SEREMBAN: “Kami bukan mahu bersaing dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain tetapi penubuhan Universiti As-Sofa ini bertujuan melahirkan lebih ramai cendekiawan yang dapat membantu memperkembangkan lagi syiar Islam demi kemajuan umat,” kata Pengerusi Majlis Universiti As-Sofa, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki.
Universiti As-Sofa yang memberi fokus kepada bidang pengajian Islam akan mula beroperasi di kampus sementara di Dataran Sentral di sini, September depan.
Syeikh Muhammad Fuad berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat 15 tenaga pengajar termasuk ulama dari Abu Dhabi, Dubai, Yaman, Iraq, Maghribi, United Kingdom dan Indonesia.
Beliau berkata, pembabitan ulama dari luar negara bertujuan memastikan setiap ilmu yang dibawa diperoleh pelajar dengan baik.
Katanya, semua kepakaran mereka akan dimanfaatkan termasuk dalam memberikan panduan serta nasihat bagi memastikan perjalanan dan hala tuju universiti itu berjalan lancar bagi melahirkan modal insan berkualiti.
“Sebelum ini, pelajar Malaysia perlu ke luar negara seperti Mesir, Syria dan Maghribi untuk mendapatkan ilmu dan pengajian agama yang lebih baik namun semua keperluan pelajaran yang ada di sana boleh diperoleh di sini.
“Sebagai permulaan, seramai 2,000 pelajar yang layak dan menepati syarat bakal memulakan pengajian mereka di Universiti As-Sofa,” katanya pada majlis penerangan mengenai universiti itu di Klana Resort, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Yang DiPertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Mohamed Radzif Mohamed Shamsudin dan Pengarah Gerbang As-Sofa, Malizan Mahmood.
“Universiti ini turut menerima pelajar dari luar negara dan tidak menjadikan agama sebagai batasan untuk mendapatkan ilmu di situ kerana bidang lain seperti pengurusan perniagaan dan bioteknologi turut dijalankan.
“Mengenai kadar yuran pelajar, kita tidak akan mengenakan yuran terlalu tinggi tetapi pada kadar lebih munasabah dan rendah daripada sesetengah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini,” katanya.
Kata Syeikh Muhammad Fuad, matlamat pihaknya adalah membantu kerajaan membangunkan syiar Islam selain memastikan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelajar menuntut ilmu.
“Kami berharap universiti ini dapat menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan terutama dalam melahirkan modal insan berkualiti seiring dengan wawasan pendidikan negara,” katanya.