‘Anak saya tidak mabuk’

anak sakit
PASIR GUDANG – “Anak saya merokok pun tidak, inikan nak minum arak,” jelas seorang ibu kepada mangsa kemalangan, Mohd Idrezza Isa, 23, dengan nada kecewa terhadap perkhidmatan sebuah hospital, di sini.

Junaidah Harun, 45, mendakwa, anaknya bukan sahaja dituduh mabuk, malah diberi layanan kurang memuaskan dan tidak mesra pelanggan ketika dihantar ke hospital berkenaan selepas kemalangan di Taman Scientex kira-kira jam 9 malam pada 26 Januari lepas.

Menurutnya, doktor hanya menjelaskan anaknya cedera ringan dan menyuruhnya balik walaupun dalam keadaan hidung masih berdarah, mengalami muntah dan perlu dipapah masuk ke dalam kereta.

“Saya tidak puas hati apabila doktor memberitahu anak saya mabuk kerana saya lebih mengenali siapa anak saya dan jika benar dia mabuk sekalipun, jururawat tidak sepatutnya meninggikan suara kepada kami.

“Saya yang was-was dengan keadaan anak yang dikatakan cedera ringan bergegas ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sekitar jam 10 malam. Di sana, anak saya bukan sahaja disahkan tidak mabuk, malah mengalami pendarahan dan gegaran otak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Junaidah berkata, tiga hari anaknya terlantar selepas dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mengalami masalah ingatan serta sering meracau-racau.

Menurutnya, dua hari lepas, sekali lagi anaknya dirujuk ke HSI kerana mengalami sakit kepala yang teruk dan pada 9 Februari ini dia akan menjalani pemeriksaan buah pinggang.

“Saya kecewa dengan laporan pihak hospital berkenaan kerana sewenang-wenangnya membuat tuduhan melulu sedangkan ia melibatkan maruah orang.

“Mereka mengambil mudah hal keselamatan orang dengan tidak membuat pemeriksaan secara teliti sehingga boleh mengorbankan nyawa pesakit,” katanya.

Junaidah berkata, tindakan undang-undang sedang difikirkan bersama suami terhadap hospital berkenaan kerana usahanya untuk mendapatkan penjelasan tidak diberi kerjasama.

“Saya telah ke hospital berkenaan minggu lepas untuk mendapatkan penjelasan, tetapi dimaklumkan pengurusnya tiada di pejabat dan usaha saya untuk membuat temujanji keesokannya seolah-olah tidak diberi ruang.

“Saya tidak keberatan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kecuaian pihak hospital berkenaan sekiranya ada mana-mana pihak boleh tampil membantu kami untuk mendapatkan khidmat peguam,” katanya.

Dalam pada itu, doktor perubatan hospital berkenaan ketika ditemui Sinar Harian berkata, mangsa kemalangan berkenaan dihantar ke hospital pada jam 8.40 malam dalam keadaan meracau dan berbau alkohol.

Menurutnya, selepas jam 10 malam pesakit baru dibenarkan pulang selepas mendapati keadaannya stabil dan hanya mengalami luka di bahagian dahi.

“Kita memang tidak membuat ujian darah, tetapi saya bersama dua lagi jururawat jelas memang pesakit berkenaan berbau alkohol yang sangat kuat.

“Selepas jam 9 malam berlaku pertukaran syif kerja. Saya percaya kalau pesakit berkenaan masih dalam keadaan tidak stabil, doktor selepas itu akan terus menghantarnya ke HSI,” katanya.

Pengurus Operasi Hospital Waqaf An-Nur, Hamidah Othman berkata, doktor perubatannya telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa semua pesakitnya.

Bagaimanapun menurutnya, pihaknya bersedia berjumpa dengan keluarga berkenaan untuk meminta maaf dan memberikan penjelasan berhubung perkara yang telah berlaku.

“Itu hak keluarga berkenaan untuk mengambil tindakan undang-undang, tetapi kita mengalu-alukan ke hospital sekiranya memerlukan penjelasan lebih detail.

“Kita minta perkara ini dapat diselesaikan secara baik kerana kami di sini sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pesakit,” katanya.
@sinarharian.com.my