Mohd Sabu - 22 Februari keputusan rayuan

Rayuan-mat-sabu
GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 22 Februari ini untuk memberi keputusan sama ada menerima atau tidak rayuan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengenai kes fitnah di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Amin Firdaus Abdullah membuat ketetapan itu setelah mendengar hujahan pihak pembelaan diwakili Mohamed Hanipa Maidin dan Aminuddin Zulkifli serta hujahan balas Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abd Karim dan Suhaimi Ibrahim yang membantah permohonan untuk mengetepikan pertuduhan Mahkamah Sesyen, Butterworth yang sepatutnya dibicarakan semalam.

Beliau berkata, permohonan itu melibatkan isu-isu teknikal dan mahkamah memerlukan masa untuk meneliti segala hujahan kedua-dua pihak.

Mohamad Sabu, 57, atau lebih dikenali Mat Sabu, didakwa membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, 21 Ogos tahun lalu.

Beliau memfailkan permohonan rayuan itu pada 21 Disember lalu.

Dalam permohonannya, Moha­med Hanipa berkata, pertuduhan terhadap anak guamnya perlu diketepikan kerana ia melibatkan orang yang sudah mati dan menyentuh pentafsiran sejarah.

“Ini adalah kali pertama di Malaysia satu isu melibatkan pentafsiran sejarah dibawa untuk penghakiman di mahkamah dan jika ia diteruskan, pastinya selepas ini lebih ramai yang akan didakwa menghina mahkamah sekiranya membincangkan sesuatu isu berkaitan sejarah.

“Mahkamah juga bukanlah satu forum terbaik untuk membincangkan isu sejarah kerana terpaksa memberi penafsiran yang mendalam tentang sesuatu isu melibatkan sejarah negara,” katanya.

Sementara itu, Yusaini Amer memohon mahkamah menolak permohonan Mohamad dan perlu diteruskan di Mahkamah Sesyen Butterworth kerana kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan boleh membawa pakar sejarah masing-masing ketika perbicaraan untuk mempertahankan hujah.

Menurutnya, pemohon juga mendakwa pertuduhan itu adalah satu penindasan kepadanya namun tiada sebarang fakta yang membuktikan ia adalah penindasan.

Pada 21 September lalu, Mohamad Sabu dari Guar Petai, Tasek Gelugor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth dan minta dibicara terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu.

Dia didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Mohamad Sabu didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam 23 Ogos tahun lalu di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.
@sinarharian.com.my