Warga Nigeria ke tali gantung

Warga Nigeria ke tali gantung
ALOR SETAR - Seorang peniaga warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam, setelah didapati bersalah mengedar 22.159 kilogram (kg) kanabis dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan menimbulkan kes melampaui­keraguan munasabah.

Oluigbo Eric Chimeze, 35, didakwa mengedar dadah itu di persimpangan lampu isyarat Napoh, menghala ke Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu jam 6.45 pagi, 1 September 2010.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama membawa kepada hukuman mati mandatori.

Oluigbo berkemeja T berjalur merah putih dan berseluar jean kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.

Peguamnya, B Murthy memohon mahkamah mempertimbangkan keputusan kerana tertuduh mempunyai masalah kewangan dan sanggup menolong membawa beg rakannya yang ingin membantu menyelesaikan masalah hutangnya.

Menurutnya, tertuduh yang masih bujang itu, tidak mengetahui isi beg berkenaan dan ini adalah kesalahan pertamanya di negara ini.

“Dia menyesal atas perbuatan berkenaan dan berjanji tidak akan terlibat dengan kegia­tan jenayah selepas ini,” katanya.

Mohd Zaki dalam penghakimannya berkata, ketera­ngan pembelaan bersumpah tertuduh tidak menimbulkan keraguan munasabah apabila menafikan bertindak memasukkan beg mengandungi dadah ke dalam teksi.

“Keterangan saksi pendakwaan, pemandu teksi bercanggah dengan saksi pembelaan kerana tertuduh dilihat menolong memasukkan beg berkenaan tanpa dibantu rakannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila Ishak.
@sinarharian.com.my