Nafas baru Azura


Azura 2012
Filem Azura, ketika tahun 1984 menjadi satu fenomena yang luar biasa sehingga lakonan teraju utamanya, Jamal Abdillah sebagai Zack dan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) sebagai Azura diingati sehingga kini.
Naratif penceritaan yang berkisar mengenai cinta antara dua darjat yang penuh pancaroba menyebabkan filem arahan Deddy M Borhan terbitan Sabah Film Production itu masih berkesan di hati penonton.
 
Justeru, bersandarkan kekuatan jalan cerita filem itu, sutradara, Aziz M Osman memberanikan diri menghasilkan semula Azura versi 2012 yang menampilkan muka baru Neelofa di samping hero yang sedang meningkat naik, Shahrizal Jaszle.
 
Biarpun pertama kali bekerjasama, gandingan yang ditunjukkan keduanya berkesan di mata penonton. Apatah lagi, Shahrizal yang biasa membawa watak hero, berhasil 'membimbing' Neelofa untuk 'bercinta' dalam filem ini.
 
Menerusi Azura 2012 ini, Aziz masih mengekalkan naratif penceritaan yang berkisar tentang cinta antara dua darjat yang terhalang dek menjaga nama baik.
 
Versi baru Azura mengisahkan Zack yang jatuh cinta pandang pertama terhadap Azura, petugas kaunter di sebuah pusat paintball yang sering dikunjunginya. Pemuda itu kemudian membawa Azura bertemu bapanya di Paris. 

 
Sejurus selepas perkahwinan yang tidak mendapat restu itu, bapa Zack menghentikan segala bantuan kewangan kepadanya, lalu dia pulang ke Malaysia dan belajar hidup berdikari di sisi Azura.
 
Namun pelbagai konflik berlaku apabila Zack yang biasa hidup senang, terpaksa mengharungi cabaran di samping Azura sehingga mengeruhkan hubungan mereka suami isteri.

 
Lakonan boleh dipuji
 
Sebagai pendatang baru, lakonan Neelofa boleh dibanggakan. Apatah lagi, Azura merupakan percubaan pertamanya dalam bidang lakonan setelah memenangi tempat pertama Dewi Remaja 2010/2011.
 
Neelofa juga tidak terlalu terikut-ikut atau cuba mengikut lakonan Ogy dan membawakan watak Azura dengan acuannya yang tersendiri. Cuma ketika babak sedih, 'rasa' kesedihan itu tidak sampai kepada penonton kerana Neelofa terlihat seperti mencuba untuk menangis.
 
Namun dari segi lontaran dialog, bahasa tubuh dan keserasiannya, Neelofa berjaya menghidupkan jalan cerita tersebut dengan baik. Tidak perlu gaya yang keterlaluan, solekan tebal, Neelofa punya pesona x-factor yang mampu menarik simpati penonton.
 
Bagi Shahrizal pula, tentunya tidak mendatangkan masalah buat pelakon yang pernah menjadi teraju utama Asmara ini untuk menzahirkan perasaannya. Malah menerusi lakonannya sahaja, Shahrizal berjaya mempamerkan rasa cinta mendalam terhadap Azura hanya menerusi pandangan matanya sahaja.
 
Berbekalkan pengalaman, setiap babak air matanya mendatangkan simpati penonton. Tidak seperti Neelofa, kesedihan Shahrizal sebagai Zack terkesan di hati penonton. Malah tidak mustahil andai dikatakan Azura bakal melonjakkan lagi nama anak muda ini.Tarikan kota cinta.
 
Dari segi sinematografinya pula, sentuhan Aziz dalam sinematografi sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Kota cinta, Paris dan London sebagai lokasi filem ini menjadi tarikan utama buat penonton.
 
Hanya dari sudut naratif penceritaan, mungkin Azura 2012 sedikit perlahan dan tidak banyak konflik besar yang timbul. Namun, tidak adil kiranya membandingkan Azura 1984 dengan Azura versi baru ini kerana jalan cerita yang ditampilkan semestinya banyak perbezaan.
 
Jika mahu mengetahui sejauh mana kehebatan Azura versi 2012, saksikan filem ini di pawagam bermula 2 Februari.

@sinarharian.com.my