Preve jadi bukti/http://www.hmetro.com.my

Oleh Badrila Jamlus dan Muhd Izawan Baharin
bisnes@hmetro.com.my
 


Proton Preve
PENGELUAR kereta nasional pertama negara, Proton Holdings Berhad (Proton) malam tadi melancarkan secara rasmi model sedan Preve yang pertama bagi generasi baru pembinaan kereta untuk pasaran global yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Proton Preve yang dilengkapi pelbagai ciri teknologi dan keselamatan terkini turut menjadi model pertama Proton yang menerima penarafan lima bintang Program Penilaian Kenderaan Malaysia (MyVAP) oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, Proton bekerjasama rapat dengan vendor dan pembekal di bawah program penyertaan awal vendor (EVI) untuk mereka bentuk konsep sistem dan komponen Preve.
Beliau berkata, pihaknya berbangga kerana sebanyak 94 peratus komponen model itu diperoleh daripada vendor tempatan selain turut bekerjasama rapat dengan anak syarikatnya, Lotus Engineering bagi ciri kawalan dan pengendalian kereta, sekali gus membuktikan Proton mampu menghasilkan produk berkelas dunia.

“Kereta ini adalah komitmen Proton untuk menjadi lebih baik dan menjanjikan pengguna produk yang boleh dibanggakan selain penting kepada syarikat untuk memberikan nama yang kukuh bagi pasaran antarabangsa,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Proton Preve di Seri Kembangan, Selangor.

Hadir sama Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Eksekutif Proton, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Proton Preve ditawarkan dalam tiga varian iaitu varian Premium dilengkapi enjin 1.6 CFE dengan penganjak gear tujuh kelajuan ProTronic CVT dan dua varian Executive dengan transmisi enam kelajuan CVT serta transmisi manual lima kelajuan dilengkapi enjin IAFM+.

Sementara itu, Mohd Khamil berkata, Preve mewakili era baru Proton yang menekankan usaha menuju ke arah masa depan sebagai syarikat kereta global dan pada masa sama menempatkan Proton sebagai produk serta jenama dalam industri automotif global yang berdaya saing tinggi.
“Sudah ada penerimaan kereta Proton di peringkat serantau dan global, tetapi kita perlu memberikan respons lebih agresif dalam usaha untuk berkembang sebagai pengeluar kereta yang memiliki teknologi terkini, mengukuhkan rangkaian jualan dan selepas jualan antarabangsa serta pengeluar kereta yang berdaya saing,” katanya.

Sebanyak enam warna menarik ditawarkan iaitu Blue Lagoon, Fire Red, Tranquility Black, Solid White, Genetic Silver dan Elegant Brown dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer (km), mana yang terdahulu.