Empayar Siti belum tergugat

siti-nurhaliza
Dari dulu hingga kini, nama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak pernah berhenti daripada menjadi bualan peminat industri hiburan tanah air.

Jika 17 tahun lalu, idola kesayangan ramai ini cumalah seorang gadis luar bandar yang nekad meninggalkan kampung halaman di Kuala Lipis, Pahang demi mencuba nasib di ibu kota. Dengan hanya berbekalkan suara merdu bak buluh perindu, siapa sangka bakat luar biasanya menjadi perhatian ramai.

Namanya terus mengharum, bak mawar yang sedang mekar, membuatkan sesiapa saja terpikat dengan kesantunan sang gadis yang tidak sedikit pun meninggi diri dengan kelebihannya.

Bagaikan sudah tersurat kehidupannya sebagai anak seni, seniwati muda yang mesra disapa sebagai Siti ini cekal mengharungi setiap hari mendatang.

Setelah 17 tahun keberadaannya dalam industri, Siti yang ‘dulu’, kini semakin menginjak dewasa yang menyerlahkan lagi sisi kewanitaannya.

Namun, walau pelbagai transisi perubahan berlaku pada dirinya, masih ada yang sama pada Siti di mana bakat dan santunnya kekal tidak berubah.

Tidak keterlaluan jika dikatakan itulah dua perkara yang menjadi tunjang kejayaan Siti mempertahankan kedudukannya dalam industri.

Kesempatan bertemu Siti di sidang media Konsert Sinar Maulidur rasul 1433 Hijrah Muhammad Al Ameen bersama kumpulan Rabbani di Cyberjaya, baru-baru ini, tidak dilepaskan untuk bertanya perkembangan terkininya.

Selain bakal menjayakan konsert tersebut di Kuala Terengganu, 5 Februari depan, jadual dan perancangan Siti sudah tersusun rapi sepanjang 2012 ini.

Sudah namanya penyanyi sejati, Siti yang popular dengan lagu Aku Cinta Padamu ini mengatakan, dia cukup teringin beraksi sekali lagi di pentas konsert sendiri.

Menurut Siti, dia sesungguhnya menyimpan hasrat untuk merealisasikan hasratnya itu, tahun ini juga.

“Buat masa ini, Siti belum menentukan konsep konsert itu lagi. Semuanya bergantung kepada apa yang penganjur mahukan.

“Malah, Siti juga tidak kisah dengan pemilihan lokasi kerana yang penting, peminat dapat datang menonton konsert Siti dengan selesa,” katanya.

Mengenai perancangan album baru, Siti yang melancarkan album Inggerisnya, All Your Love tahun lalu, tidak mahu terburu-buru.

“Siti mahu menggiatkan lagi promosi All Your Love kerana banyak lagu menarik dalam album ini.

“Lagipun, Siti sememangnya sudah ada perancangan untuk membawa album ini ke pasaran luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, kata Siti, dia tetap muncul dengan album baru, selewat-lewatnya hujung tahun ini. Pelantun lagu Cindai dan Balqis ini juga mengakui cukup rindu untuk merakamkan album tradisional dan etnik kreatif.

“Keistimewaan membawakan lagu sebegini ialah ketika buat persembahan, memang meriah pentas dibuatnya dengan penari, props dan sebagainya.

“Permintaan daripada peminat itu ada, tetapi Siti harap stesen radio juga dapat memberi sokongan dengan memutarkan lagu tradisional.

“Sekiranya sokongan itu ada, tidak mustahil Siti akan kembali merakamkan album etnik kreatif dan tradisional,” katanya optimis.


Belum bersedia berlakon

Umum mengetahui, Siti pernah menunjukkan bakat lakonannya tatkala memegang watak sebagai Azizah di Teater P Ramlee The Musical, kira-kira lima tahun lalu.

Sejak itu, tuan empunya badan lebih senang memberi tumpuan kepada kariernya sebagai penyanyi dan tidak lagi berlakon. Bagaimanapun, baru-baru ini timbul khabar bahawa Siti akan berlakon dalam sebuah filem yang diterbitkan produksi Indonesia.

Bakal menggabungkan kerjasama Indonesia-Malaysia, barisan pelakon lain yang terlibat juga bukan calang-calang. Antara yang disebut-sebut ialah Nocholas Saputra, Christine Hakim, Dian Sastrowardoyo, Fasha Sanda dan Raja Ema.

