Dua penjawat awam dicekup separuh bogel

separuh bogel
DUNGUN – Dua penjawat awam yang juga rakan sekerja di sebuah agensi kerajaan di Dungun, didenda RM2,800 atau dua bulan penjara selepas masing-masing didapati bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral di sebuah rumah, dekat sini, awal pagi, Disember lalu.

Khairul Mubin Abdullah, 26, dan pasangannya, Laily Norashikin Che Sukeri, 22, menerima pengajaran paling berharga apabila kedua-duanya dijatuhkan hukuman setimpal oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Dungun, apabila masing-masing membuat pengakuan bersalah atas tuduhan persediaan melakukan persetubuhan.

Mengikut fakta kes yang dibaca pendakwaraya, Khairul, seorang Pembantu Kebajikan Masyarakat bersama pasangannya, Laily, kakitangan kerajaan berstatus janda yang beralamat di Ketengah Jaya, Dungun ditahan sepasukan Pegawai penguat kuasa syariah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sekolah Intan Zaharah Balai Besar, Dungun kira-kira jam 2.10 pagi, 7 Disember 2011.

Selepas pintu rumah dibuka, tertuduh lelaki didapati hanya memakai tuala mandi, dan pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik menemui seorang perempuan tidur dalam keadaan berselimut dengan toto.

Pemeriksaan lanjut juga mendapati perempuan tersebut hanya memakai seluar dalam.

Turut dirampas dalam serbuan itu sebagai barang kes, coli milik tertuduh perempuan.

Soal siasat mendapati keduanya tidak mempunyai hubungan muhrim dan mereka dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut sebelum didakwa melakukan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Ketika mengemukakan rayuan kepada mahkamah, kedua-dua tertuduh merayu agar diringankan hukuman dengan alasan kedua-duanya kini sudah mengikat tali pertunangan dan bakal melangsungkan perkahwinan Mac ini.

Bagaimanapun, Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah tetap berpendirian bahawa kesalahan dilakukan mereka amat serius, dan kedua-duanya berhak menerima hukuman setimpal atas perbuatan dilakukan.

Khairul yang berasal dari Sarawak bersama pasangannya menjelaskan denda yang dikenakan.
@sinarharian.com.my