CEO Kumpulan Karangkraf rai pelajar cemerlang SMKA Naim Lilbanat
ROSMIZA KASIM
31 Mac 2012
CEO Kumpulan Karangkraf rai pelajar cemerlang SMKA Lilbana
CEO Kumpulan Karangkraf rai pelajar cemerlang SMKA Lilbana
KOTA BHARU- Setelah dinobatkan pencapaian terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 peringkat kebangsaan dan Kelantan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat nekad meneruskan tradisi kecemerlangan dicapai sejak 2006.

Pengiktirafan yang diterima atas kejayaan mencipta sejarah apabila enam pelajarnya mencatat keputusan A+ dalam semua mata pelajaran SPM menjadi pembakar semangat kepada tenaga pengajar untuk melahirkan insan cemerlang yang memenuhi semua aspek keilmuan disaluti keagamaan.

Kejayaan yang dirangkul oleh sekolah berkenaan lebih manis dan bermakna apabila Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf , Datuk Dr Hussamuddin Yaacub turut meraikan pelajar-pelakar cemerlang terbabit sempena Majlis Graduasi SMKA Naim Lilbanat Ketujuh di Dewan Utama Hj Yaacub di sini, hari ini.

Pencapaian Amirah Che Asran, Nik Nurhanini Nik Mohd Zaki, Nabilah Muhammad Najib, Nik Nur Fatihah Nik Zulkifli, Wan Amelia Elisha Wan Azhar dan Zuraidah Jusoh yang lulus cemerlang dilihat sebagai pendorong bagi SMKA Naim Lilbanat untuk terus menggegarkan dunia pendidikan seterusnya bakal dicipta dalam keputusan peperiksaan akan datang.

Pengetua sekolah berprestasi tinggi tersebut, Maimunah Ismail berkata, pihaknya bercita-cita untuk mendapat peningkatan gred purata lebih cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun ini berbanding kejayaan tahun sebelumnya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak terutamanya kesungguhan pelajar itu sendiri yang disokong dengan komitmen guru-guru dalam memberi tunjuk ajar secara ikhlas sehingga mengharumkan nama sekolah, malah kehadiran Dr Hussamuddin turut membakar semangat pelajar untuk turus berjaya dalam kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi menghargai kejayaan digondol tersebut, pengurusan sekolah meraikan pelajar tersebut termasuk kumpulan cemerlang lain dengan penyerahan sijil yang disempurnakan oleh Hussamuddin, Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru sekolah, Dr Wan Mohd Nudri Wan Daud.

Majlis turut menghargai pengorbanan dan sumbangan bapa kepada Hussamuddin, Allahyarham Yaacub Idris yang merupakan antara pengasas SMKA Naim Lilbanat seawal pembinaan sekolah pada 1941 dengan mengabadikan namanya di Dewan Utama Haji Yaacub.

Kira-kira 195 pelajar yang diraikan juga bertuah kerana Hussamuddin turut memberi semangat dengan menasihatkan kumpulan aset penting terhadap pembangunan negara menerusi perkongsian kisah hidup diri beliau yang bermula dari bawah sehingga kini berjaya dalam perdagangannya.

Dalam ucapannya, Hussamuddin yang terharu dengan jemputan tersebut berkata, beliau mempunyai nostalgia tersendiri bersama arwah ayahnya yang berusaha mengumpulkan wang untuk membina sekolah terbabit.

“Saya masih ingat, ayah saya terpaksa berjalan kaki dengan kawan-kawannya untuk mengutip duit untuk memastikan sekolah terus berjalan, sukar tetapi itulah realitinya semasa awal penubuhan sekolah ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mencabar pelajar-pelajar supaya buang sikap malu sekiranya mahu berubah dalam hidup untuk mencapai kejayaan di samping berazam membentuk karakter diri bagi mencipta kecemerlangan.

“Ingat kejayaan yang diperoleh dalam peperiksaan bukan belum cukup, tetapi lebih penting adalah usaha kita sendiri selepas itu untuk merealisasikan kejayaan dengan membuat persiapan diri,” katanya di hadapan kira-kira 200 ibu bapa pelajar.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat yang mendapat sambutan baik dari masyarakat Melayu Kelantan pada asalnya bernama Madrasatun Naim Lilbanat dan ditubuhkan oleh Nik Yahya Nik Daud.

Bilangan pelajar yang bermula dengan tujuh orang pada 1947 meningkat menjadi 120 orang pada 1949 telah mendorong tiga orang sahabat karib berusaha lebih keras membangunkan sekolah tersebut.

Mengendalikan sebuah sekolah agama rakyat pada zaman sebelum merdeka memerlukan satu pengorbanan yang tinggi oleh Nik Yahya Nik Daud, Idris Omar Penambang dan Haji Yaacob yang bertindak sebagai tenaga pengajar sukarelawan selain sebagai bendahari bertekad kerja tanpa mengenal lelah memastikan Madrasatun Naim Lilbanat atau ‘Sekolah Naim’ berjaya sehingga ke hari ini.