Idin sempat minta tolong




HULU SELANGOR - Bapa remaja yang dibakar, Mohd Shauki Dahlan, 51, menyatakan tidak sedap hati sebelum menerima panggilan daripada anaknya, kelmarin.

Menurutnya, dia sempat bercakap dengan Mohd Syahirudin, 19, yang meminta pertolongan sebelum lelaki India menyambung panggilan dan menerangkan keadaan anaknya serta lokasinya berada jam 7.30 pagi kelmarin.

“Saya diberitahu kejadian berlaku di Sungai Tengi, Hulu Selangor dan terus bergegas ke sana, tetapi mendapat maklumat Syahirudin dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Katanya, Syahirudin yang mesra dipanggil Idin tiba di hospital kira-kira jam 9 pagi dan ketika itu dia dapat de­ngan jelas keadaan anaknya yang disahkan doktor 80 peratus terbakar.

“Saya langsung tidak boleh tidur selepas pulang bekerja kira-kira jam 6 pagi, kemudian saya ambil keputusan untuk keluar bersarapan sebelum menerima panggilan telefon dari Idin,” katanya ketika ditemui di hadapan bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) Sungai Buloh semalam.

Sementara itu kakak sulung mangsa, Seri Wahyuni Shauki, 25, berkata, adiknya sempat memberitahu ibunya mahu keluar jam 12 tengah malam.

“Kami sekeluarga tidak syak apa-apa kerana dia se­lalu keluar malam dan petang kelmarin sepatutnya dia pergi temu duga kerja di sebuah pasar raya,” katanya.

Menurutnya, anak bongsu dari lima beradik itu disifatkan sebagai seorang yang periang dan mudah didekati.



@sinarharian.com.my

“Kami sekeluarga mahu dia sembuh dan sihat seperti sediakala dan menganggap apa yang berlaku sebagai takdir,” katanya.

Ibu mangsa ketika ditemui Sinar Harian masih bersedih dan enggan ditemu bual.