Apa kejadahnya popularkan Wan Kamaruddin

Wan Kamaruddin Wan Ibrahim
Raut wajahnya yang serius kelihatan tiada beza dengan penampilannya di kaca televisyen, seolah-olah memberi gambaran insan bernama Wan Kamaruddin Wan Ibrahim ini sememangnya memiliki personaliti sebegitu di luar.
Apatah lagi, mengenangkan kebanyakan program televisyen yang dihoskannya sebelum ini seperti Edisi Siasat, Bongkar dan Talian Hayat memerlukannya bersikap demikian.
 
Namun, tanggapan itu jauh meleset apabila pengacara berbakat besar ini menghulurkan salam perkenalan sewaktu sesi temu bual di Pusat Penyiaran TV Alhijrah, baru-baru ini.
 
Ternyata Wan Kamaruddin rupa-rupanya seorang yang mudah mesra dan cukup peramah walaupun baru kali pertama bersua muka.
 
Kehadirannya adalah kerana mahu memperkenalkan program Khidmat Syariah yang dikendalikannya di stesen televisyen berkonsep Islamik itu.
 
Namun, kesempatan tersebut tidak dilepaskan oleh Zass untuk mencungkil sejarah penglibatan Wan Kamaruddin dalam bidang pengacaraan yang banyak menaikkan namanya.
 
Tambahan pula, agak jarang untuk melihat kelibat anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini muncul di media cetak.
 
Tidak lokek berkongsi cerita, menurut Wan Kamaruddin, sebuah panggilan telefon sewaktu berkhidmat di stesen televisyen ntv7 pada 1998 telah membuka jalannya untuk terlibat dalam bidang penyiaran.
 
“Ketika itu saya bertugas di bahagian penyelidikan dan sering menerima panggilan telefon. Namun, ada seorang penonton menelefon dan memuji suara saya sedap.
 
“Setelah perkara itu diketahui pihak atasan, mereka memaksa saya menghadiri uji bakat jawatan pembaca berita yang sedang kekosongan,” katanya yang memiliki ijazah bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
 
Jelas Wan Kamaruddin, pada mulanya dia sekadar mencuba nasib dan atas niat suka-suka, namun tanpa disangka permohonannya diterima.
 
“Sejak itu, bermulalah kerjaya saya dalam bidang penyiaran dan sedikit demi sedikit saya mula jatuh cinta dengan dunia baru ini.
 
“Walaupun jauh menyimpang daripada pengajian di universiti, tetapi kerjaya ini sangat berkait rapat dengan minat saya dari kecil yang suka membantu masyarakat,” katanya.

 
Pernah dilabel jahat
 
Bersama ntv7, Wan Kamaruddin terus mengorak langkah sebagai antara pengacara yang mempunyai identiti sendiri.
 
Cukup terkenal dengan program Edisi Siasat yang membongkar isu-isu kemasyarakatan dan masalah sosial, gaya pengacaraan dengan tagline Apa Kejadahnya mula menjadi ikutan.
 
Paling diingati tentunya isu mat rempit yang pernah menggemparkan seluruh negara gara-gara keberanian Wan Kamaruddin yang juga bertindak sebagai wartawan membongkar gejala ini.
 
Dalam pada ramai yang memuji tindakan lelaki ini, tidak kurang juga ada yang mencemuh. Malah, sebahagiannya benci melihat wajah Wan Kamaruddin di kaca televisyen.
 
Hal ini diakui sendiri oleh Wan Kamaruddin yang tidak dapat melupakan suatu insiden yang masih terpahat di kotak memorinya.
 
“Beberapa tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan mendekati ketika saya sedang membeli barang di sebuah kedai.
 
“Tiba-tiba, ibu kanak-kanak itu dengan pantas menarik tangan anaknya dan berlalu pergi dengan wajah kerisauan.
 
“Saya merasa amat sedih kerana tindakan wanita itu seolah-olah saya orang jahat dan akan memberi pengaruh buruk terhadap anaknya,” katanya.
 
