Chef Wan Buktikan Bukan Pondan

Chef Wan Buktikan Bukan Pondan
KUALA LUMPUR – Chef Selebriti, Datuk Chef Wan menafikan, malah membidas segelintir golongan yang mengatakannya pondan ekoran gaya, pergerakkan dan tutur katanya yang lemah lembut sewaktu muncul di kaca televisyen.
Menurut tukang masak berasal dari Pahang ini, dia enggan mengulas lanjut perkara itu kerana komen seperti itu datangnya daripada mereka yang dengki dengan kejayaannya sebagai chef selebriti dalam bidang masakan tempatan.
“Ramai orang yang kata aku pondan tetapi tolong tunjukkan bukti aku ini pondan. Tetapi aku boleh tunjukkan bukti sepondan-pondan aku pun pernah berkahwin dan dapat dua anak. Sekarang ini sudah bercucu pula,” komennya ringkas.
Beliau mengulas perkara itu sewaktu ditemui selepas final pertandingan Maharaja Lawak Mega di Stadium Malawati, Shah Alam di mana beliau merupakan salah seorang pengkritik tetap dalam rancangan Astro Warna tersebut.
Sebelum menjawab tentang isu itu, Chef Wan mengulas trend dalam Maharaja Lawak Mega yang kerap menampilkan para peserta lelakinya berlawak dengan cara meniru watak perempuan bagi menarik perhatian penonton.
“Dalam Maharaja Lawak Mega ramai pesertanya yang suka bergaya atau meniru perempuan dan ramai juga penonton yang gelak menonton mereka. Saya bimbang juga kalau trend itu popular nanti ia jadi satu isu yang lain pula.
“Saya bimbang masyarakat akan keliru pula nanti. Sebab itu, saya tidak hairan trend itu makin popular dan kebanyakan peserta Maharaja Lawak Mega yang buat lawak sebegitu mendapat sambutan para penonton,” ujarnya.
Sungguhpun kurang senang dengan gaya lakonan yang mendapat perhatian para penonton itu, tetapi Chef Wan tetap kurang berpuas hati dengan persembahan kebanyakan peserta dalam pertandingan lawak jenaka tersebut.
“Kebanyakan peserta Maharaja Lawak Mega gagal menampilkan lawak yang menyakinkan. Macam Osbon dan Boboi saya boleh terima gaya lawak mereka. Contohnya, gaya Boboi berlawak dalam sketsa seperti ghostbusters.
“Ia bukan sahaja amat menghiburkan saya tetapi sokongan itu dapat dilihat daripada reaksi para penonton yang ketawa melihatkan persembahan Boboi itu. Selain Boboi dan Osbon saya anggap persembahan mereka mengecewakan,” katanya.
@mynewshub.my