MUZIUM SETEM MELAKA
Setem merupakan aset yang
sangat berharga dari segi kesenian, kewangan dan sejarah kepada yang
menghargainya. Penggemarnya akan membelanjakan banyak wang, tenaga dan
masa bagi memastikan setem-setem yang jarang ditemui, kerana telah lama
tidak diterbitkan, berada dalam simpanan mereka. Mengikut sejarah, setem
dicipta bagi memudahkan bayaran bagi surat dan bungkusan yang dihantar
melalui sistem pos milik kerajaan. Oleh yang demikian, ia mempunyai
sejarah yang panjang dan berwarna-warni, seindah reka bentuk yang
pelbagai. Setem adalah satu wadah yang terbaik dan agak murah bagi
merakam peristiwa, alam semulajadi dan tokoh penting dalam sejarah dalam
sesebuah negara. Tidak hairanlah, semakin tua usia sekeping setem,
nilainya juga bertambah tinggi.
Adalah diharapkan Muzium
Setem Melaka ini secara tidak langsung dapat mendedahkan dan menyebarkan
pengetahuan mengenai pembangunan, kebudayaan, pelajaran, sukan, flora
dan fauna serta pencapaian negara dalam segal bidang kepada orang ramai
melalui setem. Selain daripada itu, pengisian yang terdapat di muzium
ini diharap dapat menjadi pendorong kepada rakyat di segenap lapisan
untuk menghayati dan menghargai warisan sejarah melalui bacaan dan
pemahaman terhadap bahan-bahan yang dipamerkan.
Antara
objektifnya adalah:
Memberi kesedaran kepada
orang ramai terutama sekali kanak-kanak, mengenai sejarah perkembangan
setem di Malaysia dan seluruh dunia
Menggalak dan
mengembangkan kegemaran mengumpul setem di kalangan rakyat Malaysia
Menyebarkan maklumat
kepada orang ramai mengenai pelbagai peristiwa bersejarah serta
orang-orang yang menempanya sama ada di Malaysia atau di tempat-tempat
lain di dunia, yang kesemuanya diabadikan dalam bentuk setem