Istana Kesultanan
Melaka (replika Istana Kesultanan Melayu Melaka) terletak di
kaki Bukit St. Paul. Replika istana ini dibina semula berdasarkan
catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan senibina
istana Melayu di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah dari
tahun 1456 hingga 1477.
Antara objektifnya
adalah:
- Untuk mempamerkan kepada umum suasana di Istana Kesultanan Melayu Melaka dan ruang-ruang tertentu seperti Balairong Seri, Balai Beradu serta ciri-ciri Adat Istiadat Raja-Raja Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
- Untuk menunjukkan keagungan institusi beraja sebagai warisan sejarah budaya Bangsa Melayu yang pernah menerajui Negeri Melaka suatu ketika dahulu di samping mengimbas kembali sejarah pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat dan pengajaran dari peristiwa tersebut.
Replika istana
ini dibina pada tahun 1984 dan dijadikan sebagai Muzium Budaya
apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 17 Julai
1986. Kini dinamakan Istana Kesultanan Melayu Melaka. Keseluruhan bangunan ini diperbuat daripada kayu keras
manakala atapnya dari kepingan kayu belian. Pembinaannya bercirikan
seni pertukangan Rumah Melayu Melaka di mana sendi bangunan
diperkuatkan dengan pasak sahaja.
Secara
keseluruhannya muzium ini memperlihatkan fungsi dan peranan
istana ketika itu dengan memaparkan Balairong Seri, Bilik Beradu
Diraja dan balai-balai yang melambangkan ketamadunan masyarakat
Melayu.