Selain peristiwa itu, anak ketujuh daripada 10 beradik ini juga pernah kecut perut apabila dia perlu berhadapan dengan sekumpulan mat rempit.
 
“Ketika itu, saya memberhentikan kereta di persimpangan lampu isyarat dan tidak lama kemudian, sekumpulan mat rempit berhenti di sebelah saya.
 
“Pada mulanya risau juga jika mereka kenal muka saya dan melakukan sesuatu yang buruk, namun mujur hanya salah seorang daripada mereka perasan dan hanya mengangkat tangan,” katanya.
 
Berkongsi bagaimana timbulnya idea untuk tampil dengan tagline Apa Kejadahnya, jelas Wan Kamaruddin, ia mengikut kesesuaian program dikendalikannya.
 
“Ketika Edisi Siasat muncul sekitar awal 2000, isu sosial sedang hangat diperkatakan. Maka, saya perlu tampil dengan gaya pengacaraan sesuai dengan situasi.
 
“Semuanya bergantung kepada kesesuaian program, namun secara kebetulan kebanyakan program saya berkonsep kemasyarakatan dan kemanusiaan.
 
“Mungkin sebab itu, masyarakat juga lebih mengenali saya dengan program sebegini,” katanya.

 
Tak kejar populariti
 
Sepanjang 14 tahun pembabitannya dalam bidang pengacaraan, kata Wan Kamaruddin, terlalu banyak catatan pengalaman sudah dilaluinya.
 
Malah, kakinya juga sudah menjejak ke banyak destinasi termasuk luar negara demi memenuhi tuntutan tugasan.
 
Biar pahit atau manis situasi dihadapinya, tiada kata yang dapat menggambarkan kepuasan diperolehinya.
 
“Apabila hasil kerja saya mendedahkan sesuatu isu itu dapat mengubah kehidupan masyarakat, saya seolah-olah mendapat kepuasan yang tidak terhingga.
 
“Lebih-lebih lagi saya memang suka membantu orang, jadi saya anggap ini sebagai sumbangan kecil saya kepada masyarakat,” katanya.
 
Mengakui akan terus bergiat dalam bidang pengacaraan selagi khidmatnya masih diperlukan, ada pesanan yang ingin dititipkan buat generasi baru yang mahu mengikut jejak langkahnya.
 
“Keghairahan luar biasa itu penting kerana tanpanya mungkin seseorang itu tidak memiliki semangat untuk meneruskan karier ini.
 
“Selain itu, jadilah diri sendiri. Tidak salah untuk mempunyai idola dalam bidang ini, tetapi jangan terikut-ikut gaya mereka, sebaliknya bentuk acuan pengacaraan sendiri,” katanya.
 
Mengakui agak mengehadkan kemunculannya di media cetak, Wan Kamaruddin memegang prinsip biarlah populariti itu datang dengan sendirinya.
 
“Tidak dinafikan, populariti memang memudahkan kerja dan membuatkan saya rasa dihargai. Malah, saya tidak menolak sekiranya populariti itu ada nilai tambah dalam kerjaya.
 
“Tetapi, biarlah setakat itu saja kerana saya tidak mahu populariti yang melalaikan. Lagipun, saya lebih senang menjalani kehidupan sebagai orang biasa berbanding selebriti,” katanya.
 
Dengan jadual kerja yang tidak menentu, Wan Kamaruddin bersyukur kerana isterinya, Wan Nur Saleza Mazuin Datuk Wan Abdul Muttalib yang dinikahinya Julai tahun lalu, cukup memahami.
 
“Pada peringkat awal, isteri agak susah menerima cara kerja yang tidak tentu masa, namun lama-kelamaan dia faham.
 
“Malah, kehidupan saya juga kini lebih terurus kerana sudah ada orang rumah,” katanya yang masih menanti kehadiran cahaya mata sendiri.

@sinarharian.com.my