dengan bijaksana agar mencetuskan perubahan kepada diri manusia.

“Ini terungkap dalam Surah An Nahl ayat 125 yang menganjurkan dakwah berlaku secara bijaksana, contoh teladan yang baik dan disampaikan dengan hujah terbaik,” ujarnya.

Menurut Sidek, bagi saudara baru, faktor contoh dan kebajikan harus dijadikan perhatian di samping ilmu dan amalan yang harus diberi dan dididik. Pendakwah dan orang Islam seharusnya menjadi contoh kepada mereka.

“Apabila mereka menerima Islam, cabaran yang dihadapi tidak saja akidah dan ibadah tetapi cabaran yang sering terjadi ialah masalah dengan keluarga, pihak sekeliling malah sesetengah mereka dipinggirkan.

“Masyarakat Islam harus melihat mereka sebagai saudara yang perlu dibantu. Apabila menerima Islam, kehidupan mereka menjadi lebih payah, mereka terasa dipinggirkan, ini menyebabkan pemurtadan berlaku. Oleh itu, amat penting melihat mualaf ini sebagai sebahagian dari kita,” katanya.


Ibarat ikan di laut

Dalam kalangan orang yang sedia Islam, pemurtadan boleh berlaku akibat kejahilan ilmu. Kefahaman mereka terhadap Islam amat terbatas. Keteguhan iman dan takwa tidak ada. Apabila didekati oleh agen pemurtadan mereka mudah terpengaruh.

“Sebahagian daripada mereka juga terjebak kerana faktor pergaulan, perkahwinan, kebendaan dan terlajak. Akibat kejahilan dan tiadanya pendidikan agama menyebabkan kekosongan jiwa diisi oleh fahaman atau anutan lain.

“Antara lain yang terjadi pemurtadan adalah faktor kemiskinan. Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran. Agen pemurtadan sering mencari kesempatan ini dengan memberi mereka pekerjaan dan bantuan yang akhirnya terpaut dengan agama yang dibawa,” katanya yang juga Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Oleh itu, kata Sidek, pendekatan pencegahan adalah lebih baik dari langkah mengubati.

“Justeru, amat penting bagi dai dan murabbi, anggota masyarakat Islam, organisasi Islam member perhatian lebih kepada usaha dakwah dan tarbiah khususnya dalam kalangan generasi muda di samping perhatian terhadap saudara baru.

“Kepada orang Islam amat penting dibina fikrah Islami sejak awal umur lagi. Jadikan anak ibarat ikan di laut masin, semasin mana sekitarnya daging ikan tawar. Sehebat mana pengaruh sekelilingnya iman tetap teguh, akidahnya tetap kental dan tidak mudah untuk dirosakkan,” jelasnya.
@sinarharian.com.my