PR masih harap negeri Pakatan sertai PRU serentak

29 Mac 2012
undi
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap negeri-negeri yang diperintah pembangkang akan turut mengadakan pilihan raya
Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, langkah itu akan dapat menjimatkan kos dan tenaga kerja.
"Saya harap elok ia dibuat serentak supaya SPR tidak buat kerja ulang-ulang kerana ia akan memakan kos yang tinggi dan masa yang banyak," katanya pada temubual "Program Inovasi Perkhidmatan Awam" di stesen radio KL.fm di Angkasapuri di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pemimpin mereka masih gagal mencapai kata sepakat sama ada akan  mengadakan pilihan raya DUN Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan serentak dengan kerajaan persekutuan.
Sehingga Februari lepas, terdapat 12.6 juta pengundi berdaftar di negara ini, manakala hampir tiga juta individu yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi.
Abdul Aziz berkata Kuala Lumpur mempunyai jumlah paling tinggi individu yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi iaitu 33 peratus daripada hampir 1.1 juta penduduk yang layak mengundi.
"SPR tidak puas hati dengan keadaan ini. Kadar ini adalah jauh lebih tinggi daripada peringkat negara iaitu puratanya 19 peratus," katanya.
Ketika ditemui wartawan, pengerusi SPR itu berkata, peningkatan mendadak pengundi berdaftar kebelakangan ini adalah trend biasa yang dapat dilihat pada waktu-waktu hampir dengan pilihan raya.
Beliau berkata, sejak dua tahun kebelakangan, jumlah yang mendaftar sebagai pengundi ialah antara 250,000 dan 300,000 orang pada setiap suku tahun berbanding hanya 5,000 hingga 8,000 orang sebelum itu.
Abdul Aziz berkata SPR juga akan memulakan proses persempadanan semula kawasan dan membetulkan kesalahan pada lokaliti pengundi selepas pilihan raya umum nanti. - Bernama