Penerbit TV 'nikah' kekasih sudah mati, cetus polemik

kahwin mayat
BANGKOK - Tindakan seorang produser televisyen Thailand menikahi kekasihnya yang sudah pun meninggal dunia dan kemudian memuatkan foto dan video majlis perkahwinan menerusi laman sosial Facebook dan YouTube mengundang reaksi berbeza dari seluruh dunia.
Chadil Deffy atau yang lebih dikenal sebagai Deff Yingyuen menikahi Sarinya “Anne” Kamsook, yang menjadi kekasihnya selama 10 tahun, di sebuah kuil di Amphur Muang, Surin.
Menurut laporan media Thailand dan asing, kedua-dua mereka sudah lama merancang untuk melangsungkan perkahwinan.
Deffy dilaporkan telah meminta kekasihnya bersabar kerana ingin menyelesaikan kuliah terlebih dulu, malah mereka juga cukup sibuk dengan kegiatan masing-masing.
Pasangan itu jatuh cinta ketika sama-sama menuntut di Universiti Eastern Asia sedekad lalu.
Malangnya, Kamsook telah meninggal dalam satu kemalangan lalu lintas pada 3 Januari lalu. Dia berusia 29 tahun.
Dalam upacara diadakan pada 9 Januari lalu, Deffy, 28, mengenakan pakaian pengantin serba hitam manakala mempelai Kamsook pula berpakaian busana pengantin putih lengkap dengan kaus tangan.
@sinarharian.com.my