Maut ditetak lelaki mabuk

Maut ditetak lelaki mabuk
KUALA LUMPUR – Seorang pekerja restoran maut ditetak di tangan, kaki dan muka setelah terlibat dalam pergaduhan melibatkan tujuh pelanggan di Taman Daya, Kepong, semalam.

Mangsa, Tan Ching Chon, 46, maut ditetak menggunakan pisau pemotong daging yang sebelum itu digunakannya untuk mempertahankan diri.

Pemilik restoran Lim Kok Keng, 41, juga cedera parah selepas diserang di perut, muka dan kepala. Dia dirawat di Hospital Selayang dan dilaporkan stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek berumur antara 24 hingga 32 tahun, minum di restoran itu, kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, kira-kira jam 12.45 tengah malam, suspek dikatakan mabuk dan berlaku perselisihan faham ketika mangsa meminta mereka menjelaskan bil minuman.

Beliau berkata, suspek yang enggan membayar kemudiannya bertindak menyerang mangsa menggunakan botol kaca dan kerusi.

“Dalam keadaan cemas, Ching Chon berlari ke dapur dan mengambil pisau untuk mempertahankan diri.

“Bagaimanapun, mangsa tergelincir sebelum suspek merampas pisau tersebut dan menetaknya,” katanya.

Katanya, majikannya itu cuba membantu mangsa de­ngan menggunakan pisau, tetapi tidak berjaya dan akibatnya, dia turut ditetak.

Mohd Adnan berkata, semua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal.

“Seorang suspek ditahan selepas ditemui dalam keadaan mabuk di sekitar tempat kejadian, manakala lima lagi ditahan dalam operasi khas dari awal pagi hingga tengah hari semalam, di sekitar Gombak,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas dua bilah pisau dipercayai senjata yang digunakan untuk menetak mangsa.

Adnan berkata, seorang lagi suspek masih diburu dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126222 bagi membantu siasatan.
@sinarharian.com.my