Pahang juara Piala Emas Raja-Raja



PEMAIN Pahang meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala Emas Raja-Raja setelah menumpaskan Melaka 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Temerloh, malam kelmarin.


PAHANG muncul juara Piala Emas Raja-Raja edisi 2011 setelah menewaskan Melaka 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh malam kelmarin.
Sokongan padu lebih 5,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium tersebut ternyata telah membakar semangat juang skuad Tok Gajah itu yang dilihat garang sejak daripada awal permainan.
Kemenangan tersebut mengulangi kejayaan mereka menjulang piala berkenaan pada 1980 selepas menewaskan Perak 4-2.
Pada aksi penuh mendebarkan itu, Pahang hampir mendahului pasukan pelawat pada minit keenam menerusi sepakan kencang Mohd. Shaiful Amri dari luar kotak penalti.
Bagaimanapun, tindakan pantas penjaga gol Melaka berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Serangan balas yang diatur anak didik Mahmud Hassan itu membuahkan hasil untuk Melaka membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi rembatan Zailan Mohammad dari luar kotak penalti.
Namun, semangat kental yang ditunjukkan skuad Tok Gajah berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-35 selepas Abd Malik Mat Ariff dikasari di depan kotak penalti.
Pada separuh masa kedua, anak didik Kamaruddin Shawkatali tidak memberi peluang kepada Melaka mencipta gol apabila larian pantas Mohd. Fauzi Rozlan dari tengah padang berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang pelawat pada minit ke-76.
Semangat tinggi yang disajikan pemain Pahang membawa kepada jaringan ketiga hasil tandukan Abd. Malik Mat Ariff pada minit ke-78 berpunca daripada sepakan percuma Mohd. Hafiz Kamal.
Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus mengesah Pahang untuk menjulang gelaran.
Hadiah disampaikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)