Kenduri percuma di balai polis


SHAHIZATUL FARHA S ROSLI & JULIZA MOHD SAAD
26 Mei 2012
Kenduri percuma di balai polis
Balai Polis Sri Lalang mempunyai keluasan yang boleh menempatkan hampir 150 kereta dan memuatkan lebih 4,000 tetamu
KLUANG – Orang awam yang sedang merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan dialu-alukan melangsungkan majlis bersejarah masing-masing di balai polis secara percuma.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya mengesyorkan orang ramai memanfaatkan kemudahan di Balai Polis Sri Lalang, Kluang berikutanlokasinya yang luas dan sesuaian untuk majlis seumpama itu.

“Selain beri peluang kepada masyarakat mengurangkan bajet perkahwinan mereka, usaha ini juga dilihat dapat merapatkan lagi hubungan di antara pihak polis dengan masyarakat setempat.

“Ini adalah sebahagian daripada program Komuniti Polisi kita, di mana anggota polis juga akan turut sama bergotong-royong menjayakan majlis perkahwinan ini,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, orang awam juga dibenarkan memasang audio dan alat pembesar suara di kawasan balai polis berkenaan semasa majlis perkahwinan mereka berlangsung.

“Kita benarkan mereka memasang muzik dan sistem audio, tetapi mereka mestilah bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan sekitar kawasan balai polis yang digunakan.

“Kita juga hanya menyediakan tapak majlis dan peralatan lain seperti khemah dan kerusi perlu disediakan oleh pihak pengantin sendiri,” katanya.

Katanya, orang ramai yang berminat mengadakan majlis perkahwinan mereka di kawasan balai polis itu hanya perlu menghubungi ketua polis daerah yang berkenaan dan memaklumkan tarikh perkahwinan mereka.

“Orang awam yang berminat hanya perlu memohon dengan ketua polis daerah yang berkenaan tanpa perlu membuat sebarang pembayaran atau tempahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, idea Mohd Mokhtar itu sangat baik, bagaimanapun setakat ini pihaknya masih belum menerima permohonan dari orang awam untuk melangsungkan perkahwinan di Balai Polis Sri Lalang.

“Kita amat mengalu-alukan orang awam mengadakan perkahwinan mereka di balai polis ini seperti yang disyorkan sendiri oleh Ketua Polis Johor.

“Ini sebahagian usaha positif untuk meningkatkan lagi hubungan polis dengan orang awam bagi mengurangkan kadar jenayah setempat,” katanya.

Kepada yang berminat untuk membuat tempahan, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerusi nombor 07-7722222.