Muka broker dibaling bata


MUAR – Cubaan seorang broker tanah memeras ugut untuk mendapatkan wang daripada operator kilang mengundang padah apabila mukanya cedera akibat dibaling bata dalam kejadian di Sungai Abong, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mo­ha­mad Nasir Ramli berkata, operator kilang berusia 30 tahun itu menerima panggilan telefon daripada broker terbabit ketika dia berada di sebuah restoran.

Menurutnya, dalam pang­gilan telefon tersebut, suspek mengugut akan mencederakan isteri dan anak-anak mangsa jika dia tidak pulang ke rumah dan memberinya wang RM5,000.

“Oleh kerana bimbang dengan keselamatan keluarga di rumah, mangsa menghubungi abangnya dan meminta untuk selamatkan isteri dan anak-anaknya.

“Setibanya di rumah, mangsa lihat abangnya sedang bergaduh dengan suspek yang bersenjatakan parang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, mangsa segera membantu untuk menyelamatkan abangnya dengan merampas parang pada tangan suspek.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang mahu menyelamatkan abangnya daripada suspek yang semakin agresif dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak membaling sebiji bata ke arah muka suspek.

“Suspek yang cedera di muka dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), kira-kira jam 6.40 petang pada hari kejadian.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.



@sinarharian.com.my