'Kontrak tiga tahun, lama sangatlah'



SAFEE menganggap kontrak lanjutan untuk selama tiga tahun lagi bersama Pelita Jaya sebagai terlalu lama.


TEKA-TEKI berhubung ‘jodoh’ penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali bersama kelabnya, Pelita Jaya FC bakal diketahui dalam masa terdekat.
Selepas kontraknya bakal tamat pada 31 Januari ini, pihak pengurusan Pelita Jaya sebelum ini pernah mengemukakan kontrak lanjutan selama tiga tahun yang begitupun tidak dipersetujui pemain kelahiran Kajang, Selangor itu dengan alasan ‘terlalu lama’.
Hari ini, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim (gambar kecil) bakal ‘terbang’ ke Indonesia bagi mengadakan perbincangan lanjut bersama Pelita Jaya berhubung masa depan Safee.
Menurut beliau, Pelita Jaya sebelum ini pernah melahirkan hasrat untuk mengikat Safee sekurang-kurangnya selama tiga musim lagi.
“Tiga tahun lama sangatlah, Safee khuatir ia tidak membantu meningkatkan corak permainannya jika kekal di kelab yang sama untuk tempoh yang agak lama.
“Jika diikutkan, Safee hanya mahu kontrak lanjutan selama setahun sahaja, jadi saya akan berlepas ke sana pukul 1 petang esok (hari ini) dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) bagi mengadakan perbincangan lanjut dengan Pelita Jaya,” katanya kepada Kosmo!
Menurut Zakaria, perbincangan itu dijangka berlarutan selama beberapa hari sebelum mendapat kata putus berhubung masa depan Safee.
“Mereka (Pelita Jaya) mahu tiga tahun, Safee pula hanya mahu setahun.
“Jadi kita tengok dahulu macam mana, harap perkembangannya positif dan sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu akan saya maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Masa depan Safee bersama Pelita Jaya sebelum ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pemerhati bola sepak lantaran Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dikhabarkan bakal diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) gara-gara masalah berbangkit yang membabitkan saingan Liga Super Indonesia (ISL) dan Liga Premier Indonesia (IPL).
Disebabkan itu, Safee dilaporkan bakal berhijrah ke Liga Belgium atau Liga Australia bagi menyelamatkan kariernya yang dikhabarkan tidak dapat beraksi bersama skuad kebangsaan jika benar PSSI diharamkan.
Kontroversi itu begitupun berakhir apabila PSSI sah diambil alih oleh Komiti Penyelamat Sepak Bola Indonesia baru-baru ini yang akan segera menyelesaikan sebarang perkara berbangkit sebelum 20 Februari depan.