Siti saat diajukan perkara itu bagaimanapun menyatakan masih belum ada sebarang ‘hitam putih’ daripada produksi tersebut.

“Siti pun hanya baca dari Internet dan tidak tahu menahu tentangnya. Mereka pun belum berjumpa dengan pengurusan Siti untuk berbincang.

“Selagi tiada perbincangan rasmi, Siti anggap ini sekadar impian penerbit terbabit untuk melihat Siti berlakon dalam filemnya, tidak lebih dari itu,” katanya.

Tidak menafikan agak tertarik dengan nama besar pelakon yang dicanangkan, Siti berkata, buat masa ini dia belum terbuka hati untuk menerima tawaran berlakon.

“Banyak benda yang perlu diteliti jika ingin berlakon dan semuanya bergantung kepada keadaan dan kesesuaian masa Siti,” katanya.


Dermagic Simply Siti

Menguruskan perniagaan sudah menjadi sebahagian cabang karier diceburi Siti melalui produk kecantikannya, Simply Siti.

Tidak menunggu masa lama untuk menjadikan jenama produknya menjadi pilihan wanita masa kini, Siti akan melancarkan pula rangkaian penjagaan kulit terbaru, bulan depan.

“Produk ini dinamakan Dermagic yang mengandungi lima set iaitu pelembap, krim mata, serum, scrub dan topeng muka.

“Istimewanya, ini merupakan produk pertama yang menggabungkan plant endhorphyne, korean plant stem cell dan advance hydrocollagen,” katanya.

Tambah Siti, kelebihan gabungan itu dapat mengurangkan kedutan, mencerahkan kulit dan membuatkan pengguna berasa gembira apabila memakainya.

“Kita sudah mencuba produk ini ke atas beberapa pengguna itu sudah terbukti berkesan dalam masa seminggu.

“Jika tiada halangan, Siti akan membuat siri jelajah bagi memperkenalkan produk ini di seluruh negara bermula 11 Februari ini,” katanya yang akan turut muncul dengan minyak wangi sendiri, tidak lama lagi.


Bahagia di samping suami

Dari aspek peribadi dan kehidupan, ternyata wanita yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 11 Januari lalu ini, dilimpahi aura kebahagiaan yang jelas terpancar pada wajahnya.

Menurut Siti, dia dan suami tercinta, Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau sinonim dengan gelaran Datuk K, baru saja pulang dari meraikan hari lahirnya di beberapa lokasi luar negara.

“Tahun ini Siti dapat hadiah berupa percutian bersama suami ke Dubai dan Maghribi selama 10 hari.

“Percutian cukup indah kerana ini merupakan kali pertama Siti ke sana dan berpeluang menjejakkan kaki di banyak tempat baru dan menarik,” katanya.

Sempat menyambut detik bersejarahnya di puncak pencakar langit yang menjadi bangunan tertinggi dunia, Burj Al Khalifa, Dubai, begitulah tingginya Siti menggambarkan harapannya.

“Sempena usia yang semakin bertambah ini, Siti berdoa agar Tuhan memberikan rezeki melimpah ruah dan kesihatan yang baik.

“Dengan kesihatan yang baik, barulah Siti dapat menyelesaikan segala impian yang belum tercapai dan yang penting, mendapat keberkatan daripada-Nya,” katanya.

Sudah memiliki hampir segala-galanya di usia ini, di sudut hati kecil Siti tetap tidak dapat membendung hasratnya untuk memiliki cahaya mata sendiri.

Apatah lagi, kebelakangan ini dirinya sering melayani telatah bayi sepupunya yang baru lahir, membuatkan naluri keibuannya semakin membuak-buak.

“Siti percaya suatu hari nanti pasti Siti akan bergelar ibu juga, cuma masa dan rezeki belum lagi berpihak.

“Namun, Siti yakin, ALLAH SWT ada perancangan lebih baik untuk Siti. Sebagai hamba-Nya, Siti cuma mampu berusaha dan bertawakal,” katanya penuh harapan.

Walaupun belum dikurniakan zuriat, Siti mengakui hidupnya kini cukup bahagia melayari bahtera rumah tangga selama hampir enam tahun bersama Datuk K dan anak-anak tirinya.

“Alhamdulillah, sayang Datuk K terhadap Siti tidak pernah berubah dan Siti beruntung mempunyai suami yang sangat memanjakan Siti.

“Hubungan dengan anak-anak tiri juga baik dan merekalah tempat untuk Siti mencurahkan kasih sebagai ibu,” katanya.
@sinarharian.com.my