Dua sahabat parah diserang 15 lelaki/http://www.hmetro.com.m

ALOR GAJAH: Akibat dendam, dua sahabat parah apabila diserang sekumpulan 15 lelaki bersenjatakan parang dan kayu di sebuah taman permainan di Durian Tunggal, di sini, malam kelmarin.
Kejadian jam 10 malam itu menyebabkan dua mangsa yang juga lelaki berusia awal 20-an dikejarkan ke hospital kerana parah di anggota badan akibat ditetak dan dibelasah menggunakan kayu.

Lebih mencemaskan, lima rakan mangsa yang berada di tempat kejadian turut diancam dengan parang supaya tidak mencampuri urusan mereka sekiranya tidak mahu menerima nasib sama. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shahruddin berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada dendam lama antara ahli kumpulan terbabit dengan mangsa.
“Akibat serangan itu, dua mangsa parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan manakala lima rakannya tidak dicederakan.

“Dua lelaki itu cedera serius di kepala selain patah pergelangan kaki kiri dan cedera di tangan,” katanya.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian melakukan operasi mengesan kumpulan lelaki yang menyerang mangsa di Durian Tunggal dan menahan empat suspek tidak lama selepas itu.