Penyokong Red Warriors bantah langkah FAM
MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
31 Mac 2012
Penyokong Red Warriors bantah langkah FAM
KOTA BHARU - Episod kemarahan penyokong The Red Warriors terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin meningkat, apabila lebih 500 penyokong mereka mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, petang ini.

Perhimpunan tersebut sebagai membantah tindakan badan induk bola sepak kebangsaan itu, yang dilaporkan bakal menggantung Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ekoran kritikan beliau terhadap prestasi skuad kebangsaan baru-baru ini.

Annuar juga Timbalan Presiden FAM.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain menyifatkan terdapat 'tangan-tangan ghaib' yang mahu menyingkirkan Annuar daripada terus memegang jawatan dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.

"Lebih menyulitkan keadaan apabila Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) sendiri bertitah dengan mengatakan kesalahan yang dilakukan oleh Annuar itu amat besar.
"Tindakan ini dilihat mendahului keputusan jawatankuasa disiplin yang hanya akan bersidang pada Rabu ini," katanya.

Nasib Annuar hanya diketahui apabila Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Datuk Taufik Abdul Razak bersidang Rabu ini bagi mendengar pertuduhan yang dikemukakan ke atas beliau.

Annuar sebelum ini berkata beliau akan menerima apa saja keputusan yang bakal dibuat oleh FAM.