Jabatan Penjara nafi Hoslan islamkan banduan
30 Mac 2012
Hoslan menjalani hukuman penjara satu tahun sejak 8 Mac lalu kerana
membaling kasut ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan.
"Ibu Pejabat Penjara telah menghantar pegawai untuk menyiasat laporan
oleh media berkenaan kerana mendapati ia bertentangan dengan tatacara
dan prosedur Jabatan Penjara.
"Hasil siasatan mendapati laporan (media) adalah tidak tepat dan boleh
mengelirukan orang ramai," kata Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan
Penjara, Supri Hashim dalam satu kenyataan media.
Menurut Supri, berasaskan prosedur yang diguna pakai oleh Jabatan
Penjara, urusan pengislaman seseorang banduan di penjara dilaksanakan
secara teratur dan melalui Jabatan Agama Islam dan bukannya oleh banduan
lain.
Misalnya menurut beliau, sebaik sahaja seseorang banduan menyatakan
hasrat untuk memeluk Islam, proses pengislaman akan dilaksanakan dengan
kehadiran pegawai dari Jabatan Agama Islam, pegawai agama Jabatan
Penjara serta saksi-saksi yang diperlukan.
"Ia bagi memastikan pengislaman tersebut dilaksanakan secara teratur," katanya.
Menurut beliau, salah seorang yang dilaporkan diislamkan oleh Hoslan
sebenarnya telah memeluk agama Islam pada 2009 iaitu sebelum dia
dipenjarakan.
"Manakala seorang lagi banduan sebenarnya dalam proses memeluk agama
Islam, yang mana akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam dalam masa
terdekat," kata beliau.
Malah dalam kenyataannya, Supri menekankan bahawa "dimaklumkan juga
pegawai agama atau pembantu pegawai agama yang menjadi imam kepada
banduan di surau-surau di dalam penjara dan bukannya banduan."
Selain itu kata beliau, semua program keagamaan Jabatan Penjara akan
dikendalikan oleh penceramah bertauliah atau pegawai agama penjara.
"Kemungkinan penama (Hoslan) di atas hanya menjadi imam di sel di mana
dia dia ditempatkan bersama beberapa banduan lain semasa mengerjakan
sembahyang pada malam hari.
"Bagi tujuan keselamatan banduan tidak akan dikeluarkan dari sel mereka
pada waktu malam. Oleh itu, pada kebiasaannya semasa mengerjakan
sembahyang berjemaah dalam sel, pada waktu tersebut banduan akan
bergilir-gilir menjadi imam sesama mereka," katanya lagi.